Di Sik, ‘Raja Lawak’ dari Amanah jadi ‘raja lawan’

Di Sik, ‘Raja Lawak’ dari Amanah jadi ‘raja lawan’

Sulaiman Ibrahim, yang pernah menyertai rancangan realiti Raja Lawak, bertekad membawa isu kemiskinan dalam kempen sekiranya dicalonkan Amanah.

Sulaiman-Ibrahim
Bekas pelawak Sulaiman Ibrahim, atau Leman Raja Lawak, kini mengetuai Amanah di Sik. (Gambar Facebook)
ALOR STAR:
Walaupun tiada catatan bertulis berkenaan daerah Sik di Kedah ini, sejarawan berkata pekan itu mendapat namanya daripada perkataan Arab, “Sayyid” atau “Syed”, selepas rombongan pendakwah Arab yang memulakan pembandaran di situ ratusan tahun lalu.

Pendakwah tersebut tiba melalui Sungai Chepir iaitu hulu Sungai Muda ke arah tenggara dari laut. Mereka juga menubuhkan sekolah pondok pertama, kemungkinan yang pertama di Kedah.

Penduduk tempatan berkata Sik dieja sebegitu, bukan Syed atau Sayyid, kerana cara sebutan dialek Kelantan bagi perkataan Sayyid. Mereka berkata sebutannya bertukar antara “sik” dan “saik”.

Faktor dialek Kelantan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan daerah itu berdekatan negeri itu di mana kebanyakan bercakap dalam loghat “Hulu Kedah”. Campuran dialek Melayu Utara dan Melayu Kelantan digunakan di Sik, Yan, dan Baling itu sangat unik.

Hari ini, Sik adalah daerah terbesar di Kedah, bersempadan dengan Yala di timur laut. Saiznya 2 kali lebih besar daripada Seberang Perai, Pulau Pinang.

Kebanyakan penduduk di Sik terlibat dalam perniagaan pertanian, terutamanya dalam menoreh getah.

Di Sik, terdapat air terjun, taman semula jadi dan empangan buatan manusia iaitu empangan Beris dan juga tarikan makanan. Di pekan, Restoran Ishak berhadapan stesen bas menjual kuey teow th’ng dihidangkan dengan pes cili. Apa yang luar biasa, hidangan itu disediakan oleh peniaga Melayu.

Ia luar biasa kerana keturunan Cina di daerah itu tidak mencecah pun jumlah 500 orang. Majoriti penduduk adalah Melayu iaitu lebih kurang 50,000 orang dan lebih kurang 3,000 penduduk adalah Siam.

Kubu Umno

Dari segi politik, Sik adaah kubu kuat Umno sejak sekian lama, dengan sesetengah wakil rakyat menang majoriti tipis dalam pertarungan dengan PAS.

Ahli Parlimen Sik sekarang adalah wakil BN, Dr Mansor Abdul Rahman, doktor perubatan yang menenangi pilihan raya lalu dengan 22,084 undian, mengalahkan wakil PAS, Che Uda Che Nik yang meraih 19,277 undian.

Pada 2008, Che Uda memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis sebanyak 481 undian, mengalahkan wakil BN, Datuk Othman Desa.

Pada 1999, seniman negara, arwah Datuk Shahnon Ahmad yang mewakili PAS berkhidmat sebagai ahli Parlimen selama sepenggal. Penggal seterusnya pada 2004, pengundi memilih BN sekali lagi.

Pada pilihan raya tahun 2013, terdapat 46,786 pengundi berdaftar, dengan Melayu sebanyak 93%, lain-lain sebanyak 5% dan Cina sebanyak 2%.

Pelawak masuk politik

Menyedari pengaruh Umno dan PAS di Sik, Sulaiman Ibrahim, 37, dari Amanah, bertekad mengalahkan 2 parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sulaiman yang menjadi terkenal sebagai pelawak musim ke-5 rancangan realiti televisyen Raja Lawak pada 2012.

