
Dalam tulisan ini saya ingin membincangkan tentang isu kebebasan bersuara dari sudut ahli politik dan kebebasan bertanya dari sudut profesion kewartawanan. Kenapakah satu diberi toleransi luas dan satu lagi diberi had ‘professional’?
Bagi saya kedua-duanya sama sahaja. Kita perlu bertanya dan bersuara dengan adab, konteks dan berlapang dada. Adab bermaksud membaca situasi bersuara manakala konteks adalah membaca ‘timing’ atau ketepatan waktu dalam suasana sosio-politik.
Adapun berlapang dada adalah keadaan niat ikhlas tanpa agenda tersemat. Di antara ketiga-tiga perkara ini saya akan bincangkan hanya dua aspek sahaja sebab aspek ketiga itu, tuhan saja yang tahu.
Dari aspek ahli politik bersuara, yang paling popular untuk dijadikan case study adalah kawan kita dalam Umno yang suka menyalak-nyalak bersama kaum kerabatnya, tidak berani depan kaum lain.
Beliau boleh berkata tanpa adab sehingga menggelar seorang menteri sebagai ‘bodoh’ dan seorang wakil rakyat sebagai ‘Nyonya Tua’. Ahli politik muda itu juga tak kisah konteks langsung atau sengaja tidak mengendahkannya dalam apa isu sekalipun dengan janji ia akan mendatangkan populariti luas kepadanya.
Dalam isu KK Mart, isu bendera terbalik dan isu nak lawan DAP habis-habisan kita sebagai rakyat biasa terlopong mendengar kata-kata kurang sopan dan agak kesat dari seorang politikus muda ini. Katanya nak berhenti dan berundur, rupanya lagi galak bikinnya.
Baru-baru ini bukan sahaja beliau menyumpah-nyumpah DAP, beliau juga telah menconteng arang ke muka presidennya serta barisan orang-orang tua pemimpin partinya.
Sepatutnya orang muda ini menjaga negara dari korupsi yang banyak dibuat oleh kaumnya sendiri malah ada juga dari partinya yang berjumlah bukan sedikit tetapi bebanan berapa generasi nak bayar kita pun malas nak hitungkan.
Tetapi kita biarkan dia menyalak. Sebab? Kebebasan bersuara. Kalau di Singapura, saya rasa ahli politik ini dah diambil tindakan serta merta. Kita semua di Malaysia kena tunggu kes dia naik ke mahkamah. Slow sikit.
Beralih kita pula kepada kes kewartawanan dan hak bebas bertanya apa jua. Saya akan bincangkan kes wartawan ABC, wartawan Utusan Malaysia dan baru-baru ini wartawan FMT.
Dalam kes wartawan ABC, Mary Bruce, beliau dikatakan seorang veteran yang berpengalaman luas. Namun demikian beliau telah menggunakan kebebasan bertanya dari media tanpa mengukur adab dan konteks diplomasi dalam situasi Muhammad bin Salman menjadi tetamu Donald Trump dan Amerika Syarikat.
Dalam pertemuan media, wartawan ABC telah mengajukan soalan sensitif tentang pembunuhan Jamal Khashoggi yang disyaki sebagai ‘state sanctioned assasination’. Trump telah menegur keras wartawan tersebut dan cuba melindungi tetamunya dari diasak.
Dalam hal ini, kita mempunyai dua pandangan tentang media dan kebebasan bertanya. Pandangan pertama adalah media seharusnya dibenarkan bertanya tanpa adab, tanpa konteks diplomasi dan tanpa had.
Pandangan kedua adalah wartawan tidak seharusnya merosakkan hubungan geopolitik Amerika Syarikat-Arab Saudi serta menghancurkan pelaburan USD1 trilion di Amerika Syarikat.
Bagi saya kalau Trump dah tahu pasal maklumat risikan Amerika Syarikat tentang isu Khashoggi dan beliau masih menjemputnya, itu memberi signal penting hubungan ekonomi, diplomasi dan geopolitik yang amat penting.
Trump patut disoal keras oleh wartawan ABC selepas pemimpin itu pulang dan bukannya semasa menjadi tetamu kehormat.
Dalam kes wartawan Utusan Malaysia dan Nga Kor Ming, saya lebih berpandangan seperti Anwar Ibrahim bahawa setiap soalan perlu di jawab dengan cara berhemah dan bukannya secara ‘agak intimidating’.
Wartawan Utusan Malaysia itu hanya nak tahu pasal isu bahasa Melayu dan tidak membuat insinuasi apa-apa pun. Sepatutnya Nga beri alasan yang jelas dan berinti tetapi beliau seperti menuduh niat kurang baik dari wartawan tersebut. Tak apalah, mungkin Nga sedikit ‘off form’ hari itu.
Dalam kes wartawan FMT dan isu Cina-Palestin, saya agak terkejut dengan soalan wartawan itu sebab ia berbaur perkauman atau sifat ‘kebodohan’.
Sebelum saya terasa sedikit marah sebagai orang Melayu, tetamu yang ditanya, George Galloway, telah menegur agak keras kiasan yang digunakan oleh wartawan tersebut, Beliau menyindir dengan berkata ‘saya tak nampak pun kereta kebal berleluasa di jalan-jalan Kuala Lumpur seperti di Palestin dan walaupun saya hanya seorang tetamu di negara ini saya melihat kaum Cina tidak seperti ditindas seperti apa yang saudara kiaskan.
Terus saya tak jadi nak marah sebab tetamu itu berkali-kali menegur cara soalan wartawan tersebut disusun. Saya rasa isu ini tidak perlu dipanjang-panjangkan sehinngga menuding-nuding jari tetapi sekadar cukup bahawa wartawan itu telah disekolahkan oleh tetamu yang berpengalaman luas dan berjiwa besar.
Saya pun tidak ingin menuduh yang bukan-bukan sekadar beranggapan soalan itu hanya sekadar ‘professional curiosity’ yang disusun tak berapa baik.
Akhir sekali, kita perlu bertanya dua soalan penting. Kenapa kita biarkan ahli politik muda menggila dengan kebebasan hak bersuara yang melampaui adab, konteks dan hubungan antara kaum?
Soalan kedua, patutkah wartawan diberi ‘blank check’ atau ‘cek kosong’ untuk bertanya apa saja pada bila-bila masa saja tanpa had atas dasar kebebasan media dan kebebasan bersuara?
Jelas di sini sistem pendidikan kita gagal mengajar kita kebebasan bersuara dengan bertanggungjawab serta beradab.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.