
“Rakyat Malaysia harus menolak sebarang percubaan oleh unsur tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan kita dengan menstigma rakyat Malaysia berdasarkan bangsa atau agama.
“Perlembagaan menyatukan semua dengan menetapkan hak dan kewajiban kita. Rakyat Malaysia lebih kuat bersama dengan menghormati perbezaan dan saling menyokong hak dan kewajiban masing-masing,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Easter bagi penganut Kristian hari ini.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, rakyat Malaysia lebih kuat bersama dengan menghormati perbezaan antara mereka dan saling menyokong hak dan kewajiban masing-masing.
Beliau berkata, sikap saling menghormati ini adalah asas kepada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat, selain menambah bahawa perpaduan juga merupakan wadah kemakmuran ekonomi bagi rakyat dan anak-anak mereka.
Dalam konteks ini, beliau berkata, cadangan menteri PAS bagi mendapatkan majoriti dua pertiga Parlimen dengan mengubah sempadan kawasan pilihan raya yang menguntungkan masyarakat Melayu dan Islam perlu ditentang.
“Gerimander sesebuah kawasan pilihan raya dengan bias agama atau kaum adalah tidak berperlembagaan.
“Ia tiada beza dengan apartheid kaum yang akan mengubah Malaysia, Sabah dan Sarawak menjadi varian mutasinya,” katanya.
Lim berkata, beliau bimbang kerana pandangan sebegitu dikemuka dan dikongsi oleh pemimpin kerajaan semasa.
Bulan lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali berkata, parti itu berhasrat memenangi majoriti dua pertiga pada pilihan raya akan datang dengan bantuan sekutunya untuk mengubah semula sempadan pilihan raya dengan cara yang akan menguntungkan orang Islam.
Katanya, ketiga-tiga parti orang Melayu, iaitu PAS, PPBM dan Umno harus bekerjasama untuk mencapai matlamat itu.