Pelbagai tingkah laku buruk masih berlaku di koc wanita

Tidak lama dahulu, mungkin 10 tahun lepas, saya menggunakan komuter KTM untuk perjalanan ulang-alik dari Shah Alam ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.

Melihat lelaki di koc wanita adalah perkara biasa dan wanita biasanya sekadar menunjukkan muka tidak puas hati, melainkan mereka kelihatan “blur”, baru ditegur. Lazimnya mereka akan beralih ke koc terbuka, tetapi tidak ketinggalan yang masih berdegil untuk kekal di koc merah jambu.

Selepas 10 tahun berlalu dan masalah ini terus berlaku. Sesekali menaiki keretapi, jika bersama suami dan anak di koc biasa atau keseorangan di koc wanita, kelibat lelaki di koc wanita masih menjadi perkara biasa.

Namun kini, lelaki yang biasanya menaiki koc wanita antaranya pelancong atau warga asing. Bukan sekadar itu, mereka juga bertindak kurang sopan apabila tidak menawarkan tempat duduk kepada wanita hamil, kanak-kanak dan warga emas.

Pelbagai gambar dan tingkah laku buruk sesetengah lelaki dalam koc wanita terus dikongsi di laman sosial, tetapi perkara sama tetap berlaku.

Baru-baru ini sekeping gambar menunjukkan sepasang warga Timur Tengah menunjukkan jari tengah kepada wanita yang menegur mereka supaya duduk di koc bukan wanita viral di Facebook.

Walaupun gambar tersebut sudah diturunkan selepas dikongsi secara meluas, ia memberi gambaran sikap sesetengah penumpang yang bukan sahaja degil tetapi bersikap kasar dan kurang ajar.

Sebelum ini juga pernah viral gambar beberapa lelaki duduk di kerusi koc wanita manakala seorang gadis duduk bersila di atas lantai tren.

Ramai yang mempersoal jika wanita terus berdiam diri tanpa menegur lelaki yang masuk juga salah kerana mereka mungkin tersilap masuk atau tidak sedar.

“Sudah tentu kita akan rasa selamat duduk di koc tersebut. Pernah banyak kali juga pelancong asing lelaki menyinggah koc wanita. Dan memang takde sapa pun time itu nak tegur. Jadi, Balkis pernah juga tegur pelancong yang datang menyinggah ini, tak susah pun sebenarnya. Diorang okay boleh terima teguran dan siap mintak maaf lagi. Katanya memang tak perasan langsung papan tanda untuk koc wanita ini,” tulis pengguna, Siti Balkis, di Facebook.

Manakala pengguna bernama Julindah Ety pula kesal dengan lambakan lelaki dalam koc wanita dan tujuan koc tersebut diwujudkan apabila tiada penguatkuasaan.

“Dalam komuter… Dari TBS (Terminal Bersepadu Selatan) menuju Seremban. Ramainya lelaki dalam koc wanita. Nampaknya tak ada makna KTM mengadakan koc khas utk wanita jika masih ramai lagi lelaki dalam koc khas ni. Bila tiada penguatkuasaan, inilah yang berlaku,” tulisnya.

Bukan itu sahaja, ramai yang berkongsi pengalaman diraba atau diganggu oleh penumpang lelaki yang menaiki koc wanita, tidak tahulah sejauh mana kebenaran itu, tetapi mangsa memang sepatutnya membuat laporan polis selain melapor pada pihak KTMB itu sendiri.

Kepada mereka yang berdua atau berkeluarga, walaupun anda satu-satunya lelaki, anda masih tidak boleh masuk ke dalam koc wanita.

Pengalaman saya sendiri, mujur tidak pernah berdepan masalah seperti ini. Jika saya naik koc bukan wanita sekali pun bersama anak, saya akan diberikan tempat duduk oleh lelaki, termasuk warga asing.