“Saya mahu menyertai politik. Dan saya sedar televisyen adalah platform untuk saya, tidak kira saya menang atau tidak,” katanya kepada FMT pada satu temubual.

Daripada rancangan itu, Sulaiman yang bercakap dengan gaya bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, beliau menjadi ahli PAS sejak 2011.

Beliau sebelum ini dikenali sebagai “Leman Raja Lawak” tetapi selepas memberi beberapa ucapan politik di luar televisyen, orang ramai mula merujuknya sebagai “Leman Raja Lawan”.

Pada 2016, Sulaiman keluar PAS untuk menyertai Amanah susulan apa yang disifatkan olehnya sebagai kacau-bilau dalaman. Beliau kini Ketua Amanah di Sik.

Sulaiman berkata tujuan utama hidupnya adalah membantu orang miskin. Sulaiman yang dibesarkan oleh ibu tunggal, berkata, beliau faham kesusahan hidup.

“Ibu saya penoreh getah dan membuat kerja rencam. Salah faham umum yang mengatakan orang kampung bersikap malas tidak benar. Penduduk Sik adalah orang yang sangat bekerja keras,” katanya.

Katanya, hidupnya sangat susah beliau terpaksa berhenti melanjutkan pengajian tahun ke-2 di universiti kerana gagal membayar yuran pengajian.

Sulaiman berkata beliau kemudiannya sedar politik adalah saluran yang boleh beliau gunakan. Sejak menubuhkan pusat khidmat Amanah di situ pada 2015, beliau bekerja keras untuk membantu rakyat.

Di kawasan ini, terdapat 300 atau lebih penduduk golongan miskin tegar dan 6,000 lain dalam kategori miskin, menurut pengiraan Amanah di Sik.

Sulaiman menguruskan satu pasukan pekerja kebajikan seramai 10 orang bawah Skuad Peduli Amanah Sik. Mereka mengagihkan bantuan dalam bentuk barang keperluan.

Beliau berkata ini adalah hasil sumbangan penderma tempatan yang tampil untuk membantunya membeli barang keperluan.

Tanah dijual pada harga murah

Tetapi beliau kesal dengan kekurangan orang luar yang tidak mengambil peluang menjalankan perniagaan di Sik di mana berbidang tanah rata dijual pada harga murah.

Beliau menegaskan Sik mempunyai banyak tanah yang sesuai untuk pertanian. Jika dibangunkan, ia dapat mewujudkan pekerjaan untuk golongan miskin.

“Ekonomi di Sik sangat perlahan kerana kuasa membeli penduduk di Sik sangat rendah dan mereka terpaksa mencatu wang mereka,” katanya.

Sulaiman berkata kerajaan negeri pimpinan BN sekarang juga tidak menghiraukan seruan aktivis alam sekitar untuk menamatkan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.

Akibatnya, banyak sungai sudah tercemar dan hakisan tanah berlaku di banyak tempat.

“Saya tidak tahu jika saya akan dicalonkan di sini. Tetapi jika saya dijadikan calon, saya akan memastikan pembangunan dijalankan untuk penduduk di Sik. Saya mahu menaik taraf pekan ini kerana ia berpotensi besar.

“Banyak kawasan pembangunan yang tidak digunakan. Saya mahu meningkatkan kehidupan orang miskin di sini. Pada masa sama, saya mahu melindungi hutan yang berharga daripada dirosakkan,” kata Sulaiman.

Sementara itu, sumber rapat BN di Kedah berkata ahli parlimen Sik sekarang yang mewakili Umno, Dr Mansor, kemungkinan besar dikekalkan sebagai calon pada PRU14.

Bagi PAS pula, satu lagi sumber mengatakan ketua bahagian daerah itu, Muhammad Sanusi Md Nor dikatakan akan bertanding. Sanusi adalah timbalan pesuruhjaya PAS Kedah dan sebelum ini menjadi setiausaha politik bekas menteri besar negeri itu, arwah Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Dr Mansor dan Sanusi sudah dihubungi tetapi masih belum mendapat sebarang respons pada waktu artikel ini ditulis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.