Pertandingan 3 penjuru beri harapan pada semua

Pertandingan 3 penjuru beri harapan pada semua

Apa yang berlaku dalam PRU 2008, perpaduan pembangkang mendatangkan kemenangan. Sementara di Kota Damansara pada 2013 sebaliknya.

pas
PAS Selangor mengumumkan mereka sudah meneliti data dan fakta serta kesediaan jentera dan menegaskan mereka bersedia untuk meletakkan calon sekurang-kurangnya di 42 daripada 52 kerusi negeri pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi minggu lalu menyatakan partinya di semua peringkat bersemangat untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga menyatakan kesediaan PAS untuk bertanding kawasan DUN Kajang dan Bukit Antarabangsa yang kini masing-masing diwakili Presiden PH, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Azmin Ali.

Pengumuman ini dibuat hanya kira-kira seminggu pertemuan Wan Azizah dan Azmin dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kunjungan di Institut Jantung Negara (IJN). Pertemuan itu membawa kepada pendedahan terdapatnya rundingan bagi mengelak pertandingan 3 penjuru antara PAS dan PKR.

Maknanya, sama ada usaha itu tidak mendatangkan hasil atau PAS sedang mengukuhkan kedudukan hujahnya bagi mendapatkan bilangan pembahagian kawasan terbaik dalam rundingan yang masih berjalan.

Namun bagi DAP dan Amanah, rundingan dengan PAS itu tidak ada kaitan dengan PH. Kunjungan Wan Azizah dan Azmin itu adalah selaku presiden dan timbalan presiden PKR.

Bagi Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, Azmin adalah pengarah pilihan raya PH yang bertanggungjawab bagi memastikan kemenangan pihak pembangkang dalam PRU akan datang.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong meletakkan jawatannya sebagai anggota Biro Politik PKR sebagai membantah rundingan partinya dengan PAS. Katanya, pertandingan 3 penjuru tidak dapat dielakkan.

PAS baginya sedang bekerjasama dengan Umno. Fokus PKR sepatutnya adalah berusaha mengalahkan PAS dan bukannya mengadakan rundingan. Maknanya dalam PKR sendiri, ada ahlinya yang tidak setuju pada sebarang rundingan dengan PAS.

Leong juga menyebut tentang perbezaan ideologi yang luas antara PKR dan PAS. Dari segi ideologi, PKR lebih dekat dengan DAP dan Amanah.

Namun begitu kalau diteliti daripada kenyataan pesuruhjaya PAS Selangor itu, beliau menyatakan kesediaannya tetapi ia bukanlah keputusan muktamad. Akhirnya PAS Selangor perlu akur dengan keputusan PAS Pusat kerana pesuruhjaya hanyalah mewakili presiden di peringkat negeri.

Walaupun dalam sistem politik Malaysia terutama PAS, parti peringkat negeri mempunyai suara besar memandangkan dekatnya jarak mereka dengan akar umbi.

Pada PRU 2013, PAS meletakkan 21 calon negeri di Selangor dan memenangi 15 kerusi. PAS ketika itu bertanding sebagai anggota Pakatan Rakyat (PR). Namun di kawasan DUN Kota Damansara, PAS menentang calon PR iaitu Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim. Pertandingan 3 penjuru itu memberikan kemenangan kepada calon BN.

Semasa kempen pilihan raya itu, jentera PKR, DAP dan PSM berkempen untuk Nasir. Sementara jentera PAS berkempen untuk calon mereka. Dengan perpecahan jentera ini saja, BN dapat mengatasi mereka.

Para penyokong PR yang bukan PAS tentunya kecewa apabila berlaku pertandingan 3 penjuru. Malah ada pihak dalam PAS sendiri yang tidak setuju partinya meletakkan calon di situ. Ini kerana tindakan PAS itu bukan saja memecahkan undi pembangkang tetapi ia menjejaskan imej dan integriti parti. Ini kerana PAS telah menjadi sebahagian daripada PR yang merupakan suatu perjanjian. Melanggarnya merupakan suatu ketidakjujuran. Kalangan dalam PAS yang tidak setuju dengan partinya itu kini dipercayai sudah berpindah ke Amanah.

Hujah pihak PAS untuk bertanding di Kota Damansara pula ialah PSM bukan anggota PR. Kerusi Kota Damansara diputuskan oleh pihak PR sebagai kawasan PKR. Tetapi PKR tidak bertanding, sebaliknya memberikan kawasan itu pada PSM, sebab itulah PAS masuk bertanding.

