Jawapan kepada Bersih 2.0

Jawapan kepada Bersih 2.0

Sebagai calon AMANAH bagi PRK Kuala Kangsar, saya merasakan soalan yang ditanya oleh Bersih 2.0 adalah relevan untuk dijawab.

Ahmad-Termizi-Ramli_bersih_kuala-kangsar_6001

Oleh Dr Ahmad Termizi Ramli

Adakah akan sokong usaha penyingkiran Najib?

Sekiranya saya dipilih rakyat Kuala Kangsar sebagai ahli Parlimen mewakili mereka, saya akan sokong penyingkiran Najib selaku perdana menteri. Ini kerana Najib membawa banyak kerosakan kepada negara. Sebagai pemimpin, beliau perlu dipertanggungjawabkan ke atas segala kerosakan yang dilakukan termasuk yang terbesar setakat ini – skandal 1MDB.

Ini sebahagian daripada ‘political education’ atau pengajaran politik terhadap rakyat di mana rakyat perlu faham bahawa rakyat tidak wajar takut menggantikan pemimpin yang tidak betul. Pada masa sama pemimpin perlu diajar takut kepada rakyat khususnya, jika mereka melakukan penyelewengan.

Ada yang mengatakan penyingkiran Najib akan selamatkan UMNO/BN?

Saya tidak setuju dengan sikap itu kerana ia tidak boleh dilihat secara berasingan. Kerosakan yang dilakukan Najib adalah atas kegagalan UMNO/BN di mana mereka menjadi parti politik sekadar menjaga kepentingan peribadi dan bukan kepentingan rakyat. Najib mampu bertindak begini kerana UMNO/BN menjadi parti yang gagal dan tidak berfungsi demi rakyat mahupun orang Melayu. Oleh itu penyingkiran Najib tidak akan menyelamatkan UMNO sebaliknya ia akan menjadikan rakyat lebih berani untuk membawa perubahan.

Kedua, sama ada UMNO akan selamat atau tidak hanya satu andaian. Sedangkan kerosakan yang dibawa Najib adalah satu hakikat dan kebenaran. Maka jangan kita berdiam diri dan tidak berusaha membetulkan kerosakan yang jelas dan nyata atas alasan satu andaian yang tidak tentu kebenarannya.

Adakah saya akan sokong 10 tuntutan Bersih?

Sepuluh tuntutan Bersih ini konsisten dengan pendirian saya dan pimpinan AMANAH sejak dulu lagi. Saya juga akan sokong. Ketika dalam NGO sebelum ini, saya juga turun bersama semasa diadakan program Bersih 4 dan program Bersih sebelumnya.

Saya anggap persoalan utama adalah sistem semak dan imbang yang perlu diperkukuhkan, selain daripada sistem pilihan raya yang bersih dan adil. Saya lihat 10 tuntutan Bersih adalah agak menyeluruh dan boleh membantu mengatasi ketidakadilan sistem pilihan raya sekarang.

Termasuk dalam persoalan ini ialah sistem ‘first past the post’ yang diamalkan sekarang perlu dikaji dan ditukar kepada sistem pilihan raya ‘proportional representation’ sebagai satu alternatif yang lebih adil.

Dr Ahmad Termizi Ramli ialah calon Pakatan Harapan di PRK Kuala Kangsar.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.