
Untuk orang utara, kata Dajal diertikan sebagai ‘jahat seperti penipu, atau berkelakuan buruk, seperti fiilnya yang buruk dan berperangai dajal’. Oleh sebab itu, kata Dajal ini boleh digunakan dengan meluas sebagai contoh ayat, kita boleh katakan ‘argh buruknya perangai kerumunan dajal itu kerana terlalak-lalak menyeru untuk membebaskan seorang perasuah dan kaki sakau’.
Kita boleh juga menggunakan ayat sebagai contoh ‘inilah seorang tuan guru dajal yang cakapnya berbolak-balik dan tak pernah serupa bikin’. Ayat menyandarkan ulama dengan Dajal ini tidaklah dajal mana, berbanding perangai segelintir orang yang kasihan dengan pencuri wang negara. Juga memang ada pandangan yang menyamakan ulama su’ atau ulama jahat dengan Dajal, maka kita boleh katakan ulama jahat dan koruptor adalah sama-sama duduk dalam kategori Dajal.
Dalam kitab ‘Bidayatul Hidayah’ sebagai misalan memang ada perbahasan hadis yang ulama su’ itu lebih teruk dan perlu ditakuti daripada Dajal. Orang yang konon berilmu juga dikecam oleh al-Quran seperti terdapat dalam ayat 2 surah As-Saff, terjemahan ayatnya;
“Wahai orang-orang yang beriman. Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!”
Dalam kalangan orang Melayu, terma Dajal ini memang menarik. Ini kerana ia berkait dengan ilmu eskatologi. Ulama lampau Aceh asal Gujerat iaitu Nuruddin ar-Raniri misalnya pernah mengarangkan kitab ‘Akhbar al-Akhirah fi Ahwal al-Qiyamat’. Dalam kitab ini, Dajal diberi gambaran sebagai tukang fitnah yang paling agung.
Adalah diriwayatkan Dajal ini matanya buta sebelah. Selain ia mengaku dirinya paling benar. Menerusi tipu helah dan perdayanya, Dajal mampu menghidupkan orang sehingga ada yang percaya Dajal itulah tuhan. Langit boleh diperintah untuk menurunkan hujan, dan bumi menumbuhkan bermacam-macam tumbuh-tumbuhan. Kononnya juga, Dajal akan menguasai satu dunia kecuali Mekah dan Madinah dengan alasan haramain itu dipelihara malaikat. Betapa ramai orang yang menurutkan perintah Dajal ini kecuali orang yang mendapat petunjuk daripada Allah sahaja. Macam-macam lagi aneka kisah mengenai Dajal. Diperikan misalnya ia berkenderaan keldai yang amat besar. Bahawa manusia banyak berlindung di bawah telinganya, dan ia juga bertanggungjawab membunuh Nabi Khidir. Dajal ini hanya akan berakhir hayatnya bila Imam Mahdi kelak muncul keluar untuk memerangi Dajal hingga matilah laskarnya.
Oleh sebab Dajal ini rata-ratanya dipandang negatif dalam kalangan orang Melayu, melemparkan kata-kata yang seseorang itu Dajal pastinya memiliki beban tohmah yang hebat dan besar. Implikasinya menimbulkan pertanyaan lain, jika kita memanggil seseorang Dajal secara sedar dan tanpa nyanyuk, adakah kita sedang mengkafirkan seseorang itu?
Ini kerana dalam kalangan orang Melayu, Dajal itu juga dikaitkan dengan kekafiran. Pendita Za’aba misalnya memang menyandarkan kata khas Dajal ini sebagai golongan Al-Masih Ad-Dajjal yang menurut almarhum bertanggungjawab di dalam mencetuskan Perang Dunia Pertama, malah menuduh ‘Dajal’ ini juga bertanggungjawab “all this time… devoting their energy to the abusing of Muhammad, his Quran and his religion”. Seperti yang beliau nukilkan dalam ‘The Triumph of Al-Quran’.
Pendek katanya, Za’aba melihat kuasa kolonial seperti British, Perancis, Spanish; atau jika dikontekskan hari ini, ia akan meliput Amerika Syarikat, Jerman, dan Israel semuanya sebagai sejenis ‘Dajal’. Sebenarnya apabila Za’aba menyatakan Dajal itu dengan Kristian dan gerakan Kristinisasinya, secara tidak sedar ia sedang memomokkan minoriti agama iaitu orang Nasrani. Yang betulnya Dajal itu sering disebut sebagai Al-Masih Ad-Dajjal ialah untuk membezakannya dengan Al-Masih yang sebenar iaitu Nabi Isa. Dajal dinamai sedemikian kerana ia berusaha menutupi kebenaran dengan kebatilan, atau dengan cara lain, menutupi kekafirannya terhadap orang lain menerusi pembohongan, kepalsuan, dan penipuan. Pengikut ajaran Qadiani atau Ahmadiyyah ada yang mentafsirkan Dajal itu bank, kerana aktiviti pemerasan dan riba.
