
Beliau berkata, selain Barisan Nasional (BN), satu lagi parti pembangkang dijangka mengambil bahagian.
Umno dan parti kerajaan, Warisan, telah pun mengumumkan akan bertanding merebut kerusi Parlimen tersebut.
Calon BN Anifah Aman memenangi kerusi Kimanis dalam pilihan raya umum 2018 mengalahkan pencabar terdekatnya daripada Warisan, Karim Bujang.
Karim kemudiannya memfailkan petisyen pilihan raya dengan mendakwa berlakunya salah urus.
Mahkamah Pilihan Raya yang mendengar permohonan tersebut menerima petisyen berkenaan sekali gus membatalkan kemenangan Anifah lalu mengakibatkan kerusi itu kosong.
Keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Persekutuan. Anifah bagaimanapun memfailkan semakan ke atas keputusan mahkamah itu dengan mendakwa wujud bias dalam kalangan hakim yang mendengar kes beliau.
Terdahulu dilaporkan beberapa orang pemimpin pembangkang Sabah mengadakan pertemuan dengan Anifah untuk mengetahui rancangannya berhubung PRK yang akan diadakan sebelum membuat keputusan sama ada akan bertanding atau sebaiknya.
Anifah keluar Umno tahun lepas dan kini merupakan wakil bebas.
Jeffrey, yang merupakan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, beliau akan mengadakan satu lagi pertemuan dengan Anifah, PBS dan SAPP minggu ini.
“Kita perlu membuat keputusan esok. Kita perlu libatkan semua orang bagi membolehkan satu keputusan dibuat.
“Kita adalah parti pembangkang yang satu lagi itu, pilihan ketiga, selain BN. Kita berharap pilihan ketiga akan menjadi pilihan pertama,” katanya, yang merupakan ahli Parlimen Keningau.
Presiden SAPP, Yong Teck Lee bagaimanapun mengesahkan kepada FMT dalam satu pesanan ringkas bahawa partinya tidak akan bertanding dalam PRK Kimanis.
“Kami berjuang untuk Sabah. Kami menolak politik dan dasar yang merugikan Sabah. Terlalu awal untuk menjangka pendirian parti yang bertanding di Kimanis,” kata bekas ketua menteri itu.
Presiden PBS Maximus Ongkili berkata, partinya masih mengkaji sentimen akar umbi.
“Rayuan yang difailkan oleh Anifah belum didengar, selain itu kita perlu tahu rancangan beliau,” katanya.
Terdahulu pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun mengumumkan bahawa PRK Kimanis dijadualkan pada 18 Jan depan dan pengundian awal pada 14 Jan.
Azhar memberitahu pemberita di Putrajaya bahawa SPR akan meneruskan PRK itu kerana tidak mendapat apa-apa perintah daripada mahkamah sama ada perlu menangguhkannya atau mengetepikan perintah sebelum ini.
“Jadi kita akan teruskan seperti dikehendaki mengikut undang-undang” katanya.