Pramoedya Ananta Toer dan karya Melayu

Pengarang besar Indonesia Pramoedya Ananta Toer pada 1981 ada mengerjakan satu himpunan karya-karya sastera yang menurut beliau karya yang terhasil sebelum Indonesia menjadi Indonesia.

Beliau malah menulis untuk prakata buku suntingan beliau itu. Buku tersebut diberi judul “Tempo Doeloe” yang menghimpunkan pelbagai karya sastera “Pra-Indonesia”. Beliau menamakan himpunan karya itu “Pra-Indonesia” kerana ditulis dalam bahasa Melayu kita, yakni sebelum bahasa Indonesia berkembang menjadi seperti hari ini.

Apa yang melongokan adalah karya-karya sastera yang beliau persembahkan itu antara lain oleh F Wiggers, Tio Ie Soei, H Kommer dan G Francis adalah karya yang dikarang dengan bahasa “Melayu lingua franca”.

Pengarang karya sastera ini adalah orang Belanda, orang Cina atau Inggeris. Menurut Pram ia adalah bahasa Melayu “yang terjadi karena pertemuan antara berbagai bangsa dan suku di Nusantara, yang pada mulanya hanya dipergunakan secara lisan”. Bahasa Melayu ini kemudian dewasa menjadi tulisan, dicetak dan tersebar.

Antara karya yang dikutip dan disunting oleh Pram adalah daripada Nicolina Maria Christina yang juga dikenali dengan nama pena, Melati van Java.

Melati menulis dalam bahasa Belanda, tetapi yang lebih masyhur adalah edisi terjemahan oleh Wiggers, orang Inggeris yang menjadi ketua persatuan wartawan yang mungkin, pertama, di Nusantara. Persatuan itu bernama “Maleische Journalisten Bond.”

Selain Melati, terdapat tulisan Kommer yang meski bukan orang Melayu, adalah ketua sidang redaksi akhbar Pewarta Sorebaia. Cerpen beliau yang disusun Pram bertajuk “Tjerita Njonja Kong Hong Nio”. Juga tulisan Tio yang bapanya berasal dari Fujian, China dan pendidikan asalnya dalam bahasa Belanda.

Yang paling saya suka adalah karya Francis, orang Inggeris yang pernah menjadi redaksi untuk akhbar-akhbar Pengadilan (di Bandung 1862-1898) dan Pantjaran Warta (di Betawi antara 1909-1917).

Bahasa Melayu yang digunakan pengarang-pengarang ini menggunakan sistem ejaan Van Ophuysen, orang Belanda yang diberi tugas “menciptakan” sebuah bahasa pemersatu antara pelbagai varian bangsa Melayu di Nusantara ini.

Harus diingatkan sebelum itu kuasa kolonial Belanda pernah mengejek bahasa Melayu sebagai “brabel Maleisch”. Tetapi, orang Belanda terpaksa menelan penghinaan itu, dan seperti kata Pram, akhirnya Belanda terpaksa belajar bahasa Melayu sehinggalah akhirnya keluar Indonesia; “dalam kekuasaannya berabad di Hindia telah menjadi bahasa administrasi Kompeni dan Hindia Belanda sampai memasuki abad 20, atau sampai datang kesedaran pada Hindia Belanda untuk menatar Melayu menjadi bahasa baku untuk administrasi melalui pengajaran. Melayu lingua franca sebagai bahasa tangsi malah terus berlangsung sampai jatuhnya kekuasaannya pada 1942”.

Ekoran dari itu, bahasa Melayu turut mengukuh dalam bidang pendidikan. Balai Pustaka yang bertanggungjawab menerbitkan buku sekolah di Indonesia bahkan berfungsi untuk memelihara bahasa Melayu.

Pram mencatat lagi; “Sebagai konsekwensi penataran Melayu diplomasi atau kitab dan pengajarannya di sekolah-sekolah pemerintah Hindia Belanda terpaksa mendirikan Commissie voor de Volkslectuur yang kelak lebih dikenali sebagai Balai Pustaka, sebuah penerbit pemerintah, yang tugasnya memproduksi buku bacaan untuk pemeliharaan bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah.”

