Rumah usang taktik BN rancang kemiskinan?

Rumah usang taktik BN rancang kemiskinan?

Sekiranya faktor wujudnya golongan miskin di Malaysia sehingga kini adalah sebahagian rancangan pemerintah untuk memperoleh undi, ia merupakan sesuatu yang dijijikkan.

Fuziah-Salleh_najib_rosmah_rumah_600

Oleh Fuziah Salleh

Memperlihatkan tularnya mengenai gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor di hadapan sebuah rumah usang di Kampung Padang Kerbau, Pahang baru-baru ini, ianya memberikan dua mesej penting terhadap rakyat Malaysia.

Pertama, mengenai saat hampir tibanya pilihan raya di mana para menteri mula prihatin terhadap rakyat. Bahkan secara ‘sukarela’ sanggup menyapu sampah atau duduk di tangga rumah usang. Kedua, sebagai satu bukti bahawa masih lagi wujudnya golongan miskin yang daif, walaupun selama ini digembur-gemburkan oleh para menteri bahawa Malaysia ini negara yang ekonominya membangun.

Sudah tentu terdapat sebahagian rakyat akan terfikir terdapat perkaitan pilihan raya dan kemiskinan. Teori-teori ekonomi menjelaskan terdapat kesan buruk yang berpotensi terjadi di negara yang mempunyai kadar jurang kaya dan miskin yang tinggi, termasuklah Malaysia yang dinilai berdasarkan petunjuk GINI Coefficient iaitu sekitar 0.43.

Antara kesan buruk ketidaksamarataan pendapatan adalah kebarangkalian ahli politik untuk mempergunakan golongan miskin dengan menawarkan ‘gula-gula’ menjelang musim pilihanraya demi meraih undi.

Apabila dikaji setiap tindakan Umno-BN, pendekatan yang digunakan calon pilihan raya adalah dengan memberikan makanan keperluan asas, misalnya beras beserta dengan paparan foto pemimpin atau cap dacing pada permukaan bekas plastik. Pemberian ini, diberikan secara terancang kepada golongan berpendapatan rendah, apatah lagi yang tinggal di desa.

Mengikut perspektif psikologi, seseorang individu akan mementingkan keperluan asas diikuti sekuriti sosial dan selanjutnya. Jika diberikan barang keperluan asas kepada orang miskin, kecenderungan orang miskin untuk membantu pihak penderma adalah tinggi, termasuklah memberikan undi sebagai satu bentuk balas budi.

Persoalannya, mengapakah pada masa kini masih wujudnya golongan fakir miskin di Malaysia? Bukankah sebelum ini, beberapa pemimpin Umno-BN mengatakan ekonomi kita tidak bermasalah, bahkan sehinggakan golongan berpendapatan rendah juga dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)?

Mengapakah masih lagi wujud rakyat yang tinggal di rumah usang. Seolah-olah mereka sedang berada di zaman sebelum kemerdekaan?
Di manakah sebenarnya letak peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)?

Terdapat beberapa projek Kerajaan Umno-BN di luar bandar yang disenaraikan dalam Belanjawan Tahunan seperti Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan rumah mesra rakyat. Persoalan utamanya, mengapa JKKK tidak memainkan peranan untuk menyalurkan maklumat dan turut membantu mohonkan peruntukan? Dengan peruntukan bernilai jutaan ringgit, apatah lagi dengan hasil terkumpul melebihi RM200 bilion setahun. Mengapa lagi kerajaan Umno-BN masih gagal perbaiki atau menyediakan rumah yang lebih baik untuk golongan miskin kritikal di desa?

Bertambah malang lagi, apabila beberapa kelompok sukarelawan daripada komponen parti Pakatan Harapan dan NGO tidak berpatisan berpengalaman datang melawat keluarga miskin serta berhasrat untuk membaiki rumah mereka, terdapat beberapa pimpinan kampung yang menghalang sukarelawan bertemu keluarga miskin di kampung, apatah lagi menyalurkan bantuan.

Adakah wujudnya tangan ghaib yang menghalang kumpulan miskin untuk didapatkan bantuan, melainkan dari pihak yang diiktiraf oleh Umno BN?

Sekiranya faktor wujudnya golongan miskin di Malaysia sehingga kini adalah sebahagian rancangan pemerintah untuk memperoleh undi, ia merupakan sesuatu yang dijijikkan.

Ditambah lagi dengan kos perkhidmatan internet yang mahal, ketidakmampuan golongan miskin untuk mendapat info daripada media alternatif adalah rancangan terbaik untuk pemerintah memastikan golongan miskin akan membantu mengekalkan kuasa dengan tawaran ‘gula-gula manis’ yang disertai kesakitan untuk tempoh lima tahun yang akan datang. Harapan saya adalah rakyat kini memahami taktik lapuk Umno-BN selama ini.

Fuziah Salleh adalah Ahli Parlimen Kuantan

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.