Nilai saya melalui rekod prestasi, Zairil beritahu pengundi

Nilai saya melalui rekod prestasi, Zairil beritahu pengundi

Ahli Parlimen Bukit Bendera penggal pertama itu tidak menghiraukan pelbagai kontroversi yang membelenggunya, termasuk pertunangannya dengan rakan dalam parti sama baru-baru ini.

Free Malaysia Today
Zairil Khir Johari optimistik dengan rekod DAP di Pulau Pinang, tetapi mengakui penduduk Pulau Pinang adalah ‘pengundi tidak dapat dijangka dan bijak’.
GEORGE TOWN:
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mengetepikan kebimbangan pertunangannya dengan rakan dalam parti sama, Dyana Sofea Mohd Daud mungkin memusnahkan kerjaya politik mereka.

Zairil, yang dipilih sebagai ahli Parlimen pada 2013, mengumumkan pertunangannya dengan Dyana pada 10 Mac lalu, selepas spekulasi selama beberapa bulan mengenai hubungan mereka.

Walaupun dikritik sesetengah pihak, Zairil menaruh kepercayaan kepada pengundi yang akan menilainya berdasarkan usahanya sebagai ahli Parlimen selama 5 tahun ini.

“Saya tidak terlepas daripada kontroversi. Sejak pilihan raya pertama saya pada 2013, pengkritik menggunakan taktik memburuk-burukkan saya. Terserah kepada rakyat untuk menyerang saya, jika mereka mahu.

“Saya tak dapat menghalang orang daripada mensensasikan perkara. Tetapi akhirnya, apa yang saya tawarkan adalah kerja, komitmen dan rekod prestasi saya.

“Saya sangat berharap pengundi akan menilai saya berdasarkan perkara itu,” katanya dalam temu bual dengan FMT.

Zairil tidak asing lagi dengan kerusi panas itu. Beliau dikritik selepas mengambil keputusan menyertai DAP kerana beliau adalah anak Tan Sri Md Khir Johari, bekas setiausaha agung Umno.

Beliau meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif di kilang coklatnya untuk menyertai politik sepenuh masa pada akhir 2010. Dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai setiausaha politik Lim Guan Eng di Kuala Lumpur.

Membongkar skandal di Parlimen

Untuk membuktikan keberaniannya sebagai ahli Parlimen penggal pertama, Zairil mendedahkan skandal menarik perhatian negara, seperti projek 1BestariNet di bawah Kementerian Pendidikan yang bernilai RM4.1 bilion.

Di bawah projek itu, sebanyak 10,000 sekolah kerajaan di seluruh negara dilengkapi internet berkelajuan tinggi dengan kelas pembelajaran maya khas untuk pelajar.

Zairil berkata, pendedahan pada 2013 itu menyaksikan penubuhan sebuah jawatankuasa pengawasan Parlimen ke atas projek itu yang bersetuju dengan dakwaannya ia satu pembaziran wang.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati projek itu dipenuhi perbelanjaan mencurigakan dan kontrak itu tidak dikendalikan dengan baik.

Zairil berkata, program itu masih diteruskan walaupun jawatankuasa itu mencadangkan ia dihentikan. Kajian semula oleh Kementerian Pendidikan juga belum selesai.

Zairil yang juga penolong setiausaha publisiti DAP, berkata beliau turut mendedahkan keperluan mengimport buku teks bahasa Inggeris dari Sepanyol untuk pelajar darjah 1 dan tingkatan 1, hujung tahun lalu.

Beliau berkata, buku teks itu direka untuk pelajar Sepanyol dan kandungannya yang hanya relevan kepada pelajar di Eropah.

“Saya membuat kiraan kasar kos buku ini dan anggarannya sebanyak RM33 juta. Angka sebenar adalah RM34 juta.

“Ini dibelanjakan apabila buku teks tempatan bernilai RM7 juta sudah dibeli untuk pelajar. Apabila mereka mahu membeli buku teks baharu dari Sepanyol, saya tahu sesuatu tidak kena.”

Tiada bulan madu di Bukit Bendera

Zairil berdepan masalah di 3 daripada 4 DUN di bawah kerusi Parlimen Bukit Bendera yang diwakilinya.

Di Kebun Bunga, Cheah Kah Peng tidak lagi disukai pucuk pimpinan negeri. Adun Pulau Tikus, Yap Soo Huey pula bercadang mengambil cuti sabatikal, manakala Teh Yee Cheu di Tanjung Bungah akan meninggalkan DAP apabila penggalnya berakhir.

Satu-satunya kerusi yang stabil ialah Air Putih – kawasan DUN terbesar di Bukit Bendera yang kini disandang Lim, ketua menteri Pulau Pinang.

Zairil memberitahu FMT, beliau berdepan masalah sumber pendapatan rakyat yang biasanya ditangani adun.

Walaupun berdepan pelbagai masalah daripada lampu isyarat kepada saliran, katanya, pejabatnya tidak pernah menolak sebarang aduan rakyat.

“Pejabat saya mengamalkan dasar ‘tiada pintu salah’ dan kami mengambil semua aduan.”

Beliau memberi contoh bangunan pangsapuri di Tanjung Tokong, di mana penduduknya berdepan kualiti air kotor akibat paip karat.

Pusat khidmatnya menukar keseluruhan sistem paip untuk membolehkan penduduk menikmati bekalan air bersih.

“Kami turut menggantikan lif usang untuk flat kos rendah yang bermasalah di kawasan itu.”

Rancangan besar seterusnya untuk penduduk Bukit Bendera ialah Jalan Berkembar Pesisir Utara (NCPR), jalan pintas yang akan mengurangkan kesesakan lalu lintas ke pantai peranginan popular, Batu Ferringhi.

Ketika ini hanya ada satu jalan utama di pantai utara Pulau Pinang ke Batu Ferringhi.

Walaupun ada pihak mengkritik projek itu, Zairil berkata, kebanyakan penduduk menyokong rancangan itu kerana kesesakan lalu lintas, khasnya pada cuti sekolah.

Katanya, jalan baharu sepanjang 10.5km itu menghubungkan Teluk Bahang dan Tanjung Bungah turut akan menyokong pembangunan pesat di pantai utara pulau itu.

Walaupun mendapat sokongan kuat daripada penduduk Bukit Bendera, beliau berkata, DAP tidak pernah menganggap mereka boleh “berbulan madu” di sana.

Katanya, beliau tidak berani leka kerana Bukit Bendera ialah bekas kubu kuat Gerakan.

“Pulau Pinang adalah negeri penting dan tulang belakang bagi Pakatan Harapan. Di Bukit Bendera, ia adalah sama. Kami akan terus bekerja keras untuk berkhidmat kepada pengundi kami.

“Tiada lagi bulan madu bagi kami. DAP sudah berada di sini selama 2 penggal. Orang Pulau Pinang dikenali dengan keputusan menukar kerajaan mengikut kehendak mereka. Mereka adalah pengundi tidak dapat diramalkan dan bijak.”

Beliau bagaimanapun berkata, kerja parti itu belum lengkap lagi dan mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikan rancangan bagi negeri itu dan negara.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14, Zairil berkata, terpulang kepada kepimpinan parti.

“Apa pun keputusan yang diberikan, saya akan terus membantu Bukit Bendera,” katanya.

Buku teks import: Zairil selar timbalan menteri beri alasan palsu

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.