Salah sebuah cerpen yang saya suka, ditulis langsung oleh orang putih ke bahasa Melayu menggunakan sistem ejaan Van Ophuysen, karya Francis adalah cerpen dengan tajuk “Nyai Dasima” atau dalam sistem ejaan lama itu “Tjerita Njai Dasima”.

Cerita ini sangat masyhur, dan pernah dipentaskan sebagai bangsawan, setambul, tonil dan sandiwara berkali-kali di Jawa, Singapura dan Tanah Melayu. Ia juga diadaptasi ke layar perak pada 1929, 1940 dan 1970 oleh pembikin filem dan pelakon-pelakon Indonesia.

Watak Nyai ini bahkan dipinjam Sasterawan Negara, A Samad Said untuk menghidupkan watak Nyai Sunarti dalam drama pentas monumental beliau – Lantai T Pinkie.

Kisah Nyai Dasima ini menarik perhatian saya sejak tahun-tahun mengaji di Fakulti Syariah, Universiti Malaya pada pertengahan 1990-an. Kisah ini membuat saya memikirkan agak lama tentang persimpangan moral dan hukum.

Ia mengisahkan seorang perempuan Jawa di Tangerang, dalam 1830, yang disimpan sebagai gundik atau perempuan peliharaan, atau dilihat sesetengah orang sebagai pelacur kelas atasan kepada seorang hartawan Inggeris bernama Edward W sebagai perempuan yang cantik, pintar dan cekatan, hartawan Inggeris itu sangat menyayanginya, malah melayan beliau bagaikan seorang isteri.

Segala harta benda dan juga kelebihan materi diberikan kepada Nyai Dasima. Mereka malah beroleh seorang anak perempuan. Cuma, tidak berkahwin.

Namun, Nyai nanti akan terpedaya dengan Sameon, yang untuk memikat Nyai Dasima menggunakan alasan agama. Sameon, seorang agamawan muda ala-ala Pencetus Ummah, atau Dhaei Pilihan, meski sudah beristeri memang mendendami Nyai Dasima.

Keinginannya makin membuak bila mengetahui Nyai itu meskipun sudah beranak satu masih bergetah, dan terlalu banyak asetnya.

Maka Sameon mengatur rencana agar seorang perempuan tua mendekati Nyai dan akhirnya menjadi orang gaji di rumah Tuan Edward. Tentu, orang tua itu memasukkan jarum agama hari-harian bahawa perbuatan bersekedudukan itu, walaupun dia dilayan dengan baik, adalah salah dari sisi Islam dan ia merupakan perzinaan.

Untuk dijadikan cerita, Nyai Dasima termakan juga kata-kata tersebut. Tentu kalau kejadian itu berlaku hari ini, bibik tua itu akan dihamput dan diberi amaran “mind your own business”.

Nyai Dasima akhirnya ditakut-takutkan dengan hari pembalasan, dipujuk agar belajar agama, dan pada satu hari setelah terkena hikmat Sameon, Nyai telah naik hantu memohon berpisah dari Tuan Edward.

Lelaki itu yang budiman, panik, merayu agar tidak ditinggalkan. Apatah lagi mereka mempunyai seorang anak perempuan bersama. Namun, Sameon telah membuatkan guna-guna menunduk Dasima melalui seorang haji.

Untuk membuatkan haji itu bersedia terlibat, maka dikisahkan perihal dosa Nyai Dasima sebagai gundik sampai dapat anak, dan dinyatakan bahawa isteri pertamanya sudah mengizinkan poligami.

Niat Sameon kata beliau, mahu menyelamatkan Nyai Dasima dari terus berlimbah dosa. Moga-moga dengan menyelamatkannya, mereka semua akan beroleh pahala dan berkat syafaat oleh Nabi Muhammad di akhirat. Tentu, niat sebenar, untuk merompak harta milik Nyai itu tidak diserukan.

