
Apandi yang memberi keterangan dalam samannya terhadap veteran DAP Lim Kit Siang berkata, penyiasat boleh membuka semula siasatan jika terdapat bukti baharu.
“Saya cabar Lim menunjukkan saya telah menutup siasatan dan melarang siasatan lanjut terhadap kes 1MDB serta SRC International,” katanya.
Apandi menyaman Lim berhubung kenyataannya pada 2019 statement, “Dangerous fallacy to think Malaysia is on the road to integrity” (Bahaya jika anggap Malaysia semakin berwibawa).
Beliau mendakwa kenyataan Lim itu menggambarkannya sebagai seseorang yang tidak bermoral dan tidak beretika, tiada kewibawaan selain mengamalkan berat sebelah ketika memegang jawatan peguam negara.
Apandi juga berkata, sepanjang 47 tahun dalam perkhidmatan awam, undang-undang dan kehakiman, beliau tidak pernah melakukan sebarang kesalahan. Beliau mengesahkan tidak pernah ‘membantu atau bersubahat’ dengan sesiapa berkaitan 1MDB atau SRC International.
Menjawab soalan peguam Lim, Ramkarpal Singh, beliau turut menafikan siasatan terhadap 1MDB dan SRC International dilengkapkan seawal Disember 2015.
“Siasatan tidak dilengkapkan, malah sehingga hari saya meninggalkan pejabat Peguam Negara.
“Apapun, saya membuat keputusan (melepaskan Najib daripada kesalahan mengikut Akta SPRM dan Kanun Keseksaan) berdasarkan bukti diperolehi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ketika itu,” katanya merujuk kepada sidang media diadakannya pada 26 Jan 2016.
Ramkarpal kemudian menyoal Apandi mengenai laporan berita yang mendakwa beliau sebagai peguam negara ketika itu enggan bertindak atas cadangan panel semakan SPRM untuk mendakwa Najib.
Ramkarpal: Laporan ini agak memudaratkan dan Lim Chee Wee mendakwa anda tidak bertindak walaupun RM42 juta telah dimasukkan ke akaun bekas perdana menteri. Anda diberi peluang menjawab oleh wartawan terbabit namun tidak berbuat demikian.
Apandi: Saya menganggap tidak guna menjawabnya.
Ramkarpal berkata defendan akan memanggil Chee Wee, bekas anggota panel semakan SPRM yang juga peguam kanan, untuk memberi keterangan kelak.
Saya tidak menganggotai Umno sejak 1990-an, kata Apandi
Apandi turut memberitahu mahkamah beliau meninggalkan Umno pada 1990-an selepas aktif menjadi ahli Majlis Peguam.
“Saya tidak pernah menyertai semula Umno dan tiada apa-apa kaitan dengan mereka sekarang. Saya turut menolak jemputan parti untuk menjadi ahli majlis tertinggi,” katanya menjawab soalan Ramkarpal bahawa beliau masih mempunyai pertalian dengan Umno.
Ramkarpal berkata Apandi menyertai Umno pada 1980-an dan mewakili parti itu dalam kes petisyen pilihan raya.
Apandi menambah, walaupun menjadi pengerusi lembaga disiplin Umno dari 2018 hingga 2019, beliau tidak menyertai semula parti itu.
“Pengerusi lembaga disiplin tidak semestinya ahli Umno,” katanya.
Katanya, beliau meletak jawatan selepas presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi didakwa mencampuri tugas lembaga disiplin itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar bersambung esok.