Saya tak curi duit parti, Muhyiddin nafi dakwaan Dr M

Saya tak curi duit parti, Muhyiddin nafi dakwaan Dr M

Muhyiddin Yassin berkata semua sumbangan dimasukkan ke akaun parti yang diurus secara telus oleh bendahari agung.

muhyiddin yassin
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak bercadang mendakwa Dr Mahathir Mohamad dan tetap menghormatinya sebagai orang tua. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam video tular bahawa beliau mencuri dan menyimpan wang parti di rumahnya.

“Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke akaun parti yang diurus secara telus oleh bendahari agung,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, Mahathir mungkin mendapat maklumat tidak benar daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, sebagai negarawan  Mahathir sepatutnya mendapatkan penjelasan sebelum membuat tuduhan berbentuk sangkaan tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, dalam banyak pertemuan Mahathir tidak pernah membangkitkan perkara itu.

“Maka, menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah ke atas diri saya,” katanya yang tidak bercadang mengheret Mahathir ke mahkamah.

Muhyiddin berkata, beliau tetap menghormati Mahathir sebagai orang tua dan akan terus menyokong usahanya mewujudkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

Semalam, Pemuda Bersatu Johor mendakwa rakaman video pertemuan mereka dengan Mahathir baru‑baru ini ‘dimanipulasi’ pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan politik pihak tertentu.

Video dua minit itu yang didakwa menunjukkan Mahathir menuduh Muhyiddin mencuri wang parti, kemudian tular di media sosial.

“Video itu telah disunting. Orang itu sunting-sunting, potong-potong. Jadi benda itu misleading (mengelirukan).

“Saya kenal siapa buat itu dan saya akan ambil tindakan undang-undang,” kata Ketua Pemuda Bersatu Johor, Alias Rasman, menurut Malaysiakini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.