Davutoglu vs Erdogan dalam bacaan berkerangka

Davutoglu vs Erdogan dalam bacaan berkerangka

Permasalahan ikonik yang didoktrinkan kepada masyarakat Muslim adalah mempercayai pemerintah adalah ikon yang harus dipatuhi kerana beliaulah mengetahui kemaslahatan semua dan rakyat tolol untuk memilih haknya sendiri.

Davutoglu-vs-Erdogan

Oleh Muhammad al-Mahdi

Peristiwa peletakan jawatan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu menggoncang dunia, tambahan rakyat Malaysia nun jauh di sana dikejutkan dengan peristiwa yang tak terjangka ini. Bagi berlaku adil, penulis sebagai pelajar jurusan Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa Istanbul telah menjangka perihal ini beberapa jam sebelum ia berlaku semasa saya sedang menghadiri sesi santai bersama penulis bebas, Mustafa Akyol. Banyak spekulasi dan tulisan rambang dikeluarkan, apapun sebagai pelajar dalam bidang ini saya rasa terpanggil tatkala melihat lambakan tulisan serong dan songsang mengenai perihal ini.

Analisa saya berdasarkan kajian berkerangka (analytical framework), bebas, tidak berwarna dan awas, mungkin saja memanaskan hati pembaca! Tidak ada paksaan, namun selalunya kebenaran pahit ditelan. Saya mengajak semua untuk memecahkan tembok bebalisme seperti yang dibangkitkan oleh Syed Hussein Alatas. Umat Islam seharusnya berhenti menuding jari kepada media Barat, sikap terlalu mudah ini tidak membawa kebaikan apatah lagi membina sikap dan minda kita. Minda terjajah kononnya semua yang terjadi adalah salah Barat sudah sebati dan menyebabkan kita malas mengkaji dan membaca secara empirikal.

Dilema Erdogan

“Setiap kuasa berpotensi untuk korup dan kekuasaan mutlak korup semutlak-mutlaknya” – Lord Acton, ahli falsafah politik dan etika.

Recep Tayyip Erdogan menduduki kerusi presiden setelah hampir 11 tahun menjadi Perdana Menteri (2002-2014) suatu tempoh yang lama, dengan khidmat yang luar biasa. Pembangunan Turki yang ketara adalah hasil daripada kepimpinan beliau dan jurutera negara yang lainnya seperti Abdullah Gul (mantan presiden), Bulent Arinc dan sudah tentunya Ahmet Davutoglu. Selain menikmati kemudahan pengangkutan awam, kebajikan (welfare), rakyat Turki juga bersyukur dengan beberapa kebebasan yang diluluskan Parlimen termasuk kebebasan berpakaian dan beragama. Kaum minoriti Kurdistan juga mula dibenarkan mengajar dan bertutur dalam bahasa ibunda sebagai tanda penghormatan yang belum pernah dikecapi sejak penubuhan Republik. Turut dinikmati pelonjakan KDNK dan pembukaan pasaran yang membawa pelabur dalam dan luar bebas memeterai perniagaan.

1

Malangya dalam pertengahan jalan nan indah ini Turki dilanda pendedahan skandal demi skandal, korupsi demi korupsi pada tahun 2013 semasa Erdogan masih menjadi Perdana Menteri. Pendedahan dibuat mengheret 14 orang rapat AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) yang dikepalai oleh Erdogan sendiri ketika itu ke muka pengadilan atas dakwaan rasuah, pengubahan wang haram (money laundering), penyeludupan emas dan perniagaan dengan pengganas Al-Qaeda. Pertuduhan turut mengheret Pengarah Halk Bankasi (bank milik negara), Suleyman Aslan dan Bilal Erdogan, anak Tayyip Erdogan sendiri. Kes ini telah menarik reaksi pelbagai dari orang ramai termasuk protes Gezi Park 2013 yang mengubah mood Erdogan daripada seorang demokrat kepada pemimpin yang bengis.

 caption: Ahmet Hakan: antara kolumnis yang dianiaya
Ahmet Hakan: antara kolumnis yang dianiaya

