DAP: Lebih banyak berita palsu menjelang PRU14

DAP: Lebih banyak berita palsu menjelang PRU14

Ahli Parlimen Pakatan Harapan sedar isu penyebaran berita palsu melalui media sosial hanya untuk menyakiti mereka, sebagaimana kesan diterima semasa pilihan raya presiden Amerika Syarikat baru-baru ini.

teresa-kok
PETALING JAYA:
Parti pembangkang menjangkakan lebih banyak berita palsu muncul di media sosial dengan semakin hampirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

“Saya tidak akan terkejut jika lebih banyak berita palsu mula merebak. Kita tidak boleh mengelaknya. Kejadian seperti itu biasanya timbul apabila musuh politik melihat kita sebagai ancaman dan menyuruh cybertrooper mereka berita palsu (berkenaan pembangkang),” kata ahli Parlimen Seputeh itu kepada FMT.

Kok berkata, satu-satunya perkara mereka boleh lakukan adalah dengan segera menangani sebarang maklumat salah yang tersebar dengan menggunakan media sosial itu sendiri bagi membersihkan suasana dan mempertikaikan laporan itu.

Beliau menjelaskan ini lebih pantas berbanding membuat laporan polis atau laporan dalam talian berhubung bahan berita palsu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Kok berkata demikian merujuk kepada penyebaran berita palsu dikaitkan dengan Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, berhubung kejadian buli terhadap pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) oleh pasangan suami isteri di Sungai Buloh pada Khamis.

Menurut berita palsu yang diterbitkan portal berita, mendakwa Ean Yong membantu dalam menyelesaikan pertikaian di antara pasangan dan pegawai berkenaan.

Ean Yong berkata beliau percaya ia kerja musuh politik untuk memberi tanggapan negatif terhadap kerajaan campuran Pakatan Harapan di Selangor.

Kok berkata ia satu tindakan yang baik apabila penyokong mereka memainkan peranan dengan berada di dalam talian untuk membersihkan suasana apabila sesuatu perkara seperti itu timbul.

“Berita palsu sebegitu memang sudah tersebar sejak sekian lama, penyokong dan netizens juga lebih berhati-hati hari ini,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil juga berpendapatlebih banyak berita palsu berlegar dengan hampirnya PRU14, menegaskan “berita” sebegitu disebarkan secara meluas semasa pilihan raya kecil.

Beliau menjelaskan berita palsu seperti itu boleh mengukuhkan prejudis dan persepsi, dan memberi impak di kalangan pengundi yang belum membuat keputusan, sama ada bandar atau luar bandar.

“Cara terbaik bagi parti dan ahli politik untuk menangani berita palsu itu adalah berada di hadapan naratif, bertindak balas dengan cepat dan jelas.

“Ia juga membantu untuk mempunyai saluran komunikasi yang jelas dan langsung dengan orang ramai bagi memperoleh mesej yang betul disampaikan,” kata Fahmi.

Tidak tepat, tajuk sensasi

Sementara itu, jurucakap MCA Ti Lian Ker berkata berita palsu boleh menjadi alat yang sangat berkesan dalam mempengaruhi pengundi atas pagar kerana ramai hanya membaca tajuk utama.

Bekas ahli Dewan Undangan Negeri Pahang itu berkata, tajuk sensasi dan tidak tepat boleh mempermainkan emosi pengundi atas pagar – sering dianggap sebagai penentu dalam mana-mana pilihan raya.

“Orang ramai cenderung mempercayai berita paling negatif melalui laporan sensasi yang boleh mempengaruhi mereka. Beberapa pengundi yang mungkin tidak berminat mengundi akan bertindak balas terhadap berita itu dengan mengundi,” kata Ti.

Akhbar harian UK, The Independent, baru-baru ini melaporkan sejak kemenangan Donald Trump pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat, perdebatan timbul berhubung kesan berita palsu kepada pengundi.

Ini berikutan banyak cerita rekaan daripada laman web yang boleh dipersoalkan, dikongsi meluas di media sosial berbanding laporan daripada sumber dipercayai, termasuk Trump diperkenan menjadi presiden oleh Pope.

Menurut The Independent, Canselor Jerman Angela Merkel juga menyuarakan kebimbangan beliau tentang laman web berita palsu menjelang pilihan raya negara itu.

Exco Selangor nafi kenal pasangan ‘buli’ pegawai MBSA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.