Cukup-cukuplah pertahan kegagalan, Zahid beritahu pejuang siber ‘sebelah sana’

Cukup-cukuplah pertahan kegagalan, Zahid beritahu pejuang siber ‘sebelah sana’

Presiden Umno itu bertanya sama ada mereka tidak mempunyai rasa empati terhadap rakyat.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam keadaan sekarang, rakyat menjadi keutamaan.
PETALING JAYA:
Ahmad Zahid Hamidi menyeru pejuang siber “sebelah sana” supaya berhenti menyokong apa yang disifatkannya sebagai kegagalan pentadbiran.

Presiden Umno itu melontarkan tiga persoalan kepada pihak terbabit mengenai keadaan negara yang rakyatnya memerlukan pembelaan dan dibawa keluar daripada kesengsaraan.

“Apakah anda tidak rasa bersalah mempertahankan sebuah kegagalan berterusan? Adakah anda langsung tiada ‘empathy’ terhadap rakyat yang sedang dihimpit kesengsaraan? Apakah anda tidak berasa bimbang negara seakan-akan di landasan yang tersasar?

“Tetapi saya percaya dalam sanubari anda tahu keadaan rakyat. Keadaan negara ketika ini. Rakyat adalah saudara mara, rakan-rakan, jiran tetangga anda. Malaysia tanah air anda,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Sehubungan itu, Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, meminta pihak terbabit “menyelami denyut nadi, rintihan, keluhan, penderitaan dan kerisauan rakyat”.

“Dalam keadaan sekarang rakyat adalah keutamaan. Negara masa depan bersama.

“Jangan lupa ada sebahagian anggota masyarakat kita tidak ‘bermazhab’ politik. Mereka hanya mahu hidup selesa di sisi keluarga. Fikirkan tentang mereka juga,” katanya yang menegaskan Umno akan terus menyuarakan kepentingan rakyat serta negara.

Dalam catatan sama, Zahid turut menggunakan tanda pagar #rakyatsengsara #terusbersuara #DemiMalaysia dan #DemiRakyatKeranaAllah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.