
Peristiwa perkelahian semasa pengundian pada pemilihan PKR di Sungai Petani, Kedah, pada 22 September lalu ditular melalui media sosial mengingatkan para pemerhati politik veteran terhadap kejadian baling kerusi dalam mesyuarat MIC yang berlaku berpuluh-puluh tahun lalu.
PKR adalah parti berbilang kaum dengan sebahagian pemimpin dan anggotanya terdiri daripada masyarakat India. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diketahui umum mempunyai pengikut dari kalangan kaum India.
Dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober ini juga, Anwar mengharapkan sokongan padu daripada pengundi India kerana bilangan mereka yang agak besar, iaitu 22% daripada jumlah pengundi.
Sebelum Port Dickson diumumkan sebagai kawasan Parlimen yang akan ditandingi ketua umum Pakatan Harapan (PH) itu, tersebar di media sosial pada 7 September lalu ketika kempen PRK Seri Setia mengenai Majlis Malam Komuniti India di Petaling Jaya yang memaparkan Anwar menari di atas pentas meniru aksi pelakon Tamil, MG Ramachandran (MGR).
Anwar menari bukanlah perkara baru. Pada 2007, tersiar laporan Anwar berjoget dengan Tan Sri S Nallakaruppan di kempen PRK Ijok. Beliau berkawan rapat dengan Anwar sejak dalam Umno lagi, iaitu sebelum 1998.
Nallakaruppan adalah bekas timbalan ketua Pemuda MIC sekitar 1980-an. Beliau menyertai PKR pada 2007, tetapi keluar parti pada berikutnya dan menubuhkan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP). Parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan beliau dilantik sebagai senator.
Anwar pula ditampilkan sebagai pemimpin yang mengambil berat terhadap kaum India. Beliau digambarkan sebagai Sivaji, watak wira dalam filem Tamil yang peranannya adalah pembela golongan susah.
Tidak seperti BN yang mempunyai MIC, PH tidak memiliki parti khusus untuk kaum India, tetapi 3 daripada 4 parti PH mempunyai keanggotaannya yang terbuka kepada semua kaum.
Maka, kaum India tertumpu pada PKR dan DAP, namun Amanah juga mempunyai ahli kaum India yang diwarisinya ketika bergerak sebagai Parti Pekerja-pekerja Malaysia (MWP).
Malah, salah seorang ahli jawatankuasa pusat Amanah ketika penubuhannya ialah Gopalan K Papachan, iaitu bekas setiausaha agung MWP. Parti ini diserahkan pada bekas pemimpin PAS yang menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk dijadikan Amanah.
MWP ditubuhkan Ganga Nayar pada 1978 untuk meneruskan perjuangan Parti Buruh Malaya (LPM) yang dibubarkan pada 1969.
Ganga Nayar menyertai LPM pada 1958 ketika berusia 38 tahun. Setelah LPM terbubar, beliau termasuk sebilangan bekas ahli LPM menyertai Gerakan.
Pada 1969, beliau menjadi Adun Selangor bagi kawasan Serendah. Apabila Gerakan menyertai BN, beliau berpindah ke DAP sebelum menubuhkan MWP.
Kebanyakan anggota MWP adalah pengikut Ganga Nayar yang terdiri daripada kaum India. Amanah mempunyai sebilangan anggota dari kalangan kaum India. Salah seorang naib ketua Pemuda Amanah ialah Kevin Shawn Gomez.
Menurut beliau, kemenangan besar Presiden Amanah, Mohamad Sabu di Kota Raja pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana sokongan padu masyarakat India.
Dalam Kabinet PH, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial ialah Senator P Waytha Moorthy. Beliau adalah pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).
Hindraf dipercayai menarik sokongan kaum India daripada BN dalam PRU 2008 hingga berlaku apa yang disebut sebagai tsunami politik.
Beliau menyokong PH pada 2017 selepas pertemuannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan percaya sokongan kaum India menyumbang kepada kejatuhan BN.
