Boleh rentas negeri jika bawa ibu bapa suntik vaksin, kata KJ

Boleh rentas negeri jika bawa ibu bapa suntik vaksin, kata KJ

Khairy Jamaluddin berkata, kelonggaran diberikan bagi waris atau ahli keluarga perlu pulang ke kampung untuk membawa ibu bapa ke janji temu vaksin.

Khairy Jamaluddin berkata, mereka yang terlibat hanya perlu menunjukkan bukti janji temu ibu bapa masing-masing kepada polis.
SEREMBAN:
Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju memberi kebenaran rentas negeri kepada individu yang perlu pulang ke kampung halaman bagi membawa tanggungan mereka iaitu ibu bapa menghadiri janji temu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa dua yang bermula 19 April ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKN semalam dan mereka yang terlibat hanya perlu menunjukkan bukti janji temu ibu bapa masing-masing kepada polis.

“Waris ataupun ahli keluarga yang ingin balik ke kampung mereka untuk membawa tanggungan mereka, ibu bapa ataupun ahli keluarga yang sakit ataupun datuk nenek ke janji temu vaksin adalah dibenarkan,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.

Dalam pada itu, Khairy berkata setakat ini seramai 170,970 rakyat di Negeri Sembilan sudah mendaftar Program Imunisasi Covid-19 termasuk warga emas (68,032) dan orang kurang upaya (OKU) (6,425) serta pesakit berisiko (96,513) yang akan menerima suntikan vaksin bermula 19 April ini.

Khairy berkata, PPV yang beroperasi bagi memfokuskan penerima vaksin daripada kumpulan berisiko tinggi adalah Hospital Tuanku Ja’afar, Hospital Port Dickson, Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin Gemas dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

“Kumpulan berisiko tinggi yang dimaksudkan adalah pesakit ada alahan teruk, mempunyai masalah imunisasi badan (immunocompromised) dan mereka yang mengambil ubat kecairan darah. Tiga kumpulan ini akan ke hospital untuk saringan dan suntikan vaksin,” katanya.

PPV bukan fasiliti kesihatan yang dibuka pada pada hari sama hanya Dewan Majlis Bandaraya Seremban dan Dewan Pejabat Daerah Jempol manakala PPV bagi 15 dewan di negeri ini akan beroperasi secara berperingkat.

Sementara itu, beliau berkata bagi menyelesaikan masalah pendaftaran vaksin Covid-19 melalui MySejahtera di kawasan pedalaman melibatkan Orang Asli, kempen pendaftaran bersemuka akan dilakukan iaitu melibatkan semua agensi kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.