Semasa kes sedang berlangsung, bagi menyelamatkan keadaan Erdogan menukar tiga orang menterinya yang turut terpalit dengan skandal tersebut. Ini adalah langkah selamat agar nama parti dan kerajaan terjaga. Tidak cukup dengan itu, beberapa hakim ditukar semasa proses pembicaraan berlangsung. Hal ini adalah selari dengan undang-undang namun begitu sangat mencurigakan. Kecurigaan ini sekali lagi mendapat teguran dan kritikan sinis para wartawan yang sebelum ini menikmati kekebasan media yang baik di bawah pemerintahan AKP sendiri. 2013-2015 mempertontonkan kejatuhan kebebasan media yang drastik dan menakutkan. Tidak ternafikan setiap perundangan yang demokratik harus dibentuk dengan latar sosial dan norma setempat. Turki tidaklah seperti Amerika Syarikat, penghinaan di sini adalah sensitif dan jika keterlaluan anda boleh didakwa di mahkamah. Malangnya Erdogan menjadi terlalu sensitif sehingga apa sahaja berbentuk jenaka akan mengheret anda ke muka pengadilan, bahkan penyokong setianya seorang wartawan Islamis, Ahmet Hakan menulis ‘Reis (tuan), janganlah berbuat begini’ juga telah membawa bencana dalam hidupnya.

Serangan ke atas media berupa perundangan teknikal seperti penarikan lesen, ugutan melalui panggilan telefon kepada ketua editor atau melalui pembelian syarikat oleh jutawan pro AKP. Pemerkosaan terhadap kebebasan media yang berperanan sebagai ‘semak dan imbang’ Turki tidaklah seteruk Rusia atau China tetapi masih di tahap yang membimbangkan. Erdogan sengaja membiarkan beberapa media yang “keras” seperti Sozcu dan menekan media yang ‘lemah’ seperti Zaman dalam mencipta ilusi kebebasan media. Alasan Kerajaan ‘Parallel’ (kerajaan dalam kerajaan) yang sesungguhnya memang wujud telah menjadi justifikasi tindakan Erdogan tanpa batas.

3

Davutoglu vs Presiden?

Dakwaan PM Davutoglu dan Presiden Erdogan adalah satu suara itu benar. Sungguhpun Erdogan melebihi batasnya dan mengendelamkan peranan Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan: Artikel 104. Davutoglu sangat setia, sejak awal keluar dari dunia akademik beliau berusaha membangun dan mengurus konflik Turki. Sikap diplomasi dan konsep multidimensi Davutoglu telah membawa kejayaan dalam banyak hal termasuk membawa puak Kurdistan ke meja rundingan, meyakinkan Kesatuan Eropah untuk mendanai 6.8 bilion euro kepada Turki untuk menguruskan aliran pelarian, juga beberapa bulan lalu Kesatuan Eropah memutuskan untuk meluluskan polisi bebas visa kepada rakyat Turki. Bukan sekadar itu sahaja, imej Hoca (guru/profesor: panggilan mesra kepada Davutoglu) ini telah menyelamatkan AKP dalam pilihan raya semula (re-election) November 2015. Namun ‘satu suara’ dua pimpinan ini dan kesetiaan Davutoglu teruji apabila tindakan demi tindakan Erdogan kelihatan keterlaluan terutama apabila cuba mencabut kekebalan ahli Parlimen di mana Perlembagaan melindungi apa sahaja bicara ahli Parlimen selagi ia bercakap di dalam dewan mulia. Jika hal ini berlaku parti pro-Kurdistan boleh didakwa sebagai pengganas atas apa-apa usul berkaitan kepentingan puak bersenjata PKK (pengganas Kurdistan). Akibatnya sudah pasti kestabilan yang cuba dicipta akan tergugat dan Turki dengan kedudukan geopolitik dan geoekonominya berada dalam keadaan runcing nan sensitif.

Jumaat 5/5/2016, Davutoglu mengadakan pertemuan empat mata secara mengejut dengan Erdogan. Pertembungan kepentingan berlaku di situ. Sebelum ini kedua-dua blok pemimpin ini kelihatan agak tegang di peringkat akar umbi manakala perjumpaan itu telah memutuskan pertembungan dengan jelas. Penulis telah menjangkakan ini 23 jam sebelum keputusan rasmi keluar. Dalam ucapan terakhir Davutoglu beliau kelihatan agak keras berbanding sikap asalnya, beliau tidak menjawab sebarang khabar angin sebaliknya hanya beretorik politik, diselangi dengan perlian kepada ‘mereka’ yang menyembah pangkat diakhiri dengan salam persahabatan kepada Erdogan memaparkan sikap budiman beliau yang penuh dengan prinsip sebagai seorang ahli akademi di pentas politik. Dalam ucapan bermakna itu seakan beliau menegaskan bahawa prinsip beliau bukanlah untuk didagangkan.

