
The Jakarta Post melaporkan siasatan KNKT mendedahkan perkara itu selepas pihaknya membuat semakan terhadap perakam data penerbangan (FDR).
“FDR merekodkan ‘stick shaker’ (peranti mekanikal) pesawat itu aktif sebelum dan semasa penerbangan dari Denpasar, Bali ke Jakarta pada malam sebelum nahas,” kata penyiasat KNKT, Nurcahyo Utomo pada Rabu.
Selain ‘stick shaker’, juruterbang penerbangan ke Denpasar itu juga menyatakan beberapa tanda amaran lain muncul di paparan skrin penerbangan, termasuk kelainan dalam penunjuk kelajuan.
Juruterbang itu juga perasan pesawat itu mengalami masalah mengawal penerbangan menyebabkan pembantu juruterbang bertindak mematikan suis autopilot dan menerbangkan pesawat secara manual sehingga ia selamat mendarat di Jakarta.
“Pada pendapat kami, juruterbang tidak boleh terbangkan pesawat dalam keadaan sebegitu,” kata Nurcahyo.
Selepas mendarat, juruterbang terbabit melaporkan kerosakan itu kepada jurutera, yang kemudiannya melakukan beberapa pemeriksaan penyelenggaraan sebelum digunakan untuk penerbangan ke Pangkal Pinang.
Penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan 8 anak kapal terhempas di perairan Tanjung Karawang pada 29 Oktober lalu.
Nahas itu berlaku 13 minit selepas pesawat terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi.