
Menjelang Rabu depan, pastinya ia hari yang amat bersejarah dan sangat bermakna bagi mereka yang bergelar wartawan kerana buat julung kalinya dalam sejarah negara ini, Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2018 bakal diadakan.
Bertemakan ”Wartawan Membela Bangsa, Membina Negara’, Hawana yang bertujuan mengiktiraf dan menghargai pengorbanan komuniti mata pena ini akan dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 April ini di Dewan Pameran dan Konvensyen Matrade, di sini.
Mendokong misi besar ini, Hawana dilihat sebagai satu wadah ke arah permulaan untuk mengangkat martabat wartawan kepada status sewajarnya selain sebagai bentuk penghargaan kepada mereka yang banyak berjasa dalam industri ini.
Sememangnya, kemajuan dan kebahagiaan yang dikecapi negara hari ini tidak hanya disumbangkan oleh pemimpin negara mahupun tokoh ekonomi, bahkan juga golongan wartawan memainkan peranan penting dalam pembinaan dan pembangunan masyarakat sejak sebelum merdeka lagi.
Tanpa mengira penat dan cabaran dihadapi termasuklah terdedah kepada bahaya, mereka komited melaporkan pelbagai berita, rencana dalam menyebarluaskan maklumat terkini kepada masyarakat di luar sana.
Dalam hal ini, wartawan wanita tidak terkecuali memainkan peranan penting menerusi kerjaya yang sebelum ini lebih didominasi golongan lelaki.
Wartawan wanita tempatan
Penglibatan kaum wanita dalam bidang kewartawanan di Malaysia hanya bermula sekitar dekad 50-an di mana ketika itu kebanyakan mereka berkelulusan Sekolah Melayu dengan sedikit pengetahuan Bahasa Inggeris dan Bahasa Jepun, kata Dekan Eksekutif, Fakulti Sastera, Komunikasi dan Pendidikan, Infrastructure University Kuala Lumpur, Profesor Dr Faridah Ibrahim.
Dalam satu kajian yang dijalankannya mengenai ‘Wartawan Wanita Dalam Pengurusan Bilik Berita: Matlamat dan Pencapaian’ yang disiarkan dalam jurnal komunikasi pada tahun 1990, beliau menyatakan kebanyakan golongan wanita yang terlibat dalam profesion ini pada ketika itu adalah dalam kalangan mantan guru, ustazah mahupun kerani.
Antaranya bekas guru Rosewita Ali iaitu isteri Keris MasKamaluddin Muhammad, Puan Sri Hamidah Hassan (isteri Tan Sri Samad Ismail) dan Datin Salmi Manja iaitu isteri kepada Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.
Manakala di Radio Malaya Singapura, pelopor wartawan siaran wanita termasuklah Zahrah Za’ba dan Siti Hawa Zain (Mak Iti).
“Zahrah Za’ba ialah anak Pendeta Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad. Beliau berkelulusan Senior Cambridge dan mempunyai Sijil Perguruan dari Maktab Perguruan Durian Daun Melaka.
“Memang itu satu kelulusan yang unggul kerana jarang terdapat wanita ketika itu mempunyai kelayakan yang setinggi itu,” kata Faridah kepada Bernama.
Selain Zahrah, Tan Sri Aishah Ghani yang juga mantan Menteri Kebajikan Masyarakat turut mempunyai kelulusan tinggi apabila beliau melanjutkan pelajaran ke Regent Street Polytechnic, London untuk mengikuti kursus kewartawanan di sana pada April 1955 sehingga Disember 1958.
Peningkatan wanita
Dalam satu kajian pensyarah sejarah, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Mahani Musa bertajuk ‘Sumbangan Wanita Melayu Dalam Kegiatan Persuratkhabaran dan Majalah di Malaysia, Tahun 1920-an sehingga 1960-an’ ada menyatakan sekembalinya Aishah ke tanah air pada Disember 1958, beliau terus berkhidmat sebagai wartawan di Berita Harian (satu daripada kumpulan besar akhbar The Straits Times) pada awal tahun 1959.
Kajian Mahani yang diterbitkan dalam buku bertajuk ‘Akhbar dan Tokoh Persuratkhabaran Malaysia Kurun Ke-20’ turut menyatakan bidang kewartawanan masih kurang diceburi oleh kaum wanita Melayu semasa tahun 50-an.
