
Saya mulakan artikel ini dengan memetik laporan Reuters yang memetik satu laporan AFP. Bertarikh 7 April 2026 Reuters melaporkan ‘US President Donald Trump told AFP that the United States had won a total and complete victory after agreeing to a two week ceasefire deal with Iran’.
Bab ‘claim-mengclaim’ ini memang kesukaan Trump. Ingat semasa beliau umum gencatan senjata Gaza dulu? Beliau ‘claimed victory’ juga kerana berasa berjaya bawa keamanan dan pendamaian di Gaza. Realitinya Gaza tidak aman hingga hari ini.
Jika Trump percaya amaran keras dan gertak yang beliau tujukan kepada Iran telah membuat negara itu akur kepada gencatan senjata selama dua minggu yang beliau umum Selasa lalu – elok beliau baca laporan BBC yang disiapkan wartawannya Anthony Zurcher.
Menurut Zurcher ‘ceasefire deal’ itu memberi Trump jalan keluar daripada perang dengan Iran tetapi ‘at a high cost’. Kata beliau persetujuan gencatan senjata melepaskan Trump daripada membuat pilihan amat sulit iaitu tunaikan janji seluruh tamadun (dianggarkan 9 juta orang) akan mati malam ini atau tidak lakukannya sekali gus hilang kredibiliti.
Jujar saya bersyukur beliau sekali lagi cakap tak serupa bikin. Meskipun pembencinya di AS berkata ‘this is another TACO moment’. Yakni Trump ‘always chickens out moment’.
Kata-kata Zurcher ‘the US president may have only bought himself a temporary reprieve however’.
Imbau kembali amaran dan gertak yang Trump telah beberapa kali tujukan kepada Iran. Selain ‘berjanji’ akan memusnahkan ‘seluruh tamadun Iran yang tidak akan kembali’, Trump juga menggertak akan mengembom Iran habis-habisan menjadikannya padang jarak padang tekukur dan mengancam akan memusnahkan kemudahan awam.
Dan yang paling biadab ialah apabila Trump membuat hantaran di media sosial dengan mencarut apabila mendesak Iran membuka Selat Hormuz.
“Tuesday will be Power Plant Day and Bridge Day all wrapped up in one in Iran”. Merujuk kilang tenaga dan jambatan yang mahu dibom dan dimusnahkan. Dan katanya lagi: “Open the F***in’ Straits (yakni Selat Hormuz). You crazy bastards or you’ll be living in Hell. JUST WATCH”.
Bukan itu sahaja. Trump mengakhiri mesejnya dengan berkata: “Praise be to Allah”.
Apa perlunya berkata begitu? Benar memang segala pujian buat Allah. Tetapi bagi saya apabila Trump yang berkata begitu ada elemen mengejek, memerli, mempersenda.
Saya kira penggunaan kalimah Allah ialah kerana rakyat Iran orang Islam. Lantas Trump tidak berkata ‘praise be to God’ atau ‘the Almighty’. Atau adakah Trump mahu berkata kemusnahan yang bakal dilakukan direstui Allah? Saya ulang. Kata-kata Trump kurang ajar dan biadab.
Bagaimanapun, perlu dinyatakan sasaranya iaitu ‘power plants’ dan ‘bridges’ diklasifikasikan oleh undang-undang antarabangsa sebagai ‘facilities’ atau kemudahan awam. Ertinya Trump mahu menyerang kemudahan awam bukan ketenteraan.
Lalu ramai termasuk ahli politik AS berpendapat jika Trump melakukan serangan ke atas kemudahan awam beliau dilihat melakukan jenayah perang dan boleh didakwa.
Mungkinkah ini sebab Trump bersetuju saranan Pakistan supaya gencatan senjata dilaksanakan?
Perlu dinyatakan juga ancamannya mahu memusnahkan ‘the entire civilization’ dikecam pemimpin dunia termasuk Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese. Turut membidas Trump ialah pemimpin gereja Pope Leo XIV.
Adakah kritikan mereka mendorong Trump bersetuju akan gencatan senjata?
Di AS juga rata-rata rakyatnya termasuk glongan kanan penyokong Trump tidak setuju tindakannya memerangi Iran. ‘Approval rating’ beliau menurun.
Menurut media AS, sudah ada usaha khususnya dalam kalangan Demokrat untuk ‘impeach’ Trump dan juga setiausaha perangnya Pete Hegseth.
‘Impeachment’ dalam bahasa Melayu membawa makna pendakwaan kerana melakukan jenayah, juga bererti dilucut jawatan.
Ahli Demokrat Dewan Perwakilan AS dilapor memperkenalkan resolusi untuk memecat Trump bawah 13 perkara. Dilaporkan dokumen resolusi menuduh Trump memulakan peperangan secara tidak berperlembagaan yakni tanpa persetujuan kongres, melakukan jenayah perang dan aktivi lanun di laut terbuka.
Tuduhan bukan mengenai perang Iran tetapi juga operasi ketenteraan yang dilancar Trump ke atas Venezuela dan mengheret Presiden Nicolas Maduro ke AS untuk dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan berkaitan dadah.
CNN melaporan cakap-cakap mengenai ‘the 25th Amendment’ mula kedengaran. Ini membabitkan cara menyingkir presiden daripada jawatan.
Tetapi kata CNN: “to successfully remove Trump, a majority of his Cabinet and his vice president would have to be supportive. And there are no indications any Cabine officials are considering it right now or that Vice President Vance JD would be on board”.
Berdasarkan itu pandangan saya, Trump akan kekal presiden sehingga pilihan raya presiden 2028. Mengikut perlembangaan AS beliau tidak boleh bertanding kerana sudah memegang jawatan presiden selama dua penggal walaupun bukan secara berterusan. Beliau menang pada 2016, kalah pada 2020 dan menang sekali lagi pada 2024.
Bagaimanapun, buat masa ini tumpuan dunia ialah ke atas Islamabad di mana perbincangan damai antara AS dan Iran diadakan esok.
Saya tak pasti sama ada Israel turut diundang ke perbincangan. Tetapi yang pasti Israel bersama AS menyerang Iran sejak 28 Feb lalu. Dan Israel juga menyerang Lubnan atas alasan memburu Hezbollah, sekutu Iran yang melancarkan serangan ke atas Israel dari Lubnan.
Bukanlah rahsia Israel yang memujuk Trump memerangi Iran. Sekarang Benjamin Netanyahu berkata Lubnan tidak termasuk dalam kerangka gencatan senjata. Berlainan pendapat Pakistan dan negara lain yang menjadi orang tengah konflik Asia Barat.
Ertinya, Israel mahu terus menyerang Lubnan. Ini menjejaskan perbincangan walaupun ia belum bermula.
Harapan kita pendamaian berkekalan dapat dicapai. Tetapi kita tidaklah naif untuk percaya semuanya akan beres dalam masa terdekat. Apatah lagi esok iaitu hanya dalam satu hari .
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.