Pada 8 September lalu, beliau mengisytiharkan penubuhan parti baru bagi kaum India, iaitu Malaysia Advancement Party (MAP).
Selain itu, sebuah parti baru khusus untuk India Muslim yang menyokong PH diumumkan pada 21 September lalu, iaitu Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PIBM). Ia merupakan parti ke-2 India Muslim di negara ini.
Parti India Muslim sedia ada ialah Kongres India Muslim Malaysia (Kimma). Pada 1990, parti ini pernah menyertai Angkatan Perpaduan Ummah bersama Parti Semangat 46 (S46), PAS, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).
Tetapi, setelah Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat gagal menumbangkan BN, Kimma juga meninggalkan gabungan pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah itu. Mereka beralih untuk menyokong BN.
Sebelum PRU14, terdapat 4 parti India yang menyokong BN. Selain MIUP dan Kimma, Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Makkal Sakti Malaysia (MSSP) juga menyokong BN. Mereka tidak dapat menyertai BN kerana dihalang MIC.
Selain MIC, ketika BN menjadi kerajaan persekutuan, parti-parti di dalamnya yang turut mempunyai anggota kaum India ialah Gerakan dan Parti Progresif Penduduk Malaysia. Bagaimanapun, kedua-dua parti itu meninggalkan BN selepas PRU14.
Tidak jelas jika parti-parti yang menyokong BN itu masih bersama Umno. IPF seperti Kimma pernah menjadi penyokong Tengku Razaleigh. Ia menyertai Gagasan Rakyat bersama S46, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
PRM ketika ditubuhkan pada 1955 ialah parti sosialis yang turut dianggotai kaum India. Dalam sejarah politik kaum ini, terdapat aktivis berhaluan kiri. Malah, Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada 1930 juga mempunyai pemimpin kaum India.
Begitu juga Pan-Malayan Labour Party (PMLP) yang ditubuhkan pada 1952 dipimpin kalangan masyarakat India. Kedekatan gerakan kiri dengan kaum India antaranya disebabkan kebanyakan buruh, terutamanya pekerja ladang datangnya dari kaum itu. Begitu juga gerakan kesatuan sekerja di negara ini.
Malah, MIC yang ditubuhkan pada 1946 sebagai pertubuhan menyokong kemerdekaan India bermula sebagai pertubuhan berhaluan kiri. Ia selaras parti Kongres Kebangsaan India yang diasaskan Mahatma Gandhi dan dipimpin Jawaharlal Nehru. Parti itu berorientasikan sosialisme.
Parti Progresif Perak ketika ditubuhkan pada 1953 oleh bekas aktivis LPM juga parti berhaluan kiri yang dipimpin ahli politik kaum India. Ia kemudian menjadi Parti Progresif Rakyat sebelum dikenali sebagai Parti Progresif Penduduk Malaysia.
Pecahan-pecahan daripada MIC yang lain ialah Parti Demokratik India Malaysia (DMIP) dan IPF. Kini Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditubuhkan daripada pecahan PRM pada 1998 mempunyai keanggotaan yang ramai daripada kaum India.
Dalam PRU 2008, ia bertanding atas tiket PKR dan memenangi kerusi. Tetapi, pada PRU yang lalu, ia bertanding secara bersendirian dan gagal memenangi sebarang kerusi.
Walaupun kaum India adalah minoriti, tetapi kecergasan mereka berpolitik menjadikannya berpengaruh kepada pelbagai aliran politik negara.
Malah, PAS yang hanya membenarkan orang Islam menjadi ahlinya memberi perhatian khusus kepada kaum India melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang turut diberi ruang dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini.
Undi kaum India boleh menyumbang kepada kekuatan mana-mana parti politik di Malaysia. Mereka pula cergas dalam aktivisme mereka hingga memberi warna-warni kepada percaturan politik negara.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.