Keluar masuk penjara perkara biasa ahli politik

Keluar masuk penjara perkara biasa ahli politik

Di Malaysia, keluar masuk penjara mahupun pusat tahanan menjadi tiket untuk sama ada menyertai politik atau mengembangkan lagi pengaruh bagi individu yang memperjuangkan sesuatu hak atau isu.

Diikutkan, berita pemimpin atau ahli politik keluar masuk penjara mahupun sebagai tahanan bagi sesuatu siasatan bukanlah perkara baharu di Malaysia mahupun seluruh dunia.

Sedangkan pemimpin gah seperti Nelson Mandela dan Jawarhalal Nehru pun pernah dipenjara atas sebab perjuangan mereka dilihat bertentangan dengan pemerintahan dan sistem ketika itu.

Jadi apabila berlaku perubahan angin pemerintahan, ia pasti menampakkan pelbagai kecenderungan pergolakan politik menerusi penahanan, siasatan, tuduhan dan akhirnya disabit kesalahan.

Di Malaysia, bukan seorang 2 ahli politik yang pernah keluar masuk penjara mahupun pusat tahanan sebaliknya lokasi itu menjadi tiket sama ada menyertai politik atau mengembangkan lagi pengaruh bagi individu yang memperjuangkan sesuatu hak atau isu.

Teringat pula kepada kenyataan bekas pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh yang pernah berjanji untuk memberkas dan mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya menerusi pilihan raya umum (PRU).

FMT Ohsem mengimbas beberapa individu yang berpengaruh politik tetapi ditahan dan dipenjara kerana sebab tertentu.

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan ini pernah disumbat ke dalam penjara ketika pemerintahan Dr Mahathir suatu masa lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Operasi Lalang pada 1987.

Kemudian pada 1998, beliau dipenjarakan semula di bawah Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan kerana “mencetak dengan niat jahat” risalah yang mengandungi ‘maklumat palsu’. Ini ekoran kes rogol gadis bawah umur oleh bekas ketua menteri Melaka,a Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Selepas rayuan diterima, Lim dipenjarakan selama 18 bulan. Bagaimanapun, beliau dibebaskan selepas 12 bulan pada 25 Ogos 1999.

Mat Sabu

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu pernah 2 kali ditahan di bawah ISA. Dalam tahanan pertama iaitu antara 1984-1986 beliau dituduh terlibat dalam gerakan pelampau. Beliau dikatakan menghadapi penderaan siasatan selama 60 hari, dibuang daerah ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan pergerakan terhad selama 2 tahun.

Penahanan kali ke-2 iaitu pada 1987 sehingga 1989 pula dibuat bersama-sama beberapa anggota pembangkang dari PAS dan DAP di bawah Operasi Lalang.

Lim Kit Siang

Pada 1969, Lim Kit Siang pertama kali ditahan di bawah ISA selama 18 bulan. Selepas itu, dalam tempoh 10 tahun, iaitu pada 1979, beliau disabitkan dengan 5 pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan kesepakatan senjata yang tidak sesuai antara kerajaan dengan sebuah syarikat Switzerland.
Beliau juga merupakan salah seorang yang ditangkap semasa Operasi Lalang pada 1987 dan menghabiskan 17 bulan dalam penjara di bawah ISA yang membenarkan 2 tahun penahanan tanpa perbicaraan.

Adam Rosly

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah adalah ahli politik terbaharu dari parti pemerintah (masa kini) yang dijatuhi hukuman penjara 6 bulan dan denda RM30,000 selepas didapati bersalah atas 6 pertuduhan memberi pernyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Adam Rosly didakwa memberi pernyataan palsu ketika percakapannya dirakam 2 pegawai penyiasat SPRM berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan; sumber pendapatan; hasil jualan kenderaan; banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang, yang dibeli secara tunai, pinjaman wang daripada ‘along’ sebanyak RM500,000 dan pinjaman RM200,000 daripada ibu mentua dan neneknya.

Bagi pertuduhan ke-3 hingga ke-6, dia didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu 2 perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada 2 individu serta 2 baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM.

Khir Toyo

Bekas menteri besar Selangor, disabit bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada 23 Disember 2011. Hak milik hartanah yang dimiliki beliau turut dilucutkan dan diserahkan kepada kerajaan.

Pada 27 Ogos 2014, rayuan kes yang ditangguh pada 15 April 2014 sepatutnya disambung semula di Mahkamah Persekutuan. Namun rayuan pada 28 Ogos 2014 ditangguh lagi kerana dia dimasukkan ke Hospital Pakar Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) Shah Alam kerana migrain yang teruk dikatakan menghidap sakit tulang belakang dikenali sebagai spondilosis servikal.

Khir disabitkan atas pertuduhan menyalahguna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh 2 lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta pada 2007 untuk dirinya dan isteri dan dipenjarakan pada 29 Mac di Penjara Kajang selama 6 bulan bakinya menerusi hukuman parol.

Rafizi Ramli

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Rafizi didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat and Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita akhbar The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Tak lengkaplah senarai ini kalau nama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seringkali digelar sebagai mangsa politik tidak dimasukkan.

Anwar, antara pemimpin kanan yang paling rapat dengan pintu mahkamah dan penjara selepas hampir 20 tahun hidupnya diluangkan dibelakang kandang saksi dan tirai besi.

Dilucutkan jawatan timbalan perdana menteri pada 1998, Anwar kemudiannya ditangkap atas kesalahan korupsi kerana mengganggu siasatan polis terhadap salah laku seksualnya. Beliau dihukum penjara 6 tahun atas 4 kesalahan korupsi.

Pada 2000 beliau sekali lagi dijatuhi hukuman 9 tahun atas tuduhan meliwat pemandu keluarganya. Pada 2004 sabitan liwat beliau dibatal dan Anwar dibebaskan. Pada 2008 Anwar ditangkap semula atas tuduhan meliwat pembantu peribadi, Saiful Bukhari Azlan dan mengenakan hukuman penjara 5 tahun pada 2015. Fuh, jauh sungguh perjalanan Anwar!

Selain nama-nama yang disebut di atas, ramai lagi ahli politik yang menjadi “tetamu” tirai besi, khususnya sewaktu Operasi Lalang ketika pemerintahan Dr Mahathir.

Antaranya ialah (jawatan ketika penangkapan) Presiden Aliran, Chandra Muzaffar; Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh; Naib Presiden MCA dan Perak, Chan Kit Chee; Ketua Pemuda PAS, Halim Arshat; Ahli Parlimen Pasir Mas PAS Ibrahim Ali dan ramai lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.