Politik kepartian nasional sedang disusun semula

Politik kepartian nasional sedang disusun semula

Pelancaran PPBM Sarawak, penyertaan bekas naib presiden Gerakan ke dalam Amanah dan MCA menghendaki BN dibubarkan boleh memberi kesan bermakna pada politik kepertian.

Terdapat 3 peristiwa pada minggu lalu yang boleh memberi kesan bermakna pada politik kepartian. Pertama, pelancaran PPBM di Sarawak. Kedua, penyertaan seorang bekas naib presiden Gerakan ke dalam Amanah di Sabah, dan ketiga, iaitu yang paling besar ialah MCA menghendaki Barisan Nasional (BN) dibubarkan.

Ketiga-tiga peristiwa ini boleh dilihat secara berasingan tetapi juga boleh dipandang dari sudut berkaitan. Penubuhan PPBM Sarawak boleh dinilai sebagai suatu perkembangan hal ehwal dalam parti itu. Tetapi peralihan haluan Tan Sri Liew Yun Fah itu pula menyentuh kedua-dua pihak, bukan saja Gerakan dan Amanah tetapi juga BN dan Pakatan Harapan (PH).

Sementara keputusan MCA mahukan BN dibubarkan pasti menuntut PH menghadapi suasana politik berbeza.

Lebih-lebih lagi hakikat ketiga-tiga perkembangan itu bukan hanya melibatkan pelaku politik di Semenanjung tetapi juga Sarawak dan Sabah. Dalam perkembangan pertama, ia melibatkan politik hubungan antara orang Melayu dan Bumiputera Sarawak. Sementara perkembangan kedua, ia menyentuh bukan saja hubungan orang Melayu dan Cina, atau Muslim dan bukan Islam tetapi juga Semenanjung dan Sabah.

Sementara keputusan MCA supaya BN dibubarkan pasti bukan saja memberi kesan kepada Umno tetapi juga MIC dan masyarakat India. Keenam-enam parti yang terbabit dalam perkembangan itu, iaitu PPBM, Gerakan, Amanah, MCA, Umno dan MIC adalah parti yang berasaskan dan berasal di Semenanjung. Perkembangan itu turut melibatkan Umno dan MIC kerana kedua-dua itu anggota BN.

Sungguhpun begitu, 3 perkembangan itu turut memberi kesan pada parti-parti pesaing di tempat masing-masing. Kehadiran PBBM di Sarawak akan menarik perhatian bukan saja Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tetapi juga anggota PH yang lain di Sarawak iaitu PKR.

Sementara pengukuhan Amanah di Sabah tentu juga menarik perhatian bukan saja Parti Warisan Sabah yang merupakan sekutu PH tetapi juga parti-parti lain yang mahu menarik undi orang Cina.

Namun sikap MCA terhadap BN menuntut penilaian semula kedudukan orang Cina, termasuk Sarawak dan Sabah. Realitinya orang Cina sudah jelas menolak MCA dan BN. Umumnya parti yang dilihat mewakili orang Cina adalah DAP dengan parti itu mempunyai kedudukan kanan dalam kerajaan persekutuan PH.

Sekian lama sebelum pilihan raya ke-14 dulu, 2 parti yang mewakili kaum Cina adalah MCA dan Gerakan. Tetapi di Sarawak, mereka diwakili oleh Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) dan pecahannya, Parti Rakyat Bersatu (UPP). Tetapi sejak pilihan raya negeri tahun 2011, pengundi Cina umumnya beralih ke DAP.

DAP mempunyai kehadiran di seluruh Malaysia termasuk Sarawak dan Sabah. Tetapi MCA hanya bertapak di Semenanjung. Malah Gerakan pun meMpunyai kehadiran di Sabah. Negeri itu mempunyai tradisi parti politik Cina, daripada Persatuan Cina Sabah (SCA) pada zaman Perikatan Sabah hinggalah kemudian muncul parti-parti seperti Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cina Bersatu Sabah (PCBS).

Tetapi pengundi Cina Sabah sering juga menyokong parti pelbagai kaum yang diketuai bukan Cina seperti pada sesuatu masa iaitu kepada Parti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) hingga mereka turut menjadi kerajaan negeri. PKR yang turut hadir di Sarawak dan Sabah turut mempunyai sokongan daripada pengundi Cina.

