Isu parkir KL: BN khianati kepercayaan rakyat?

Isu parkir KL: BN khianati kepercayaan rakyat?

Isu kenaikan kadar tempat letak kereta di kawasan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga 150% tidak boleh dianggap sebagai satu isu yang terpencil.

DBKL parking

Oleh Edwin Michael

Ini soal kebajikan rakyat kerana yang sedang menanggung kenaikan kos sara hidup yang tinggi melampau ketika ini pun rakyat juga.

Alasan awal kenaikan kadar tempat letak kereta ialah untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur dan kemudiannya alasan ini diakui pula sebagai bukan alasan terbaik untuk menangani kesesakan kenderaan di Kuala Lumpur menunjukkan betapa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) panik apabila diasak rakyat marhaen.

Perbandingan antara kesesakan lalu lintas antara Kuala Lumpur dan Jakarta adalah amat tidak adil. Ini kerana sistem pengangkutan awam di Jakarta tidak sempurna sedangkan di Kuala Lumpur kita memiliki sistem pengangkutan awam yang cukup baik dan sistematik.

Namun soalnya kenapa majoriti penduduk Kuala Lumpur masih memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri dan bukannya pengangkutan awam? Inilah yang perlu dikaji oleh DBKL sebelum melaksanakan apa-apa peraturan atau menaikkan apa-apa harga.

Adalah tidak waras untuk mengandaikan dengan menaikkan kadar tempat letak kereta maka Kuala Lumpur akan bebas daripada kesesakan kenderaan. Jika ada golongan yang masih ‘tidak makan saman’ masakan kenaikan kadar tempat letak kereta ini akan memberikan kesan kepada mereka?

Berdasarkan sumber Berita Harian Singapura, negara berkenaan turun tujuh tempat dalam ranking yang menyenaraikan bandar dunia mengikut keterukan kesesakan lalu lintas di jalan raya pada waktu sibuk.

Singapura menduduki tempat ke-45 dalam indeks 174 bandar itu sementara bandar Asia yang lain seperti Seoul, Tokyo dan Jakarta tidak dimasukkan kerana kekurangan data.

Soalnya, apakah modul yang diguna pakai Singapura dan apakah DBKL mengkaji langkah yang diguna pakai oleh bandar besar di negara lain untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. Tidak mungkin menaikkan kadar tempat letak kereta adalah satu-satunya solusi.

Agenda tersembunyi?

DBKL juga perlu dengan segera menangkis dakwaan Ahli Parlimen Cheras YB Tan Kok Wai seperti yang dilaporkan portal berita Malaysiakini kenaikan kadar tempat letak kereta ini sebenarnya mempunyai agenda politik dan bukannya melibatkan kepentingan rakyat semata-mata.

Apakah kenaikan kadar tempat letak kereta ini adalah semata-mata untuk mendidik penduduk Kuala Lumpur untuk menggunakan pengangkutan awam ataupun merealisasikan agenda politik pihak tertentu dalam meraih keuntungan dengan menjadikan rakyat sebagai mangsa politik?

Edwin Michael ialah pensyarah Sains Politik dan Kewartawanan serta pelajar ijazah kedoktoran dalam bidang media dan politik di Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampus Perak.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.