Mengulas kenyataan Presiden SUPP Datuk Sim Kui Hian semalam, Chieng Jen berkata gesaan kepada warga Sarawak untuk tidak lagi merujuk Sarawak bukan sebagai salah satu negeri di Malaysia adalah tidak memadai.
“Tidak ada gunanya Kui Hian terjerit-jerit di luar Parlimen semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai,” katanya.
Tambahnya lagi, ketika Malaysia dibentuk ia terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak tetapi pada 1976 Perlembagaan Persekutuan dipinda menjadikan Malaysia terdiri daripada 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.
“Pindaan keatas perlembagaan adalah lebih bermakna. Sekiranya Kui Hian dan pimpinan BN lain percaya akan hal ini, mereka perlu desak pemulihan status asal Sabah dan Sarawak.”
Chieng Jen berkata DAP menyokong penuh pemulihan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setaraf dalam Persekutuan.
“Tak lagi berbangkit isu tak peroleh undi majoriti 2/3 di Parlimen. Sekiranya BN mengusulkannya, DAP akan beri sokongan penuh dan cukupkan korum 2/3 itu.”
Sementara itu, Adun Serembu Miro Simuh daripada BN bersependapat dengan seterunya daripada DAP itu kerana ia selaras dengan usaha Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mendapatkan autonomi buat Sarawak.
Enggan mengulas lanjut, Miro berkata BN Sarawak teguh dibelakang Adenan memperjuangkan hak Sarawak.
Di Sabah, Timbalan Presiden SAPP Melanie Chia bersetuju dengan kenyataan DAP itu, dan berkata hal ini turut diperkatakan di negerinya.
“Rakyat Sabah dan Sarawak perlu melihat diri kita sebagai rakan setaraf dan menuntut status, hak dan kuasa dua wilayah ini dipulihkan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.”
