MCA tak patut diketepikan di Wangsa Maju kerana ugutan pengundi Cina

KUALA LUMPUR: MCA tidak patut diketepikan hanya kerana ugutan sekumpulan kecil pengundi Cina akan menyokong pembangkang, jika Barisan Nasional (BN) menurunkan calon parti itu di kerusi Parlimen Wangsa Maju.

Ketua MCA Bahagian Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata mereka tahu mengenai bantahan sebilangan kecil pengundi Cina itu, tetapi mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana BN belum mengumumkan calon di kawasan berkenaan.

“Yang 50 orang semalam itu saya sudah tengok, tetapi saya tidak mahu komen lanjut kerana belum ada pengesahan rasmi MCA akan bertanding,” katanya kepada FMT hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, MCA sudah melakukan persiapan sepenuhnya jika terpilih untuk bertanding di Wangsa Maju.

“Memang kita sudah lakukan persediaan, bukan sahaja MCA, tetapi semua parti sudah lakukan persediaan hadapi pilihan raya umum ini.”

Yew memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju pada 2004, selepas menewaskan calon PKR dengan majoriti 10,185 undi, sebelum beliau kalah dengan majoriti tipis 150 undi kepada Wee Choo Keong yang bertanding atas tiket PKR pada 2008.

Pada 2013, calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong menewaskan Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah daripada Umno di kerusi itu dengan kelebihan 5,511 undi.

Semalam, sekumpulan pengundi Cina di Wangsa Maju mengugut akan menyokong pembangkang, jika BN meletakkan calon MCA di kerusi Parlimen itu.

Mereka mendesak BN menurunkan Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Shafei di Wangsa Maju.

Wakil gabungan NGO masyarakat Cina Wangsa Maju, Low Kong Nam dilaporkan berkata kekalahan Shafei pada 2013 tidak patut dijadikan kayu pengukur.

“Dia (MCA) tidak tolong rakyat, sebaliknya hanya memilih dari kalangan kawan-kawan mereka sahaja,” dakwa Low.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengakui pemimpin MCA memohon kerusi Parlimen Wangsa Maju yang dipinjamkan kepada Umno pada 2013, dipulangkan kepada parti itu.

Shafei dilaporkan berkata, Umno paling layak bertanding di kerusi itu pada PRU14 kerana jika MCA dicalonkan di Wangsa Maju, beliau mendakwa pengundi Melayu mungkin menyokong pembangkang.

Wangsa Maju mempunyai 67,775 pengundi yang terdiri daripada 61% Melayu, 21% Cina dan 18% India.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Pengundi Cina ugut undi pembangkang, jika MCA tanding di Wangsa Maju