Malah, Aishah adalah satu-satunya wanita yang bertugas di pejabat akhbar The Straits Times, Malay Mail dan Berita Harian sebelum Sharifah Azah Mohammad Alsagoff atau Azah Aziz menyertai kumpulan akhbar itu 2 bulan kemudian.
Bagaimanapun, penyertaan wanita dalam kerjaya ini dengan kelulusan Higher School Certificate (HSC-sekarang dikenali Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)) dan Senior Cambridge bermula dalam dekad 60-an seperti Zubaidah Abdul Rahman di Berita Harian.
“Ketika itu, The New Straits Times mempunyai wartawan terkenal seperti Margaret Wee, Lakshmi Natarajan. Ruang wanita secara khusus diadakan dalam ruangan akhbar pada sekitar 1960-an.
“Antara wartawan terkenal masa itu Azah, Zubaidah, Zaharah Nawawi, Maimunah Yusof, Azizah Ali, Faridah Idris, Siti Zaharah Ibrahim, Roseminah Ahmad, Rosie Hashim dan Fauziah Rauf dan Bahyah Mahmood,” kata Faridah.
Menariknya, program dalam bidang kewartawanan yang mulai ditawarkan di Institusi Pengajian Tinggi pada awal tahun 70-an turut menarik perhatian lebih ramai kaum wanita mengikuti pengajian dalam jurusan Sebaran Am dan Komunikasi.
Ini dapat dirujuk pada dekad 70-an apabila penyertaan wanita berkelulusan tinggi dari menara gading mulai membanjiri dunia kewartawanan seperti Adibah Amin dan Datuk Ng Poh Tip.
HAWANA
“Jika dulu dalam dekad 50-an, 60-an dan 70-an, jumlah wartawan wanita adalah sedikit dan boleh dikira dengan jari. Tetapi, mulai dekad 80-an, 90-an dan seterusnya, graduan wanita dari Sebaran Am dan Komunikasi sama ada dari universiti tempatan atau luar negara mula membanjiri syarikat akhbar dan agensi berita.
“Saya antara kumpulan ini yang menyertai bilik berita, Utusan Melayu (M) Berhad pada tahun 1979 sehingga 1985 sebelum menjadi pensyarah komunikasi di UKM selepas itu,” kata Faridah.
Peningkatan wartawan wanita juga mendorong kepada kewujudan penubuhan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) yang diasaskan oleh Azah pada 1971 bagi mewakili kepentingan wartawan wanita selain sebagai platform bertukar pendapat dan menjalankan kegiatan untuk kepentingan bersama.
Biarpun bidang ini penuh dengan cabaran, namun kehebatan wartawan wanita dalam melaksanakan tugas mereka tidak dapat dinafikan. Malah, sudah ramai daripada golongan ini memegang jawatan editor mahupun penolong editor selain beberapa individu yang berjaya menduduki ‘kerusi paling tinggi’ dalam sesebuah organisasi media mahupun ada terlibat dalam politik.
“Saya lihat wartawan wanita mempunyai potensi untuk memegang jawatan di peringkat buat keputusan kerana mereka mempunyai kaliber tersendiri, berpengetahuan, komited tetapi jumlahnya masih kecil.
“Sekiranya dahulu tiada wanita di peringkat tertinggi tetapi kini sudah ada seperti Datuk Ng (mantan Ketua Pengarang Kumpulan The Star), mantan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Salbiah Said dan mantan Ketua Pengarang Majalah dan Ketua Pegawai Operasi Utusan Karya, Maimunah,” kata Faridah.
Bagaimanapun, agak menyedihkan kerana peranan dan kisah tokoh wartawan wanita tidak banyak dipaparkan berbanding wartawan lelaki. Walhal, sumbangan mereka dalam menyampaikan maklumat, perjuangan dalam pembangunan dan pembinaan negara sejak sebelum merdeka lagi tidak boleh diketepikan.
Justeru, Faridah melihat Hawana sebagai platform terbaik untuk memberi pendedahan mengenai kehebatan wartawan wanita.
“Mungkin sudah tiba masanya buku tokoh wartawan wanita perlu diusahakan sama ada oleh pihak sarjana, penyelidik universiti mahupun pengamal media sendiri,” katanya.