Rumah hangus, barang kemas RM20,000 selamat

Rumah hangus, barang kemas RM20,000 selamat

Anggota bomba temui gelang, rantai, dan cincin di dalam timbunan sisa kebakaran.

Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian belakang rumah, dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Anggota bomba menemui barang kemas di dalam timbunan sisa kebakaran yang dianggarkan bernilai RM20,000 selepas selesai memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tembesu, Limbat, Kota Bahru, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Penolong Penguasa Bomba El Taraff Mohd Zachariah dilaporkan berkata, 11 anggota dari BBP Pasir Tumboh dan Tunjong bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kebakaran pada jam 5.21 petang.

Katanya, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian belakang rumah dan terdapat empat penghuni ketika kejadian berlaku. Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan.

“Akibat daripada kebakaran itu, 85% bahagian rumah separa kekal itu terbakar, namun dengan tindakan pantas anggota, api berjaya dihalang dari terus merebak ke bahagian lain.
“Api dapat dikawal pada jam 5.41 petang dan operasi tamat sepenuhnya jam 6.23 petang. Punca kebakaran dan taksiran kerugian masih dalam siasatan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

El Taraff berkata, selepas operasi pemadaman, pihaknya melakukan penyerahan barangan kepunyaan keluarga mangsa yang ditemui sepanjang operasi dijalankan.

“Ketika menjalankan operasi pemadaman, anggota bomba menemui barang kemas seperti gelang, rantai, dan cincin di dalam timbunan sisa kebakaran.

“Kami menyerahkan barang kemas yang ditemui kepada keluarga mangsa sambil disaksikan pihak polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.