

Azeem Fazwan Ahmad Farouk daripada Universiti Sains Malaysia berkata, ahli, ketua bahagian dan negeri yang bersekutu dengan Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan, sahaja yang akan mempercayai “alasan” seperti itu.
“Ketua negeri ini dilantik oleh presiden parti, jadi sudah tentu mereka akan menyokongnya,” katanya kepada FMT.
“Mereka ini memang mendokong presiden parti, tetapi apa yang menjadi hasrat sebenar akar umbi tidak diketahui.”

Perwakilan pada Persidangan Agung Umno (PAU) minggu lepas meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, penerimaan usul menunjukkan ahli yakin Zahid dapat mengemudi Umno, terutama penglibatan parti itu dalam kerajaan perpaduan diterajui Anwar Ibrahim, memandangkan beliau mempunyai pengalaman lama dalam parti.
Katanya, ini juga menunjukkan ahli percaya “alasan” kesatuan parti itu sejak mula.
Mereka yang menentang usul itu berkata, langkah berkenaan menjadikan parti tonggak Barisan Nasional itu kelihatan tidak demokratik.
Mengulas hujahan dikemukakan, Azeem berkata, Umno sudah menerima peraturan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu sejak sekian lama, terutama susulan cabaran sengit Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 melawan presiden Umno ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, yang membawa kepada perpecahan parti kepada dua kem.
Mengambil kira sejarahnya, beliau berkata salah menganggap Umno dan parti politik lain di negara ini sebagai demokratik.
Katanya, parti-parti politik ialah “oligarki” yang diperintah segelintir pemimpin, dengan peraturan disesuaikan demi menjaga jawatan tinggi daripada dicabar.
“Jadi, pemimpin parti politik akan melakukan apa sahaja demi melindungi kedudukan mereka,” katanya.
“Justeru, dalam kes (‘top 2’ tidak dipertandingkan), bukanlah sangat tentang (menghalang) perpecahan dalam parti, tetapi lebih kepada melindungi kedudukan pemimpin.”
Bagaimanapun, Awang Azman berkata, isu sama ada jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan adalah demokratik atau tidak, sepatutnya tidak berbangkit memandangkan Zahid sendiri menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukannya.