Tirai politik 2016 dibuka dengan desakan peletakan jawatan YAB Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir oleh 14 wakil daripada UMNO bahagian negeri Kedah, diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Belum reda daripada kehangatan isu penukaran Timbalan Perdana Menteri, medan politik dan demokrasi sekali lagi diduga dengan desakan pengunduran Mukhriz yang tidak dijangka ini. Alasan Ahmad Bashah dan 13 lagi wakil bahagian, mudah; Mukhriz tidak cekap mengendalikan hal ehwal politik negeri Kedah dan pucuk pimpinan parti hilang kepercayaan terhadap beliau, disertai bukti-bukti yang kedengaran enteng seperti kegagalan menggerakkan parti ke arah PRU 14, ketidakhadiran beliau di majlis rasmi peringkat negeri sehingga kepada alasan mesyuarat dijalankan beliau di Kuala Lumpur.
Kemelut pengunduran Menteri Besar bukanlah perkara baru dalam arena ini. Ia seolah-olah drama biasa, babak yang sama namun ditukar pelakon dan wataknya. Seperti “Kajang Move”, sistem demokrasi kita seolah-olah dimomok dan dilacurkan untuk kepentingan kuasa individu tertentu. Paling menarik, undi tidak percaya kali ini dilakukan oleh cabang UMNO melalui bahagian dan sayap parti yang tidak memiliki kuasa eksekutif dalam tadbir urus negeri berbanding melalui suara ADUN mahupun EXCO negeri yang lebih berhak dan layak untuk melakukan desakan pengunduran.
UMNO umpama tidak belajar mesej moral yang berlaku melalui “Kajang Move” yang direncana oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kepercayaan rakyat Selangor dipermainkan akibat ketamakan parti anak-beranak. UMNO Kedah seakan meletakkan diri setaraf dengan PKR yang menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim demi membawa agenda peribadi parti ini. UMNO mungkin lupa begaimana PKR membodohkan rakyat gara-gara kepercayaan dangkal, Kajang boleh membuka jalan ke Putrajaya. Sudahnya, PKR terus bergelut dengan isu dalaman parti dan jalan ke Putrajaya kian kabur. Kesanggupan pimpinan Kedah bersetuju dengan agenda ini tanpa alasan konkrit seolah membenarkan politik kotor sebegini bermaharajalela dalam parti.
Ahmad Bashah turut mengaitkan ketidakcekapan Mukhriz dalam mengendalikan ekonomi negeri sedangkan beliau mungkin lupa ekonomi global secara keseluruhannya mengalami kemerosotan dan turut menjejaskan ekonomi negera di peringkat Pusat. Soalan yang perlu dijawab oleh Ahmad Bashah, bagaimana pengunduran Mukhriz mampu menyelesaikan situasi ekonomi yang dasarnya di luar kawalan kita? Alasan politik mahupun ekonomi yang diberikan oleh UMNO Kedah terlalu remeh dan sukar dihadam oleh rakyat yang mendambakan kepimpinan yang lebih kukuh daripada UMNO selepas krisis politik yang tidak berkesudahan sejak PRU 13.
Andaikata Ahmad Bashah masih ingin meneruskan niat murni demi “kepentingan parti dan rakyat” dan alasan bahawa tiada lagi sokongan majoriti untuk Mukhriz, beliau masih perlu menghormati sistem demokrasi negara ini. Amalan demokrasi masih subur di dalam UMNO dan kita percaya pemimpin yang dipilih adalah berlandaskan undi yang diberi oleh rakyat. Penafian terhadap hak rakyat ini bertentang dengan prinsip dan rukun yang diamalkan UMNO sejak sekian lama. Beliau boleh melalui saluran yang lebih ideal seperti membentangkan usul tidak percaya di persidangan DUN mahupun melalui surat pengisytiharan tidak percaya oleh ADUN seperti yang berlaku di negeri Perak dan Selangor. Mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Mukhriz tidak boleh sewenang-wenangnya dilucut atas desakan wakil bahagian UMNO melalui sidang media.
Rakyat sudah penat dengan permainan politik. Tindakan Ahmad Bashah seolah-olah menghalalkan “Kajang Move” yang awalnya disuarakan sebagai tidak demokratik oleh UMNO. Pelan menentang Mukhriz ini tidak akan membantu persepsi rakyat terhadap UMNO. Kurang 36 bulan daripada PRU 14, saya menyeru agar pucuk pimpinan UMNO menghentikan segala bentuk agenda peribadi atas alasan perjuangan parti jika ingin terus kekal memegang pentadbiran. Rakyat berkehendakan sebuah kepimpinan yang bertindak mendahulukan rakyat dalam segenap aspek, berbanding hanya meletakkan prinsip ini atas sekadar slogan. Dengan senario ekonomi yang tidak menentu, kepimpinan yang lebih tegas dan kuat diperlukan untuk mendepani situasi ini. Kerajaan perlu lebih serius dalam menangani kesengsaraan yang semakin menyesakkan rakyat; kos hidup tinggi, gaji tidak setimpal, barang naik harga, kemiskinan semakin melata, dan segala macam masalah rakyat yang tidak dikendali dengan baik oleh kepimpinan yang diberi kuasa. Sudah tiba masanya, fokus dan keutamaan diletakkan kepada kebajikan rakyat berbanding usaha merampas kuasa, kerana rakyat sudah jelak dengan mainan politik yang seolah-olah sengaja diadakan.
Mencatur nasib rakyat untuk kepentingan peribadi, bukanlah cara kita. UMNO bukan parti perjuangan keluarga mahupun agenda peribadi seperti Pakatan Harapan. Jadi UMNO, kembali lah berjuang demi rakyat.
Aimi Johari merupakan pembaca FMT
