Anjing: Antara perspektif Melayu dan Al-Quran

Anjing: Antara perspektif Melayu dan Al-Quran

Tidak ada banyak ayat yang menyatakan apa yang halal secara spesifik, tetapi hasil buruan anjing pula dinyatakan jelas dalam Al-Quran.

farouk-peru-1
Tidak lama dulu, saya mewujudkan grup maya dipanggil “Saturday Reform Jummah” (Sembahyang Jemaah Sabtu). Isu itu diviralkan dengan lajunya. Peristiwa itu mengajar saya yang kontroversi cepat diviralkan. Bad news travels fast.

Kali ini, ia melibatkan anjing, satu lagi isu dalam kamus kontroversi Melayu Islam.

Saya menjumpai gambar berusia setahun lebih, di dalamnya sebuah keluarga Melayu pada hari perayaan (kemungkinan besar Hari Raya), bersama anjing kesayangan mereka.

Saya berkongsi gambar itu dengan niat memecahkan salah konsepsi umat Islam tidak boleh berdekatan dengan anjing kerana haram atau najis. Gambar itu dikongsi, mula-mula secara perlahan sebelum mencapai kelajuan viral.

Kiriman saya adalah untuk tatapan am dan ramai mengkritik perbuatan keluarga dalam gambar itu. Seperti dijangkan, mereka terdiri daripada Melayu Islam.

Sebenarnya tidak ada masalah langsung dengan kritikan, tetapi ia mestilah membina dan bukan setakat meroyan sahaja.

Malangnya, itulah respon terbanyak yang saya dapat! Berpuluh-puluh orang Melayu menyerang saya dengan cemuhan seperti “sesat”, yang biasa dilihat dalam respon mereka.

Pelik, isu mengenai najis pun boleh menyebabkan seseorang dilabel sesat dengan begitu mudah. Beratus-ratus khilaf di antara mazhab, tidak pula mereka melabel satu sama lain “sesat”, jauh sekali “kafir”.

Jumud

Mentaliti sebegini adalah amat jumud dan menunjukkan, walaupun pendidikan agama semakin berleluasa, kualiti pendidikan itu tidak meningkat langsung.

Satu lagi petanda yang tidak baik ialah cara dangkal pengkritik saya berinteraksi dengan konsep bukti dalam agama. Islam adalah agama yang sepatutnya berteraskan bukti tetapi pendidikan Islam tidak mencerminkan falsafah ini.

Mungkin ini adalah kerana gambaran yang diberi oleh sesetengah ulama tentang begitu susahnya ilmu fiqh.

Dalam satu video YouTube, seorang bergelar ulama menasihati umat Islam supaya menjauhi diri daripada mendalami ilmu Hadis dan hukum daripada Al-Quran, dengan alasan ilmu ini adalah terlalu sukar! Memadailah mereka yang mengikut ulama yang akan menilai sumber tersebut dan mengeluarkan hukum seperti lazimnya.

Mentaliti sebegini sebenarnya merosakkan umat Islam dan menjadikan mereka taksub ulama, menyebabkan Mereka mati akal apabila berdepan soalan.

Hukum anjing dalam Al-Quran?

Maka saya terkejut apabila ramai di kalangan pengkritik mengatakan Al-Quran menganggap anjing najis! Begitulah tahap keyakinan mereka padahal Al-Quran yang menyebut tentang anjing 6 kali itu tidak sekali pun menghukum anjing sebagai najis, jauh sekali haram disentuh dan disimpan sebagai haiwan peliharaan.

Sebaliknya, dalam Surah Al-Maidah, ayat 4, Al-Quran menghalalkan haiwan buruan yang ditangkap oleh anjing pemburu (mukallibin). Ini satu kenyataan yang amat menghairankan! Tidak ada banyak ayat yang menyatakan apa yang halal secara spesifik tetapi hasil buruan anjing pula dinyatakan!

Jika anjing memburu dan membunuh sesuatu binatang, tidak hairanlah yang anjing itu akan menggomol haiwan itu sebelum membunuhnya, maka mereka bersentuhan. Peluh, darah dan sebagainya akan bersentuhan. DNA mereka pun tentu akan bercampur, tetapi haiwan hasil buruan itu masih halal dimakan (tidak seperti coklat Cadbury dulu!).

Bagaimana dikatakan anjing itu najis pula? Tidak masuk akal langsung!

Terdapat 6 ayat Al-Quran yang menyebut tentang anjing. Salah satu ayat tersebut, dalam Surah Al-Kahf, ayat 22, anjing disebut bukan sekali tetapi 3 kali! Dalam ayat ini, bilangan “sahabat gua” (ashab al-kahf) diberi dan dengan setiap omongan bilangan mereka, anjing mereka disebut.

Ini menunjukkan yang anjing itu tidak berpisah dengan mereka walau sedikit pun. Ia adalah sahabat mereka yang sejati dan tidak mungkin dikatakan najis.

Saya juga dituduh sebagai “anti-hadis” kerana tidak menggunakan hadis untuk merumuskan pandangan saya. Sekali lagi, ini menunjukkan kedangkalan para pengkritik kerana dalam tradisi Ahlus Sunnah pun, Al-Quran ialah sumber yang ulung. Hadis yang bercanggah dengan Al-Quran tidak sepatutnya diterima. Tidak mungkin anjing boleh mengurangkan pahala apabila disimpan sebagai haiwan peliharaan, sedangkan ia menemani ashab al-kahf dengan pengiktirafan Allah sendiri!

Sambil lewa

Inilah masalah umat Islam. Kita mengambil hal agama dengan sambil lewa sahaja. Ini bukan bermakna yang kita tidak kisah tentang amalan agama tetapi dalam berfikir tentang hal agama sendiri.

Satu kelaziman ialah dakwaan yang anjing itu najis berat ataupun diharamkan sebagai binatang kesayangan. Dakwaan ini sama sekali tidak berasas dalam Al-Quran dan hanya akan merugikan umat Islam sahaja.

Anjing adalah binatang yang dibuktikan memberi manusia banyak manfaat seperti membantu pihak polis, memimpin orang buta malah membantu individu tertentu dalam menjalani terapi.

Elok kita fikirkan semula kelaziman ini supaya kita dapat maju ke hadapan.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.