
Ingat Calvin Cheng tak? Mungkin ramai akan tanya Calvin who? Saya tahu memang ramai tak kenal siapa dia. Saya pun begitu.
Saya hanya tahu apabila beliau tempoh hari membuat kenyataan dan memuji tindakan Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan berhubung sekatan dikenakan Iran ke atas Selat Hormuz.
Bagi Balakrishnan tindakan berunding untuk mendapatkan laluan Selat Hormuz boleh menjejaskan undang undang antarabangsa. Lantas Singapura tidak akan melakukan rundingan.
Namun bagi Cheng, Singapura tidak berunding kerana republik itu ‘tidak mahu berunding dengan pengganas’. Jelas bercangah dengan kenyataan Balakrishnan.
Kata-kata Cheng tu dilihat beberapa pihak di negara ini sebagai menyindir Malaysia kerana Malaysia memang berunding dengan Iran dan berjaya mendapat izin kapal negara menggunakan laluan Selat Hormuz.
Antara yang membidas Cheng (bukan bidas Singapura) kerana’menyindir Malaysia’, membuat kenyataan tersasar dan bersifat menghasut ialah Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan. Dan kata beliau Cheng sebenarnya telah salah gambarkan pendirian Singapura, negaranya sendiri.
Ketika itu baru saya tahu rupanya beliau ialah seorang bekas Ahli Parlimen Dilantik atau NMP Singapura yakni a Nominated Member of Parlimen.
Jujur saya kata tidak ada keperluan untuk saya membuat carian Google bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai Cheng. So I left it at that.
Namun Cheng is back. Kali ini membuat komen tentang kerjasama pertahanan Amerika Syarikat (AS) dengan Indonesia yang dimeterai tiga hari lalu.
Melalui hantaran Facebook, Cheng berkata Singapura, Thailand dan Filipina sudah mempunyai perjanjian ketenteraan tetap dengan AS dan ‘kini setelah Indonesia ikut jejak langkah sama Malaysia terkepung’.
Untuk konteks, AS sekian lama cuba mewujudkan kehadiran ketenteraan lebih kuat di Lautan Pasifik untuk mengimbangi pengaruh China yang semakin meningkat.
Oleh itu persoalan utama sekarang ialah apa kata dan reaksi China terhadap kerjasama AS–Indonesia khususnya pandangan Beijing keatas pentadbiran Prabowo Subianto.
Jika Cheng mahu beri tumpuan, aspek China yang harus diteliti bukan sama ada Malaysia dikepung atau mengepung.
Perjanjian pertahanan AS –Indonesia diumumkan menerusi kenyataan bersama Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth dan Menteri Pertahanan Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin.
Menurut satu laporan disiar Malaysiakini, kenyataan itu tidak menyebut tentang ‘hak penerbangan bebas’ AS mahu yang akan membenarkan pesawat tenteranya akses (atau memasuki dan terbang melalui) ruang udara Indonesia tanpa had dan tidak memerlukan pelepasan diplomatik.
Hak penerbangan bebas is a sticking point yakni ia memang menjadi titik pertikaian dalam konteks konflik Asia Barat sekarang kerana beberapa negara Eropah telah menafikan atau mengehadkan akses ke pangkalan dan ruang udara masing-masing.
Bererti pesawat tentera AS yang berpangkalan di benua itu terutama pesawat pengebom jarak jauh terpaksa terbang melalui laluan berliku-liku untuk sampai ke Iran.
Saya difahamkan oleh rakan-rakan wartawan di Jakarta, menteri pertahanan Indonesia sudah menjelaskan kerjasama dengan AS ‘tidak sampai mengizinkan pesawat tempur atau alat perang mereka (AS) boleh gunakan wilayah kedaulatan Indonesia’.
Bagaimanapun jaminan itu tidak menghalang media sosial yang dikendali warga Indonesia memapar mesej lengkap dengan grafik mengingatkan pemerintah supaya ‘tolak pesawat tempur Amerika masuk wilayah Indonesia, hormati kedaulatan NKRI (Negara Kesatuan Republik Indonesia)’. Dan ya pastilah ada mesej ‘US go home’.
Kata seorang lagi wartawan Indonesia, Prabowo memang pro AS dan usaha beliau ‘memujuk’ Iran menerusi Vladimir Putin supaya kapal minyak Indonesia diizin menggunakan laluan Selat Hormuz ‘seperti akan tak berjaya juga’.
Lalu kata wartawan berkenaan: “Indonesia cuba main dua kaki tapi tak tahu kaki mana yang akan terpeleot”.
Menurut sumber ramai warga Indonesia yang kritik bapak presiden.
Prabowo kata mereka seolah-olah menjejaskan kedaulatan Indonesia ‘demi citranya agar sejajar dengan pemimpin dunia’. Perlu dinyatakan ini bukan dapatan survey atau kaji selidik bertauliah atau rasmi.
Tetapi it’s a fact Prabowo turut dikritik berkaitan beberapa isu domestik yang saya tidak cadang huraikan disini.
Apa pun dewasa ini media Indonesia ada banyak rencana, opinion pieces yang anti kerjasama pertahanan Indonesia – AS yang ditulis wartawan, ahli politik, intelek dan juga mantan wartawan.
Antaranya mantan wartawan Kompas Made Supriatna. Panjang lebar dan amat menarik hujahnya siap dengan latar belakang dan sejarah hubungan ketenteraan AS dengan Indonesia.
Saya tidak bercadang ulangi apa yang beliau katakan.Cuma meminjam kata- kata penutupnya untuk menutup artikel ini.
Kata Made Supriatna: “Persoalannya: Mengapa kita memilih tunduk pada rejim Trump yang jelas tukang kibul, omong besar dan kalah di mana-mana itu?”.
Pada hemat saya itu kesimpulan terbaik isu ini untuk renungan Republik Indonesia.
Oh ya…’orang kibul’ dalam bahasa kita bererti tukang tipu atau penyangak.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.