Pelbagai iklan produk dan khidmat membanjiri laman sosial, daripada produk kosmetik, suplemen kurangkan berat badan dan tidak ketinggalan sekarang ialah produk meningkatkan ketinggian.
Daripada artis tidak berapa “famous” hinggalah artis popular seperti Neelofa, mempromosi ubat tingi yang entah berkesan atau tidak.
Apabila artis biasa-biasa yang jadi “duta” atau mempromosi produk ubat tinggi, ia tidak menjadi isu dan masih dinilai sebagai iklan.
Namun, bila Neelofa yang mempunyai 5.4 juta pengikut dengan kedudukannya sebagai usahawan berjaya dikaitkan, ia terus mencetuskan pelbagai persoalan.
Apa pun, status Neelofa mengiklankan produk tersebut dikatakan sudah dipadamkan segera mungkin ekoran kecaman.
Terfikir juga kesahihan dan kebenaran iklan ubat tinggi yang menjamin ketinggian sekitar 2 hingga 15cm. Kalau benar, mahu juga beli sebotol dua…
Menurut satu kiriman pada Jun 2016 berkenaan isu sama, pakar ortopedik Dr Mahyuddin Mohamed menerusi laman Facebook, Tinta Mahyuddin pernah mengetengah keberkesanan ubat tinggi.
“Anda ditipu hidup-hidup. Ini mitos. Jika anda sudah mencapai usia dewasa, ketinggian tidak akan berlaku lagi. Apatah lagi produk ini mendakwa boleh menambahkan ketinggian antara 2cm ke 15cm. WoW! Tingginya saya nanti!” tulis beliau.
Pesannya, jika ada individu dan syarikat menjual suplemen mahu mendakwa sesuatu, biar ada dasar ilmunya.
Bukan itu sahaja, beliau juga berkongsi anggaran ketinggian kita atau anak berdasarkan asas ilmu.
“Ketinggian maksimum yang kita boleh capai boleh dianggarkan melalui 3 kaedah, kaedah umur 2 tahun x 2; kaedah carta ketinggian serta kaedah potensi ketinggian genetik,” kata beliau yang turut berkongsi panduan pengiraan anggaran itu.
Memberi respons kepada iklan yang “diperagakan” Neelofa baru-baru ini, seorang lagi pegawai perubatan kanan, Dr Rusyainie Ramli tampil dengan kiriman berikut.
“Neelofa dah macam tersilap langkah. Dia promosikan produk nak tinggi. Aduh. Ni macam Neelofa tak pernah belajar sains pula,” tulis beliau.
Jelas beliau, manusia mencapai ketinggian maksimum semasa umur belasan tahun dan selepas itu plat pada tulang panjang akan tertutup pada usia lebih kurang 20 tahun.
“Telanlah segala produk tu, takkan punya. Buatlah senaman regangan ke, bergayut kat pokok ke, melompat bintang 1000 kali pun tak mungkin buat kita meninggi,” tulisnya.
Lagipun beliau mendapati produk yang diiklankan tidak berdaftar sebagai ubat tetapi di bawah kelas makanan.
“Jadi kalau fikir dengan logik, takkanlah minum produk ni boleh buat kita makin tinggi.
“Tak ada bahan aktif dalam produk ni, maka macam mana secara biokimianya produk tu boleh bertindak seperti tuntutan yang dikatakan,” jelasnya.
Jika ada bahan aktif pun, ia mesti berdaftar dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara bawah kategori A iaitu ubat terkawal yang mana boleh dipreskripsikan oleh doktor bertauliah sahaja, katanya.
Beliau juga akui ketinggian seseorang ditentukan 80% secara genetik.
FMT Ohsem juga menghubungi jurulatih kesihatan, Joanna Cheng yang turut sehaluan dengan komen pakar dan doktor. Jelasnya, semakin kita berumur, ketinggian mustahil boleh dipertingkat, apa yang perlu diberi perhatian ialah penjagaan kesihatan secara keseluruhan.
“Ramai yang menjual sekadar pil kalsium biasa tetapi mengiklankannya dengan bermacam-macam janji,” katanya.
Senaman juga katanya membantu, dari segi membetulkan postur badan dan bukan memberi ketinggian tambahan.
Guru yoga dari Sakthi School of Yoga, SK Durai yang berpengalaman luas dalam bidang ini akui yoga boleh membantu menambah ketinggian tetapi bukan secara literal atau langsung.
“Jika seseorang itu berusia bawah 21 tahun dan berhadapan masalah kemerosotan pertumbuhan cakera (di tulang belakang), yoga boleh membantu menguruskan kondisi merosot dan membantu pertumbuhan semulajadi.
“Kepada dewasa yang lain, ‘ketinggian’ hanya boleh diubahsuai dengan membetulkan postur di bahagian serviks dan toraks di tulang belakang,” jelas beliau.
Antara pose yoga yang disarankan oleh Durai untuk pembetulan posture adalah virasana (duduk dengan kaki lipat ke belakang), adho mukha svanasana (pose ”v” terbalik dengan kepala ditolak sedikit ke arah dada), paschimauttanasana (duduk melipatkan diri ke hadapan).
“Anda mungkin rasa ‘tinggi’ selepas mengamalkan senaman yoga, tetapi sebenarnya ia kesan pembetulan postur,” jelasnya.