4

“Mengapa saya mengambil keputusan ini? Hidup saya mengajar banyak perkara. Tetapi saya mempunyai prinsip yang saya tidak pernah tinggalkan sejak saya meninggalkan dunia akademik. Dalam hidup saya, saya tidak pernah mempertahankan apa-apa yang saya tidak percaya, dan saya berundur kerana atas dasar kepercayaan saya. Kerana prinsip dan nilai saya, saya tidak pernah berunding untuk menyandang apa-apa jawatan. Apapun terjadi saya tetap akan meneruskan hubungan baik dengan presiden kita sehingga nafas terakhir” – PM Davutoglu, 5/5/2016, Ankara.

Demokrasi penentu keselamatan Turki

Lokasi geografi Turki mendedahkannya kepada bahaya. ‘Dikepung’ kemelut Iraq, Syria, Cyprus, Armenia, pemberontakan dalaman Kurdistan serta tekanan kebangkitan kuasa rantau baharu Iran menghimpit Turki ke dalam keadaan tekanan yang tinggi. Faktor geopolitik inilah mengakibatkan Turki harus berhati-hati dalam catur agung politiknya. Davutoglu dengan strategi multidimensinya telah membawa Turki ke zon selamat walau bukan selesa. Oleh itu, Turki memerlukan kepimpinan yang kuat dan politik dalaman yang stabil kerana kedua-dua unsur ini bakal menjadi refleksi di pentas antarabangsa.

5

Demokrasi bukanlah sekadar sistem, lebih daripada dakwaan dangkal itu demokrasi merupakan nilai kemanusiaan yang mengangkat kemuliaan insani, mencipta ruang kritik dan bersuara sebagai mekanisma semak dan imbang (check and balance), keadilan, keserataan hak, menghormati minoriti dan meraikan majoriti. Demokrasi adalah isme- pemerintahan yang kompeten dengan zaman dan keadaan. Fleksibiliti inilah membuatkan ia dibangunkan sekian waktu untuk rahmat umat manusia. Kestabilan ekonomi dan politik telah dibuktikan oleh Francis Fukuyama hanya terlaksana dengan pendemokrasian. Lihatlah negara yang bergolak dan mengalami kebejatan ekonomi kebanyakannya adalah negara yang tidak mempunyai kestabilan politik dan demokrasi palsu seperti Syria, Mesir, Iraq dan lainnya. Manakala negara yang mempunyai pendemokrasian walau belum cukup matang seperti Eropah Timur lebih stabil dan selamat walaupun Rusia cuba menggodam Crimea. Doktrin Truman (1948) telahpun membuktikannya.

6

Bercanggah dengan makna autoritarianisme yang mengangkat ketua seolah-olah mewakili semua hak rakyat, mempercayai pemerintah adalah ikon yang harus dipatuhi kerana beliaulah mengetahui kemaslahatan semua, rakyat tolol untuk memilih haknya sendiri, pengagungan ketua ini membuahkan kekuasaan yang berleluasa sehingga semua yang menghalang cita-cita ketua yang disamakan dengan kepentingan negara harus dihalang dan musuh negara. Pengakhiran sindrom ini akan membuahkan pemerintah kuku besi yang maha benar dan rakyat dibutakan daripada berfikir dan menuntut hak dan keadilan. Inilah permasalahan ikonik yang didoktrinkan kepada masyarakat Muslim terutama di Timur Tengah. Bashar al-Assad mengatakan beliau sedang ‘membersihkan’ pengkhianat negara, Muammar Gaddafi tegar menyeksa pihak pembangkang termasuk Ikhwan Muslimin kerana mereka bekerja untuk ‘Barat’. Begitu juga Abdel Fattah el-Sisi yang menyelamatkan rakyat daripada pilihan mereka yang ‘salah’.

7

Nah sejujurnya permasalahan akar inilah selain faktor luaran menjerumuskan dunia Muslim ke konflik tak sudah kerana ketiadaan demokrasi dan kestabilan politik. Maka tidak dapat tidak, Turki dan dunia Timur Tengah umumnya harus keluar daripada sosio-politik autoritarian kepada demokrasi rakyat yang tulen bagi menyelamatkan ancaman geopolitik.

Muhammad al-Mahdi merupakan pelajar dalam jurusan Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa di salah sebuah universiti di Istanbul. Penulis menggunakan nama pena.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.