Warga emas ‘melabur’ 7 tahun, baru sedar ditipu

Warga emas ‘melabur’ 7 tahun, baru sedar ditipu

Dua wanita masing-masing rugi RM50,000 disangka dilaburkan dalam tanaman padi di Kemboja sejak 2014.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa dijanjikan pulangan RM52,000 setiap tiga bulan untuk tiga tahun.
KUANTAN:
Dua wanita warga emas mendakwa kerugian RM50,000 setiap seorang selepas diperdayakan untuk menyertai pelaburan menanam padi di Kemboja, yang disertai mereka sejak tujuh tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 75 dan 65 tahun mendakwa tertarik untuk melabur selepas menyertai jelajah kononnya dibuat sebuah syarikat pelaburan di sebuah hotel terkemuka di sini, sekitar Jun 2014.

“Pada program jelajah itu, mangsa mendakwa mereka dijanjikan pulangan sebanyak RM52,000 setiap tiga bulan untuk tempoh tiga tahun jika mengambil satu lot padi bernilai RM50,000.

“Mangsa mendakwa mereka menandatangani surat perjanjian sekitar Ogos 2014 selepas membuat bayaran RM50,000 melalui cek yang diserahkan kepada seorang ejen syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, bagaimanapun kedua-dua mangsa mendakwa tidak pernah menerima pulangan yang dijanjikan sehingga tahun ini, selain gagal untuk menghubungi ejen syarikat itu menyebabkan mereka berasa ditipu.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.