7 tahun makan pil kurus tapi berat naik 2 kali ganda

7 tahun makan pil kurus tapi berat naik 2 kali ganda

Jangan menggadai kesihatan anda semata-mata untuk kelihatan langsing dengan mengamalkan rutin atau kaedah yang berbahaya.

Kisah seorang wanita dari China yang mengambil pil kurus selama 7 tahun akhirnya berdepan isu kesihatan yang serius menarik perhatian ramai.

Wanita itu, Xiaoli, 25 naik 40 kg dan beratnya semakin bertambah selain hadapi kesukaran menurunkannya.

Penyelesaian terakhir, Xiaoli terpaksa menjalani pembedahan perut di sebuah hospital di Chengdu, China selepas semua program penurunan berat dan produk pelangsingan mengecewakan.

Xiaoli berkongsi kisahnya dalam sebuah akhbar Chengdu, Business Daily dan menggesa orang ramai supaya tidak tertipu dengan iklan-iklan yang memberi harapan palsu.

Katanya, dia juga tertipu dengan iklan-iklan di televisyen sehingga ‘makan pil’ yang banyak dari pelbagai jenama, namun kesan selepas berhenti makan pil semuanya hampir sama, iaitu berat naik mendadak.

Awalnya Xiaoli hanya seberat sekitar 44kg dan mengambil pil kurus untuk menurunkan lagi berat badannnya sehinggalah mencapai berat impian.

Namun sejurus selepas berhenti dia naik.

“Kemudian saya cuba pil lain, ia juga membawa masalah sama. Berat badan naik dan sukar turun.

“Saya membelanjakan kira-kira 200,000 yuan (RM120,000).

“Ini termasuk program diet dan membentuk badan daripada pelbagai pusat pelangsingan,” katanya dalam laporan akhbar itu.

Doktor yang merawat Xiaoli pula akui, kenaikan berat badan mendadak itu disumbang oleh tabiat makan wanita itu selain dadah dalam pil yang diambilnya.

Jadi berpada-pada dan rujuk pakar sebelum memulakan sesuatu rejim, khususnya berkaitan kesihatan dan pengambilan ubat-ubatan.

FMT Ohsem menyenarai 5 rejim pelangsingan badan yang tidak sepatutnya diikuti kerana ia memberi kesan sampingan yang membahayakan. Apa sekalipun amalan anda untuk mengurangkan berat, buatlah secara berpada, terhad dan pastikan ia selamat.

1. Pembersihan abdomen
Pembersihan abdomen yang melampau sama ada menggunakan pil, peralatan bantuan dan memuntahkan makanan secara paksa boleh membawa kepada pelbagai kesan berbahaya. Ia memberi kesan kepada abdomen sehingga boleh menyebabkan penyakit kronik seperti kanser, menyebabkan tubuh mengalami dehidrasi atau penyakit lain yang memudaratkan misalnya eneroksia.

2. Senaman berlebihan
Walaupun senaman itu penting dalam rutin harian, jangan lakukannya secara melampau. Ini kerana ia boleh menyebabkan kecederaan, dehidrasi yang akhirnya membawa kesan buruk kepada buah pinggang, ketidakseimbangan elektrolite dan nafsu untuk makan lebih.

3.Merokok
Ramai yang menggunakan rokok sebagai alat mengurangkan berat badan. Mungkin anda tak perlukan penjelasan panjang lebar mengapa ia bukan satu pilihan yang bijak.

4. Berlapar
Kenapa perlu berlapar? Kadang-kala berlapar juga boleh menaikan berat badan.Keadaan berlapar menurunkan kadar metabolisme sehingga menyebabkan sindrom metabolik selain mencetus diabetes Jenis-2.

5. Pil pelangsing atau kurus
Ia juga bukan satu pilihan yang sihat. Selain memberi kesan pasca pengambilan, kandungan dadah dalam pil tersbeut juga menyebabkan pelbagai gangguan kesihatan, antaranya gangguan hormon seperti tiroid. Ubatan yang dibeli tanpa kelulusan pihak berkuasa pula memberi kesan kepada organ dalaman seperti hati, buah pinggang, jantung dan sebagainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.