
Beliau berkata, ART tiada beza dengan cadangan berusia singkat Malayan Union yang diperkenalkan British pada 1946, dengan mendakwa hak orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan raja-raja Melayu akan dipijak jika kemerdekaan negara digadaikan.
“Jika pada 1946, ketika kita dalam serba kekurangan berjaya menentang Malayan Union semata-mata kerana kita bersatu, ini bermakna hanya dengan bersatu juga kita mampu menentang ART dan juga mempertahankan kepentingan Melayu/Bumiputera sebagai bangsa teras,” katanya dalam ucapan dasar di Konvensyen Melayu 153 di ibu negara.
Sebelum ini, Mahathir mendakwa perjanjian perdagangan yang dimeterai pada 26 Okt itu tidak berperlembagaan kerana bercanggah beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak orang Melayu dan Bumiputera, serta kedudukan Raja‑raja Melayu dan kerajaan negeri.
Tetapi, dakwaan itu disangkal bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri, Tengku Zafrul Aziz, yang menegaskan hak orang Bumiputera kekal syarat dipertahankan dalam rundingan sebelum perjanjian itu dimeterai.
‘AS takkan hormat syarat negara lain’
Mahathir dalam ucapannya turut mengkritik jaminan berhubung syarat dalam perjanjian itu dengan berkata, AS tidak pernah menghormati syarat ditetapkan negara lain.
“Ketetapan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), organisasi paling tinggi di dunia itu pun dilanggar dan ada kalanya dipijak-pijak oleh AS.
“Selagi garisan merah dan syarat-syarat itu tidak menguntungkan Amerika, mereka telah bukti zaman-berzaman mereka tidak akan patuhi.”
Pada 2 Dis lalu, Mahathir membuat laporan polis berhubung perjanjian itu dengan mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ‘tidak berhak’ menandatangani perjanjian itu kerana ‘seorang individu tidak boleh mewakili persekutuan’.
Katanya, mana-mana perjanjian sedemikian perlu melalui beberapa saluran Perlembagaan, termasuk Dewan Rakyat dan Majlis Raja-raja.