
Bermula 26 Mei depan, peminat kumpulan kpop BTS di Malaysia diberi ‘penghormatan’ sebagai negara pertama di Asia yang akan merasai hidangan eksklusif McDonald’s, ‘BTS Meal’.
Kumpulan gergasi dari Korea Selatan itu bekerjasama dengan syarikat makanan segera untuk memilih hidangan kegemaran mereka iaitu 10 ketul Chicken McNuggets, kentang goreng bersaiz sederhana, air Coca-Cola bersaiz sederhana, serta sos Sweet Chili and Cajun yang diinspirasi daripada resepi popular Mcdonald’s Korea Selatan.
BTS Meal itu akan melakukan ‘jelajah’ ke hampir 50 negara di seluruh dunia dan hanya dijual di cawangan terpilih di Malaysia serentak dengan Amerika Syarikat, Brazil, Kanada serta beberapa negara lain.
Kerjasama yang dilakukan Mcdonald’s bersama selebriti terkenal sebenarnya bermula dengan penyanyi rap Amerika Syarikat, Travis Scott pada tahun lalu dan kali ini pula dengan BTS.
Namun, apa yang bezanya pada kali ini BTS Meal tidak didatangkan dengan sebarang barangan kumpulan itu tidak seperti kerjasama mereka dengan Scott.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Mcdonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai, ia adalah satu cara yang menyeronokkan untuk membawa BTS dekat di hati peminat mereka.
“Tidak kira siapa diri anda, setiap orang pasti mempunyai hidangan kegemaran sendiri di Mcdonald’s termasuk juga bintang terkenal seperti BTS.
“Kumpulan ini adalah satu fenomena dunia yang mempunyai terlampau ramai peminat dan kami juga teruja untuk memperkenalkan BTS Meal kepada pelanggan di Malaysia bermula bulan depan,” kata Melati dalam satu kenyataan akhbar.
Sementara itu, wakil label BTS, Bighit Music turut teruja dengan kerjasama yang dilakukan dengan syarikat makanan segera dikenali ramai seperti McDonald’s.
“Kumpulan ini mempunyai memori indah dengan McDonald’s. Kami teruja dengan kerjasama ini dan tidak sabar untuk berkongsi BTS Meal dengan dunia,” kata mereka.
Sebelum ini, McDonald’s Malaysia memberi beberapa bayangan mengenai BTS Meal di platform media sosialnya termasuk sekeping poster logo BTS menggunakan kentang goreng.
Pengendali sosial media syarikat itu juga cuba menarik perhatian peminat BTS di Malaysia dengan menggunakan ‘GIF’ anggota kumpulan itu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]