Amaran TPM jangan lindungi pegawai jual senjata api

Amaran TPM jangan lindungi pegawai jual senjata api

Berdasarkan siasatan, terdapat pegawai jabatan berkenaan dikesan melakukan aktiviti jual beli senjata api sejak tahun 2012, selain berlaku penyelewengan melalui semakan dan audit yang dijalankan.

Zahid-rela
AYER KEROH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada ketua jabatan agar tidak melindungi pegawai dipercayai terbabit dalam aktiviti jual beli senjata api milik pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Merujuk kepada kes didedahkan media semalam, timbalan perdana menteri berkata, berdasarkan siasatan, terdapat pegawai jabatan berkenaan dikesan melakukan aktiviti jual beli senjata api sejak tahun 2012, selain berlaku penyelewengan melalui semakan dan audit yang dijalankan.

“Jika senjata hilang umpamanya, jangan ada ketua jabatan melindungi individu itu. Kalau ada, saya akan ambil tindakan ke atas orang yang melindungi.

“Saya ambil (tindakan) itu sebagai tanggungjawab. Jadi kita harus tegas dan adil. Kita tidak akan melindungi apatah lagi berkompromi dengan perbuatan seperti ini,” kata beliau di sin hari ini.

Kata Zahid, siasatan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia bagi tindakan sewajarnya.

“Saya sebutkan bahawa kita tidak akan berkompromi dan melindungi individu terbabit.

“Hasil siasatan itu kita akan serahkan kepada DPP (Timbalan Pendakwa Raya) untuk perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Kementerian Dalam Negeri 2017 di sini, hari ini.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, kerajaan telah menubuhkan pasukan khas yang berperanan melaksanakan beberapa langkah segera dalam menambah baik pengurusan senjata api Rela.

Dipetik Bernama, beliau memberitahu, menerusi pasukan khas berkenaan, urus setia persenjataan Rela akan melaksanakan piawaian baharu yang perlu dipatuhi anggota dan pegawai RELA dalam penggunaan senjata api jabatan itu.

Tindakan menyeluruh termasuk manual pengurusan senjata api yang sedia ada perlu dilaksanakan dan semua arahan tetap Ketua Pengarah Rela dikuatkuasakan serta-merta.

“Kita juga telah menubuhkan pasukan naziran senjata api di pejabat Rela Malaysia, melaksanakan pemeriksaan menyeluruh terhadap senjata api serta penambahbaikan tatacara pengeluaran senjata api,” katanya.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, pelan pengurusan jangka panjang senjata api Rela turut dirangka antaranya menambah baik stor penyimpanan senjata api dan meningkatkan kemahiran anggota Rela dalam pengurusan persenjataan.

Jawatan Pegawai Unit Persenjataan akan diwujudkan bagi menjaga dan mengurus semua hal berkaitan senjata api jabatan berkenaan secara lebih efisien dan telus.

Semalam akhbar melaporkan 6 individu di Kedah dan Perak ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti jual dan beli sebahagian daripada 44 laras senjata api milik Pasukan Rela daerah Selama, Perak, yang dikesan hilang sejak awal bulan ini.

Kegiatan itu terbongkar selepas Unit Penguat Kuasa Lesen Senjata Api Agensi Kerajaan, Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Bukit Aman, melakukan pemeriksaan dan audit di Pusat Latihan Rela, Wilayah Utara (PLRWU) di Sungai Petani, Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.