Kebangkitan semula Islam melalui Dr M-Imran-Erdogan hanyalah impian

Lawatan rasmi perdana menteri ke Turki dan Pakistan baru-baru ini menimbulkan semula impian kebangkitan semula Islam. Reccep Tayyip Erdogan dan Imran Khan yang ditemui Dr Mahathir Mahathir dalam lawatan ke Ankara dan Islamabad menampilkan barisan 3 pemimpin dinamik yang menaikkan harapan bahawa sesuatu yang hebat dapat dilakukan untuk ummah.

Caranya adalah dalam bentuk kerjasama berdaya maju melalui projek ekonomi dan teknologi. Kebangkitan semula atau apa yang disebut sebagai revival ini tentunya menuntut pendirian politik dan keilmuan yang sama hebat.

Tetapi impian ini bukanlah perkara baru. Ia berlaku berulang kali dalam sejarah. Impian untuk menjadi hebat ini bukan saja dilalui oleh umat Islam. Semua impian ini turut dirasai umat agama lain yang juga merindukan kejayaan agama mereka. Tetapi realiti sejarah tidak seperti itu. Impian tinggal sebagai cita-cita. Keadaan yang lebih baik mungkin boleh dicapai, tetapi untuk mengatakan kehebatan umat dapat diwujudkan adalah satu delusi.

Sememangnya umat Islam perlu berfikiran positif dan tidak boleh kecewa atau putus asa terhadap keadaan negatif yang menimpanya hari ini. Namun realiti tetap realiti. Walau setinggi mana harapan seseorang terhadap nasib umatnya, ia wajar memeriksa realiti untuk mengetahui apa yang boleh dibaiki ataupun tidak.

Dunia dan umat Islam adalah beragam, itu realiti pertama. Sebab itu sebarang penilaian terhadap umat Islam tidak boleh dibuat secara menyeluruh. Ia perlu dilakukan mengikut negara yang mempunyai kedudukan politik dan ekonomi berbeza.

Malaysia, Turki dan Pakistan merupakan negara yang mempunyai ciri berbeza. Apa yang sama hanyalah dari segi perlambangan. Ketiga-tiga negara mempunyai lambang bulan sabit pada bendera masing-masing. Ia melambangkan Islam tetapi itu sajalah persamaannya.

Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan kebangkitan semula Islam? Apabila disebut kebangkitan semula, maka apa yang difikirkan ialah pada masa dahulu, Islam pernah hebat. Kemudian ia merosot dan jatuh, hinggalah ke hari ini. Apa yang diimpikan adalah untuk mengembalikan kegemilangan Islam itu.

Namun, maksud kegemilangan Islam juga mengundang pelbagai interpretasi dan kefahaman berbeza. Tetapi umumnya kegemilangan itu merujuk pada zaman ketika umat Islam di puncak kehebatan berbanding pihak lain. Mudah untuk dijadikan rujukan ialah zaman pada masa pemerintahan Umayah di Damsyek dan Andalusia, Abasiah di Baghdad dan Usmaniah di Istanbul. Ukuran kehebatan ini pula dibandingkan dengan Barat yang melalui zaman kegelapannya apabila empayar Rom runtuh.

Selepas itu, pihak Barat pula yang dominan dengan menguasai dunia sejagat di atas runtuhan kekhalifahan Usmaniah. Dalam keadaan yang lemah inilah dunia Islam sedang jatuh dan kesepakatan paksi Mahathir-Erdogan-Imran diharap dapat mengembalikan kebangkitan semula Islam. Tetapi jika membaca retorik ini, tidakkah dapat dilihat ia merupakan suatu visi untuk mengembalikan kedudukan umat Islam supaya dominan mengatasi Barat?

Cita-cita untuk kembali dominan di dunia dengan mengatasi pihak Barat, sudah lama timbul dan diusahakan umat Islam sebaik saja kekhalifahan Usmaniah tumbang, bukan kerana penaklukan Barat tetapi disebabkan oleh tindakan politik pengasas republik Turki, Kamal Attaturk memansuhkan institusi khalifah.

Walaupun Attaturk disifatkan bukan saja sebagai Bapa Moden Turki tetapi merupakan pengasas fahaman sekularisme di dunia Islam, ia bertindak demikian kerana hendak mengembalikan kehebatan Turki melalui sistem politik moden, dalam bentuk negara bangsa republik dan juga sekularisme.