Bahawa penyertaan bekas pemimpin dan anggota Gerakan Sabah ke dalam Amanah akan mengukuhkan parti sukar untuk diterima. Politik Sabah mempunyai ciri-ciri tersendiri yang berbeza daripada apa yang berlaku di Semenanjung dan Sarawak. PAS tidak pernah dapat bertapak di Sabah. Apatah lagi Amanah yang merupakan pecahan PAS. Namun penyertaan bekas ahli Gerakan itu memantapkan lagi Amanah sebagai parti berbilang agama, berbeza dengan PAS.

Tetapi dengan umumnya majoriti orang Cina menyokong PH dan sekutu-sekutunya di Sabah, mereka tetap memerlukan parti pembangkang yang boleh menyuarakan suara alternatif. Ini kerana sebagai anggota pakatan kerajaan, DAP seperti MCA, Gerakan, SUPP, SAPP dan LDP terpaksa banyak berkompromi dengan sekutu-sekutu mereka yang sama-sama berkuasa.

Dalam keadaan ini, seharusnya MCA dan Gerakan boleh muncul sebagai parti pembangkang bagi kaum Cina. Namun kedudukan mereka tidak akan berkesan sekiranya terikat dengan Umno dalam BN. Gerakan mengorak langkah dengan keluar daripada BN. Sementara MCA juga perlu menjauhkan diri daripada Umno. Untuk itu, ia mencadangkan pembubaran BN.

Tetapi mengapakah ia tidak keluar saja dari BN? Untuk membubarkannya, ia perlu mendapatkan konsensus daripada Umno dan MIC. Cadangan pembubaran itu suatu taktik politik.

Bahawa tindakan Gerakan dan MCA akan memperbaiki kedudukan politik mereka tidak dapat dijangka. Mungkin lebih baik bagi Gerakan dan MCA bergabung untuk menentang DAP dan PKR. MCA dan Gerakan memerlukan parti politik pimpinan orang Melayu sebagai sekutu. Mereka tidak boleh menyertai PH kerana adanya DAP. Untuk bersekutu dengan PAS suatu yang tidak dapat diterima oleh pengundi Cina. Ada cadangan supaya MCA membuka keahlian pada pelbagai kaum. Tetapi dalam keadaan sekarang, perkara itu tidak mendatangkan kesan.

Atau mungkin MCA menjadikan dirinya besar dengan menubuhkan pakatan parti-parti pimpinan Cina bukan saja dengan Gerakan di Semenanjung tetapi juga di Sarawak dan Sabah. Kemudian tunggu saja DAP dan Pakatan Harapan berbuat silap dan masa itu, pengundi Cina akan berubah haluan kepada mereka.

Mungkin DAP dapat bertahan dan tidak berbuat silap. Sebaliknya kesilapan mungkin dibuat oleh parti-parti utama PH iaitu PKR dan PPBM. Masa itu barulah pengundi Cina beralih kembali kepada MCA.

Tetapi buat masa ini, kedua-dua PKR dan PPBM berlumba-lumba bukan saja untuk mengukuhkan kedudukan mereka di Semenanjung tetapi juga Sarawak. Mungkin bagi Sabah, PPBM memberi ruang pada Warisan. Tetapi di Sarawak, mereka bersaing untuk mendapatkan penyokong daripada mereka yang selama ini mengundi PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). Ketiga-tiga parti ini bersama SUPP anggota GPS yang kini memerintah Sarawak.

Sasaran PPBM adalah khalayak Bumiputera Islam yang kini didominasi oleh PBB sementara PKR yang lebih lama bertapak berusaha menarik pendokong PRS dan PDP. Sementara Amanah yang juga pernah bertanding pilihan raya negeri Sarawak dipercayai sukar bertapak. Sasaran politiknya tetap di Semenanjung terutama Kelantan dan Terengganu bagi berdepan dengan PAS.

Namun, keputusannya untuk menerima bekas ahli Gerakan dan Umno di Sabah menunjukkan untuk jangka panjang, ia turut mahu berperanan sebagai parti politik yang berpengaruh, dan bukan sekadar menjadi! komponen penyendal bagi PH.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.