
Seorang penerjun bungee yang terjatuh pada paras 50 meter dipercayai mati bukan kerana ketinggian sebaliknya akibat serangan jantung di udara setelah menyedari dia tidak terikat pada tali bungee.
Difahamkan peguam dari Colombia, Yecenia Morales Gómez, 25, maut selepas tersalah menerima isyarat untuk terjun yang ditujukan buat teman lelakinya.
Laporan perubatan juga menunjukkan punca kematian wanita itu bukan disebabkan terjatuh dari tempat tinggi.
Menurut laporan yang dilihat akhbar Colombia Noticias Caracol, wanita muda itu mengalami serangan jantung ketika sedang jatuh dan mati sebelum mencecah ke tanah.
Tragedi berlaku ketika Yecenia mencuba lompatan bungee pertamanya bersama teman lelaki di wilayah Antioquia, Colombia.
Berpandukan gambar yang dirakam penonton, petugas bungee berteriak kepada teman lelaki Yecenia untuk “terjun sekarang” namun dia (Yecenia) yang menyangka arahan itu adalah untuknya, terus melompat tanpa tali.
Difahamkan, Yecenia yang keliru dengan arahan hanya terjun dengan memakai abah-abah.
Jurucakap anggota bomba dari Amagá berkata, sebaik tiba di tempat kejadian wanita itu sudah tidak bernyawa lagi.
Datuk bandar Fredonia, Gustavo Guzmán berkata terdapat dua syarikat yang menawarkan khidmat ‘bungee jumping’ di daerah itu, namun kedua-duanya beroperasi tanpa kebenaran.
Siasatan berhubung kematian wanita itu kini sedang dijalankan.
CLICK HERE FOR THE LATEST DATA ON THE COVID-19 SITUATION IN MALAYSIA