Maknanya Attaturk membayangkan Turki dapat menjadi maju setanding dengan negara Barat dan selanjutnya memberi kesenangan pada rakyatnya.

Pemikiran sekularisme meluas di dunia Islam selepas kecewa dengan pemerintahan kekhalifahan. Di negara Arab juga timbul fikiran republikan daripada Algeria hinggalah Indonesia. Malah fahaman Baathis yang dianut oleh rejim Hafez Assad di Syria dan Saddam Hussein di Iraq bermaksud juga kebangkitan semula, tetapi untuk kehebatan bangsa Arab. Fahaman ini meletakkan kepercayaan pada bangsa dan bukannya umat Islam. Ia adalah suatu nasionalisme.

Tetapi nasionalisme bukan saja boleh dipautkan pada bangsa, ia juga boleh diletakkan pada anutan agama. itulah yang terjadi pada Pakistan. Republik Islam Pakistan yang ditubuhkan daripada hasil keruntuhan Empayar British di India mahu mewarisi kegemilangan kerajaan Moghul tetapi dalam bentuk negara bangsa.

Selepas 50 tahun, cita-cita untuk kebangkitan semula umat Islam dalam bentuk negara Islam gagal. Bukan saja dunia Islam gagal membebaskan Palestin daripada penaklukan Israel, malah negara Islam berperang sesama sendiri.

Walaupun terdapat negara Islam berada dalam kemiskinan, malah berlaku juga kebuluran tetapi pada waktu sama ada negara Islam yang kaya raya hingga mampu membina bangunan tertinggi dunia, mulanya Kuala Lumpur tetapi kemudiannya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Namun begitu, tidak berlaku kebangkitan semula Islam bukan saja dari segi politik, ekonomi dan teknologi malah dunia Islam terus ketinggalan jauh daripada Barat yang berpusat di Amerika Syarikat dan Eropah Barat.

Atas keadaan inilah timbul kekecewaan dalam kalangan generasi baru Islam menjelang abad baru hijrah di penghujung 1970-an. Mereka kecewa pada sistem moden, baik dari segi nasionalisme dan sekularisme mahupun demokrasi dan sosialisme.

Maka sebahagian daripada anak muda zaman itu beralih pada Islam. Ini kerana dengan kembali pada Islam, adalah diharapkan ia berkesan untuk menghasilkan kebangkitan semula Islam, di sinilah munculnya apa yang disebut sebagai gerakan islam.

Bukan saja Revolusi Islam Iran menandakan usaha ini tetapi juga munculnya rejim yang berdiri di atas nama Islam. Daripada Sudan hinggalah ke Afghanistan. Semangat kebangkitan islam ini juga sampai di Malaysia. Di bawah Mahathir dengan sokongan Anwar Ibrahim, kerajaan memperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam.

Tetapi 30 tahun berlalu dan tidak berlaku kebangkitan semua dunia Islam. Barat masih mendominasi dunia. Palestin masih dikuasai Israel. Revolusi Islam di Iran tidak melahirkan sebuah negara yang boleh menjadi contoh.

Sebaliknya dunia Islam ditandai dengan peperangan dan penderitaan. Kemenangan Mujahidin di Afghanistan tidak melahirkan negara makmur yang dirahmati. Sebaliknya, ia melahirkan Taliban, Al-Qaeda dan IS yang kejam dan zalim. IS menubuhkan apa yang disebut sebagai kekhalifahan di Mosul, Iraq tetapi cara pemerintahannya bukan saja penuh penderitaan tetapi jelas menghina Islam dengan pembunuhan dan keganasan.

Dalam keadaan ini, apabila disebut usaha untuk kebangkitan semula Islam pasti disambut sinis lebih-lebih lagi ia diutarakan oleh Mahathir, Erdogan dan Imran yang melalui zaman politik panjang. Mereka adalah pemimpin dinamik dan progresif untuk negara mereka. Kalau mereka dapat menjayakan kebangkitan semula negara mereka masing-masing pun sudah dikira bagus. Untuk keseluruhan umat, ia perlukan seorang tokoh global yang lebih hebat.

Atau mungkinkah kebangkitan semula yang diharapkan itu hanyalah suatu ilusi? ini kerana dunia Islam tidak pernah bangkit. Apa yang ada hanyalah proses sejarah dan ia tiada kaitan dengan sebarang agama.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.