Jalur Gemilang koyak di Dataran Merdeka akhirnya diganti

Jalur Gemilang koyak di Dataran Merdeka akhirnya diganti

DBKL menghargai keprihatinan masyarakat tapi meminta semua pihak memahami kelewatan itu berpunca daripada cuti sambutan Aidilfitri.

Tengku-Adnan_malaysia1

KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam akhirnya menaikkan Jalur Gemilang baharu bagi menggantikan bendera lama yang koyak akibat ribut pada minggu lepas.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kelewatan menukar Jalur Gemilang koyak itu kerana kebanyakan kakitangan DBKL sedang bercuti sempena sambutan Aidilfitri.

“Kita sudah arahkan DBKL menukarnya dan ia ditukar semalam. Tidak perlulah buat kecoh tentang perkara ini,” katanya ketika dihubungi FMT.

Pada minggu lalu, gambar Jalur Gemilang yang koyak di Dataran Merdeka tersebar di media sosial dengan kebanyakan netizen mengkritik DBKL kerana tidak prihatin dan lambat menggantikannya.

Mengulas perkara itu, jurucakap DBKL berkata mereka menghargai keprihatinan masyarakat terhadap bendera negara namun berharap semua pihak dapat memahami kekangan yang terpaksa dihadapi.

“Memandangkan ia berlaku pada hari raya pertama (6 Julai), kita terpaksa menunggu untuk menggantikannya kerana ramai yang bercuti panjang.

“Kontraktor yang menyelenggarakannya juga bercuti pada hari raya pertama dan kedua. Bendera koyak itu diturunkan pada raya ketiga dan semalam kita sudah menaikkan bendera baru.

“Biasanya bendera di Dataran Merdeka itu diselenggarakan tiga bulan sekali dan memang akan ditukar secepat mungkin jika rosak. Janganlah kata kami tak ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata DBKL akang mengkaji semula kualiti bendera yang akan digunakan agar lebih tahan lasak pada masa akan datang.

Jalur Gemilang itu digantung pada tiang berketinggian 95 meter di bahagian selatan Dataran Merdeka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.