Kalau tanyakan saya, Dajal itu Zionis. Tapi katanya Dajal itu hanya memerintah 40 hari, Zionis sekarang sudah mengganas di Gaza dekat-dekat setahun. Kalau kita bertanyakan Kamala Harris dia mungkin tak gamak memanggil Zionis sebagai Dajal. Orang lain mungkin ada pengertian atau tafsiran berbeza sehingga boleh menyasarkan pihak atau insan tertentu sebagai Dajal.
Dalam hadis-hadis sedia ada, Dajal itu digambarkan sebagai seorang lelaki berkulit merah, lagi berambut keriting. Ia juga dikatakan berdahi lebar, pundaknya bidang, manakala mata yang sebelah kanan buta. Mata kirinya tertutup daging tebal di sudutnya. Di antara kedua mata ini kelihatan satu tulisan kafir. Adalah dikatakan tulisan kafir tersebut adalah tulisan yang boleh dibaca langsung, sesuai dengan lahirnya dan tidak sulit diketahui oleh sebahagian orang; bahkan orang muslim yang buta huruf juga dapat membacanya. Dalam erti kata lain Dajal ini bila datang kelak ia adalah dalam sosok manusia yang hakiki. Sebab Dajal ini manusia, kita suka mencari-cari siapa dalam kalangan kita Dajal. Mungkinkah kita misalnya ternikahkan Dajal?
Dajal boleh sahaja datang dan hidup dalam kalangan kita. Haruan makan anak memang dajal. Orang Melayu memang obses dengan Dajal. Boleh saja kita renungkan misalnya berapa ramai Melayu yang melayari internet untuk memahami apa itu Dajal sejak wujudnya platform atas talian ini. Dalam dunia filem, wayang kita pernah ada yang bertajuk ‘Dajal Suchi’ dalam tahun 1965, Saloma ada menyanyi dalam filem ini, kalau tidak silap saya lagunya ‘Main Mahjong’ (astaghfirullah!).
Tidak lama lagi akan ada satu lagi filem membawa tajuk ‘Dajal’. Saya ingat ada sebuah drama TV juga bertajuk ‘Bisikan Dajal’ dengan Ogy Ahmad Daud membintanginya. Kumpulan rock kapak Bumiputra Rockers tahun 1980-an ada sebuah lagu berjudul ‘Dajal’. Lagu dan liriknya ini ditulis oleh maestro kita, M Nasir yang saya harap beliau boleh menyanyikan lagu ini nanti ketika konsert Cipta 2 kelak. Sebagai dedikasi untuk dajal-dajal Melayu. Dalam ruang penulisan ada pula novel thriller bertajuk ‘D Macam Dajal’, dan novel pop ‘Suamiku Dajal’. Di seberang, penyair Ahmad Mustofa Bisri atau Gus Mus ada puisi mengenai Dajal.
Jika demikian kita gemarkan Dajal, tidaklah menghairankan jika ahli politik boleh saling mendajalkan satu sama lain. Dalam tahun 2011, penulis politik kegemaran saya, A Kadir Jasin ada menulis mengenai Dajal iaitu dalam meleraikan maksud peribahasa Inggeris berbunyi “between the devil and the deep blue sea”, ia diterjemah sebagai “antara dajal dan laut dalam”. Ini untuk menggambarkan pilihan politik yang ada pada kita tidak banyak, sehingga kita semacam perlu memilih yang paling kurang sekali dajai atau dajal.
Tapi, mungkin ahli politik semua dajal sebab rata-ratanya pun memang bermata satu.
Yang pasti Dajal itu lelaki. Jadi tidak mungkin Cik Siti kita Dajal. Marahlah apa pun, dia bukan Dajal. Dajal ada zakar. Matanya satu. Tidak mungkin juga Sisters in Islam itu Dajal. Kalau Tuan Guru itu perempuan maka dia tak mungkin Dajal. Mufti ada peluang jadi Dajal, sebab dia lelaki. Entahlah, payah sebenarnya menentukan siapa yang tidak Dajal. Mungkin saya patut menulis sebuah biografi tentang atau memperihalkan ehwalnya Dajal.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.