Beliau berkata, sebagai parti politik, kejelasan pendirian sangat penting dan tanpanya Umno hanya akan menjadi sebuah parti berdaftar, bukan sebuah perjuangan demi bangsa Melayu dan Islam.
“Tiada individu lebih besar daripada Umno. Tiada tokoh lebih penting daripada parti dan rakyat. Tiada kuasa lebih besar daripada kuasa rakyat. Tiada perjuangan lebih bererti daripada perjuangan untuk rakyat yang marhaen dan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, Umno mempunyai pendirian dan mahu jalan ke hadapan dan diharapkan keputusan yang dibuat itu adalah jalan terbaik untuk rakyat, tanah air dan parti.
“Membiarkan kemelesetan negara terus berlaku bermakna Umno merestuinya. Bila sistem kesihatan semakin parah, ekonomi merudum dan memburuk, kemiskinan meningkat, mereka yang membunuh diri semakin banyak dan kelaparan menjadi nyata.
“Bendera putih, hitam dan segala warna telah dikibarkan, demokrasi diselewengkan, malah institusi Raja disanggah dengan tiada susila, Umno tidak boleh menjadi sebahagian daripada kemelesetan ini,” tambah beliau.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan pendirian parti tengah malam tadi untuk menarik balik sokongan kepada Muhyiddin menyenaraikan tujuh sebab ia berbuat demikian yang kesemuanya berkaitan “kegagalan” kerajaan.
Zahid berkata, Muhyiddin gagal memuaskan garis panduan yang ditetapkannya pada 11 Mac 2020 sebagai syarat meneruskan sokongan kepada kerajaan beliau.
Antara tujuh sebab itu adalah gagal menangani Covid-19 secara berkesan, tidak dapat mengurus bantuan kepada rakyat dengan baik dan memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang terpaksa berulang kali mengeluarkan kenyataan media supaya Parlimen dibenarkan bersidang.