
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PBAPP, Jaseni Maidinsa berkata, Tuan Ibrahim Tuan Man harus menumpukan perhatian untuk mendapatkan pampasan Persekutuan untuk Kedah, daripada cuba “memaksa” Pulau Pinang membayar kepada Kedah untuk mendapatkan air dari Sungai Muda.
“Lagipun ia adalah tugas dan tanggungjawabnya,” kata Jaseni dalam satu kenyataan hari ini, sambil menambah bahawa kementerian akan mempunyai akses kepada pembiayaan Persekutuan.
Minggu lalu, Tuan Ibrahim berkata, Pulau Pinang mempunyai tanggungjawab moral membayar kepada Kedah susulan pengambilan air dari Sungai Muda.
Walaupun Pulau Pinang mempunyai hak mengambil air dalam wilayahnya dari aliran Sungai Muda, beliau berkata, aliran sungai berkenaan bermula di hutan di Ulu Muda, Kedah, yang perlu dipelihara dan dilindungi daripada pembalakan, justeru menyebabkan Kedah kehilangan sumber pendapatan.
Jaseni berkata, Pulau Pinang tidak mempunyai tanggungjawab moral untuk membayar kepada Kedah kerana air mentah itu diambil dari bahagian Sungai Muda yang berada dalam wilayah Pulau Pinang.
Beliau juga mencadangkan agar Tuan Ibrahim memanfaatkan hakikat bahawa Ulu Muda dan Sungai Muda menyediakan sumber air untuk negeri Kedah dan Perlis serta Pulau Pinang.
Beliau berkata, kedua-dua kawasan ini boleh dianggap sebagai “aset air” Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), sambil menambah bahawa Tuan Ibrahim harus menggunakannya untuk mendapatkan pampasan bagi Kedah.
Pulau Pinang mengambil air dari sungai di Kepala Batas, diproses di Butterworth, dan dibekalkan kepada 80% daripada 1.78 juta penduduknya.
Negeri itu enggan melayan tuntutan berulang kali disuarakan menteri besar Kedah bagi tujuan pengambilan sumber asas berkenaan.