Nyai Dasima akhirnya mendapat perpisahan yang dikehendaki dan melutut kepada Sameon membawa sama perabut, harta benda, duit, barang kemas kecuali tidak boleh bawa sama; anak perempuannya.

Belumlah lama perkahwinan itu apabila akhirnya Nyai Dasima rasa tertipu, dan menyedari dia sudah diperdaya atas nama agama.

Lebih dahsyat, madu dan mertuanya menjadikan dia seperti babu. Nyai memohon cerai, tetapi ia tidak semudah itu. Ia berpenghujung dengan kematian Nyai dibunuh Sameon.

Kisah Nyai Dasima di atas mengalami pelbagai perubahan bila dipentas atau difilemkan dengan karyawan susulan membuat pelbagai tokok tambah, tetapi paling banyak adalah nada anti-agamawan itu dibuang. Alasan ia disunting demikian adalah agar nada anti-Islam itu tidak ditonjolkan.

Akan tetapi, apakah pengarang benar anti-Islam? Atau beliau sekadar merakam sikap masyarakat keliling dengan tajam, yang mana memang sungguh terdapat hipokrasi. Atau memang diketengahkan kisah hanyir Nyai Dasima sedemikian, dan kecelakaan agamawan seperti itu dengan tujuan mengungkapkan keadaan realiti semasa.

Cerita Nyai Dasima ini membawa kita kepada simpang moral, seperti yang pernah menghantui saya satu ketika dahulu. Jika kita misalnya mengetahui ada seorang perempuan seperti Nyai Dasima di kawasan kejiranan kita, apakah yang akan kita lakukan?

Apakah kita akan mencegah kemungkaran dengan hati, atau dengan lisan, atau yang paling puncak; dengan tangan. Apakah jaminan, mencegah kemungkaran itu tidak akan berakhir dengan tragis seperti Nyai Dasima?

Terlepas dari diskusi di atas, yang boleh kita lakukan lain kali, saya hanya ingin menetapkan betapa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa berpengaruh untuk karya sastera. Karya-karya himpunan Pram ini terhasil awal abad 20-an dan malah dihasilkan orang Barat.

Bahasa Melayu pernah sangat berpotensi untuk menjadi bahasa sastera dunia setanding bahasa Jerman dan Perancis.

Namun demikian, apabila Indonesia dan Malaysia mengambil jalan sendiri dalam politik selepas kemerdekaan; bahasa Melayu itu menjadi tergusur.

Indonesia mengambil bahasa Melayu dan memulasnya sewenang-wenang seperti terlihat hari ini. Ia merebutkan bahasa itu dan menjadikan ia berpotensi kembali sebagai bahasa sastera dunia.

Kita melihat potensi itu misalnya ada pada Eka Kurniawan, sebelumnya; tentu sahaja pada Pramoedya.

Manakala di Malaysia, bahasa Melayu sebagai bahasa sastera mengalami kemurungan terus-terusan. Lihat sahaja nasib Dewan Sastera, ia tambah diburukkan tingkah laku Dewan Bahasa dan Pustaka, dan persatuan-persatuan penulis.

Jadi, hasrat kita untuk melihat bahasa Melayu sebagai bahasa dunia hanya tersilau oleh kesungguhan Indonesia melakukan usaha mereka sendiri, seraya meninggalkan kita.

Indonesia hari ini tidak lagi meneruskan “Melayu lingua franca”. Itu sudah jadi lipatan sejarah buat mereka. Bahasa Indonesia sudah makin menjauh.

Dengan harapan, beberapa kerat daripada kita yang menulis dalam bahasa Melayu akan dapat menumpang populariti pengarang mereka. Kita jadi semacam sisa lingua franca yang pernah dimegahkan Pram, maka untung sabut timbul. Kalau kita ditinggalkan, kerana Melayu lingua franca sudah asing buat Indonesia, apa nak buat. Rugi sabut tenggelam.

Sudah nasib badan. Jadi Nyai Dasimalah kita. Konon ingin diselamatkan agamawan dengan janji muluk akhirat dan syurga; tetapi di hujung terbuang ditombak dan jasadnya dibuang ke dalam sungai.