
Peguam Alex De Silva yang tampil mewakili penyandang setiausaha agung, J Solomon, berkata anak guamnya memperoleh injunksi terhadap majlis am MTUC untuk menghentikan pemilihan jawatan tersebut.
“Injunksi berkuatkuasa sehingga permohonan Solomon untuk mendapatkan pengisytiharaan bahawa keputusan majlis untuk mengadakan pemilihan semula untuk jawatan tersebut terbatal dan tidak sah,” katanya kepada FMT.
Solomon memperoleh perintah injunksi itu 10 hari lalu dan Mahkamah Tinggi menetapkan kes itu didengar pada 21 September.
Peguam itu berkata demikian ketika ditanya sama ada anak guamnya memohon penyelesaian undang-undang selepas majlis am pada 16 Julai lalu memutuskan untuk mengadakan pemilhan semula selepas 2 perwakilan yang tidak layak mengambil bahagian dalam pemilihan itu.
Solomon dalam kenyataan selepas mesyaurat itu mendakwa keputusan untuk mengadakan pemilihan semula jawatan setiausaha agung dan 7 naib presiden yang diperuntukkan kepada kesatuan sektor swasta bukan keputusan kolektif yang disebut Presiden Abdul Halim Mansor.
Beliau berkata satu-satunya keputusan kolektif yang dibuat ialah membatalkan kelayakan Kamarul Baharin Mansor, seorang naib presiden, dan Mohamed Dauzkaply Nor Ghazali, seorang ahli majlis am, yang bertanding dan tewas dalam pertandingan jawatan setiausaha agung dalam perlawanan 3 penjuru tahun lepas.
Beliau berkata Kamarul Baharin dan Dauzkaply tidak lagi menjadi ahli atau wakil MTUC.
Beliau berkata Peraturan 10(8) perlembagaan MTUC menyatakan jika berlaku kekosongan, kedudukan itu akan diisi oleh majlis.
Bagaimanapun, Solomon mendakwa, presiden dan penyokongnya dalam majlis itu tetap dengan keputusan untuk mengadakan pemilihan semula.
Beliau berkata pemilihan semula bagi jawatan setiausaha agung tidak timbul kerana pelucutan kelayakan Dauzkaply tidak menyebabkan kekosongan jawatan kerana beliau tewas dalam pemilihan.
Beliau berkata cadangan pemilihan semula untuk setiausaha agung dan naib presiden itu tidak berperlembagaan.
Dalam pemilihan November lepas, Halim, bekas setiausaha agung MTUC memenangi jawatan presiden pada mesyaurat perwakilan yang diadakan setiap 3 tahun.
Halim memperoleh 279 undi untuk mengalahkan pemangku presiden Abdullah Sani Abdul Hamid yang memperoleh 251 undi.
Solomon, yang juga setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), menyebabkan kejutan apabila menewaskan penyandang Gopal Kishnam.
Solomon mendapat 189 undi, Gopal 169 manakala Dauzkaply, 165.
Halim dan Solomon dikatakan membentuk suatu pakatan untuk mengalahkan para penyandang.
FMT difahamkan hubungan kerjasama mereka memburuk sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila kerajaan melantik Halim sebagai wakil MTUC ke lembaga pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Solomon juga memfailkan saman fitnah terhadap Halim dan bekas setiausaha agung, G Rajasekaran.
Halim dan Solomon tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen.
MTUC berdepan krisis selepas pertikaian status setiausaha agung