
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, permohonan meningkat “mungkin disebabkan syarat kami lebih menarik (berbanding MM2H Putrajaya)”.
Program MM2H diperkenalkan kepada warga asing kaya yang mencari rumah persaraan. Sarawak mengenakan syarat kewangan kurang ketat berbanding skim persekutuan.
Pemohon untuk MM2H Sarawak dikehendaki mempunyai simpanan tetap RM150,000 (RM300,000 untuk pasangan) dan memiliki pendapatan luar pesisir bulanan sebanyak RM7,000 (RM10,000 untuk pasangan).
Syarat dikenakan Putrajaya ialah pemohon perlu memiliki aset RM1.5 juta, pendapatan luar pesisir bulanan RM40,000 dan simpanan tetap RM1 juta. Setiap pemohon juga dikenakan yuran sekali bayar RM50,000 bagi setiap tanggungan, jika pemohon berusia 35-49 tahun.
Sarawak, yang menikmati autonomi ke atas imigresen, memperkenalkan program MM2H sendiri pada 2007 dan tidak mengguna pakai syarat baharu ditetapkan Putrajaya pada 2021.
“Kami masih selesa dengan kriteria semasa kami, yang masih terus menarik pemohon,” kata Karim.
Sejak 2007, Sarawak meluluskan 2,093 permohonan. Tahun lalu, ia meluluskan 411 permohonan, meningkat 1,422% berbanding tahun sebelumnya. Bagi lapan bulan pertama tahun ini, Sarawak meluluskan 406 permohonan.
Karim berkata, kerajaan Sarawak melihat program MM2H sangat bermanfaat kepada negeri itu dan itu sebabnya ia merasakan kriterianya perlu dinamik.
Presiden Persatuan Ejen MM2H, Anthony Liew berkata, pemohon MM2H Sarawak kebanyakannya pesara yang tertarik dengan kos sara hidup negeri rendah, kadar kehidupan lebih perlahan dan landskap indah.
Beliau berkata, ada yang memilih untuk memohon MM2H Sarawak kerana tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan Putrajaya.
Bagaimanapun katanya, terdapat ruang untuk penambahbaikan, khasnya proses permohonan panjang yang mengambil masa sehingga enam bulan.
“Jika mereka mendapat kelulusan cepat, mereka masih mempunyai keinginan datang ke Malaysia. Selepas menunggu enam atau lapan bulan, mereka mungkin melihat program sama di negara lain.”