Ayer Hitam bukan Gelang Patah, kata penganalisis

Ayer Hitam bukan Gelang Patah, kata penganalisis

Penganalisis Kamarul Zaman Yusoff menolak anggapan MCA bakal menjadi mangsa serangan DAP seperti mana Gelang Patah jatuh dari tangan BN pada PRU lalu.

Free Malaysia Today
Liew Chin Tong bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika pengumuman calon DAP di Ayer Hitam, Ahad lalu (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Walaupun ramai yang menyifatkan pertemuan antara 2 gergasi politik masyarakat Cina di Ayer Hitam, Johor sebagai antara pertandingan paling sengit pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, seorang penganalisis politik menolak padangan sedemikian.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff tidak bersetuju yang Ayer Hitam, yang bakal menyaksikan pertarungan antara Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, akan menjadi medan sengit seperti mana Gelang Patah pada PRU lalu.

Pada PRU lalu, Gelang Patah menjadi kubur politik menteri besar Johor ketika itu, Tan Sri Abdul Ghani Othman, selepas dikalahkan veteran DAP, Lim Kit Siang.

Tetapi Kamarul berkata aura Kit Siang tidak kelihatan pada sosok Liew, dan kedua-dua kawasan parlimen juga mempunyai perbezaan ketara.

“Kita kena lihat, lain situasi lain. Gelang Patah kerusi majoriti Cina. Ayer Hitam kerusi majoriti Melayu,” Kamarul memberitahu FMT.

Tambahnya, tidak seperti Kit Siang, masyarakat Cina tidak menganggap Liew sebagai seorang tokoh yang wajib diangkat sebagai wakil di Parlimen.

“Liew ini bukan seorang tokoh yang bagi masyarakat Cina yang tidak boleh kalah,” katanya.

“Jadi auranya lain, sebab Liew ini setakat pengerusi DAP Johor dan pengarah pendidikan politik DAP sahaja, tidak tinggi mana,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Liew akan bertanding di Ayer Hitam pada PRU14, kerusi yang berulang kali berjaya dipertahankan MCA selepas ditentang calon PAS yang sebelum ini menjalinkan persefahaman satu-lawan-satu dengan parti pembangkang lain.

Ayer Hitam dimenangi 3 kali berturut-turut oleh Wee, dengan majoriti yang semakin mengecil melawan PAS.

Pada 2004, majoriti Wee ialah 15,763 votes, diikuti 13,909 pada 2008, dan hanya 7,310 pada PRU lalu.

Kamarul turut merujuk kajian bekas penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan yang baru-baru ini menyertai PPBM, yang mengatakan 85% daripada masyarakat Melayu Johor tidak menyenangi DAP.

Menurutnya, ini petanda DAP menghadapi cabaran besar di Ayer Hitam, kawasan yang mempunyai 56% pengundi Melayu, dan 38% pengundi Cina yang secara tradisi menjadi teras sokongan DAP.

“DAP kena berusaha sedaya mungkin untuk memastikan pengundi Melayu menerimanya. Jika berjaya, ini akan menjadi petanda DAP mula diterima orang Melayu. Sebaliknya, ia akan lebih memberikan impak negatif DAP tidak diterima orang Melayu

“Saya lihat ini satu cubaan berani dari DAP untuk bertanding di kawasan orang Melayu,” katanya.

Bagaimanapun, Kamarul mempersoalkan mengapa DAP yang meletakkan calon berbangsa Cina di kawasan majoriti Melayu, tidak pula meletakkan calon berbangsa Melayu di kawasan majoriti Cina.

“Setakat inilah belum ada lagi pengumuman,” katanya.

Menurutnya, tidak semua pengundi Cina di Ayer Hitam akan menyokong DAP, kerana jasa Wee di Ayer Hitam masih diingati.

“Seperti diakui Liew sendiri, orang Ayer Hitam tidak ada masalah dengan Wee. Secara peribadi, cuma orang tak suka BN itu sendiri.

“Saya tak rasa seluruh pengundi Cina akan sokong dia (Liew),” katanya.

Kamarul menjangkakan calon PAS yang akan turut bertanding di Ayer Hitam sekali lagi menjadikan persaingan lebih sengit.

“Kalau orang Melayu banyak pergi ke PAS, susah juga peluang DAP itu. PAS boleh jadi bantu DAP dan juga bantu kemenangan BN. Ini bergantung cara PAS berkempen sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.