Namun ketika itu, PSM bukannya baru bertanding. Nasir mempertahankan kerusinya. Selama satu penggal beliau mewakili PR. Pengundi di situ termasuk PAS turut menyokongnya dalam PRU 2008.

Pada tahun itu, Nasir memenangi kawasan itu dengan bertanding di bawah lambang PKR bagi mewakili Barisan Alternatif yang dianggotai PKR dan PAS. Tetapi pembahagian kawasan bagi pertandingan dilakukan supaya tidak berlaku pertandingan 3 penjuru.

Walaupun DAP tidak berada dalam Barisan Alternatif tetapi dalam kempen, parti itu meminta penyokongnya mengundi calon PAS dan PKR. Begitu juga di kalangan PAS dan PKR, mereka juga berkempen supaya penyokong kedua-dua parti itu turut mengundi calon DAP.

Pada PRU 2008, penyokong PAS, PKR, DAP dan PSM memberikan undi pada calon yang sama. Pihak pembangkang pula menampilkan Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR sebagai bakal menteri besar Selangor jika mereka dapat mengalahkan Barisan Nasional. Majoriti pengundi Selangor memilih Khalid dan menolak Datuk Seri Dr Khir Toyo dari BN.

Namun apabila Barisan Alternatif dan DAP berjaya mengatasi BN dalam pilihan raya negeri, dikhabarkan terdapat usaha dalam PAS untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno. Kalau usaha itu berjaya maka dijangka pada masa itu Datuk Dr Hassan Ali yang ketika itu merupakan pesuruhjaya PAS Selangor dan calon Barisan Alternatif bagi kawasan Gombak Setia menjadi MB.

Jika kerajaan perpaduan PAS-Umno atau PAS-BN berjaya, maka PKR dan DAP terus jadi pembangkang dalam DUN Selangor. Kecualilah jika PKR dan DAP turut menyertai kerajaan perpaduan itu.

Namun bagi pengundi yang menyokong Barisan Alternatif dan PAS yang mengharapkan kerajaan BN di Selangor digantikan, tentu berasa kecewa jika usaha kerajaan perpaduan PAS-Umno itu memandangkan undi yang mereka berikan telah dikhianati.

Tetapi bagi sebahagian kalangan PAS pula, undi yang mereka raih adalah milik sendiri. Kesepakatan sebelum pilihan raya adalah taktik dan strategi politik. Apabila calonnya menang, terpulanglah pada parti untuk membentuk kerajaan yang bagaimana.

Tentulah ada kalangan dalam PAS membantah usaha itu kerana mereka berasakan calon parti itu menang kerana undi bukan saja dari penyokongnya tetapi juga dari PKR, DAP dan PSM.

Maknanya kemenangan itu atas undi berpasukan. Adalah dipercayai kalangan yang membantah usaha bagi menubuhkan kerajaan perpaduan itu kini sudah beralih ke Amanah.

Namun dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia, niat pengundi tidaklah dapat dikatakan secara khusus. Mereka mungkin menyokong peribadi calon dan parti tetapi tidak semestinya pasukan politik. Ada pula yang mengundi sesuatu pihak kerana menolak lawannya iaitu untuk menafikan kemenangannya.

Apa yang berlaku dalam PRU 2008, perpaduan parti pembangkang mendatangkan kemenangan. Sementara apa yang berlaku di Kota Damansara dan juga dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, BN mampu menang di Selangor jika berlaku pertandingan 3 penjuru.

PRK Sungai Besar menyaksikan undi PAS mengatasi PH. Gabungan undi Amanah, PKR dan DAP tidak dapat mengatasi PAS. Pun begitu, PAS pun tidak dapat mengalahkan BN.

Tetapi semasa PRK itu, faktor PPBM belum ada. Adalah dipercayai bahawa undi BN akan terhakis dengan adanya PPBM. Tetapi undi itu tidak semestinya cukup kuat untuk memberikan kemenangan kepada PAS atau PH.

Apabila berlaku pertandingan 3 penjuru, adalah dijangka bahawa PAS dan BN akan menggunakan sentimen anti-DAP dan fokus pada agenda Melayu-Islam bagi meraih undi. Di kawasan luar bandar adalah dipercayai fokus seperti ini akan dapat meraih kejayaan.

Maka, pertandingan 3 penjuru memberi harapan kemenangan bukan saja kepada PH tetapi juga PAS dan Barisan Nasional.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.