
Asalnya Kampung Pasir Udang, ia kemudian berkembang kepada beberapa buah lagi kampung, sebelum mengambil nama bersempena dengan gudang yang menyimpan pasir untuk dijual ke Singapura.
Kini Pasir Gudang menempatkan Pelabuhan Johor, pelabuhan pertama dibina di negeri itu.
Bagi wakil rakyatnya, Datuk Normala Abdul Samad, bukan sahaja kapal yang berlabuh di sini. Calon pembangkang yang “bermusim” juga berlabuh ke sini untuk mencabar cengkaman Umno sekian lama.
“Mereka datang buat kerja apabila nak dekat pilihan raya. Berbeza dengan kita yang sudah buat kerja dari awal lagi,” kata Normala kepada FMT.
Pada 2013, Normala, seorang pendatang baru, mengalahkan calon PKR, Ahmad Faidi Saidi, dengan majoriti tipis 935.

Normala mewakili sebuah kawasan Parlimen yang penting, kerana di sinilah terletaknya kerusi negeri Permas yang diwakili Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin, yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Gudang, di mana Khaled menang pada 2008 dengan majoriti besar melebih 17,000. Prestasi Khaled lebih membanggakan pada 2004, di mana beliau menang dengan majoriti melebihi 31,000 mengalahkan calon PKR, A. Razak Ahmad.
Normala menjangkakan kemenangan tipisnya pada 2013 disebabkan pengundi Cina yang mengundi pembangkang. Sokongan Cina kepada pembangkang dapat dilihat apabila kerusi negeri Johor Jaya yang dipegang MCA selama 2 penggal jatuh kepada DAP.
Kerusi Parlimen Pasir Gudang, di mana hampir separuh adalah pengundi Melayu, manakala 38% Cina dan 11% India, diwujudkan pada 2003, sebagai pecahan kepada kerusi Johor Bahru.
Ia antara 40 kerusi campuran marginal yang dimenangi BN yang disasarkan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 nanti.
Khaled kembali?
Normala enggan mengulas desas-desus sama ada Khaled akan dicalonkan semula ke kerusi Parlimen kerana popularitinya.
“Apa yang penting bagi saya, dan juga semua pimpinan BN di Johor, ialah bekerja kuat bagi mengekalkan kerusi di sini,” katanya.
Bagi Normala, tahap sokongan pengundi Cina tetap menjadi masalah yang perlu diatasi BN.
“Kita tidak cakap bahawa semua mereka akan undi kita atau undi DAP,” katanya. “Tetapi kita yakin jumlah yang menyokong kita (BN) mampu kekalkan kita.”

Sebelum kewujudan Pasir Gudang sebagai kerusi Parlimen, Khaled mewakili kerusi Parlimen Johor Bahru selama 14 tahun, memenangi 3 pilihan raya umum (PRU) iaitu pada 1990, 1995 dan 1999.
PKR, yang diberikan laluan oleh PH untuk bertanding di Pasir Gudang, masih belum menentukan calonnya.
Walaupun majoriti BN mengecil pada setiap pilihan raya sejak 2004, Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim mengakui akan berlaku persaingan sengit.
“Penyokong PH tidak boleh ambil mudah. Kalau kita terlalu yakin untuk menang, juga tidak boleh, nanti kita leka,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, PPBM yakin rakannya PKR akan menawan Pasir Gudang kali ini.
“Kita pasti, pengundi Cina pasti menolak BN dan Umno. Kita hanya menunggu tsunami Melayu sahaja,” katanya,” kata Ketua Bahagian PPBM Pasir Gudang, Dr Hashim Yusoff.
Pada PRU akan datang, PPBM akan bertanding di kerusi negeri Permas, manakala DAP akan berusaha mempertahankan Johor Jaya.