
Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju untuk mengemukakan permohonan pada hari itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam, memberitahu mahkamah pihak pendakwaan sudah menerima permohonan terbaharu Najib untuk mendapatkan maklumat daripada rekod telefon bimbit bekas pegawai bank, Tim Leissner dan perjanjian penyelesaian Malaysia dengan Goldman Sachs awal minggu ini.
“Pihak pendakwaan memerlukan dua minggu untuk membalasnya. Dan kami berharap permohonan ini (berkait Goldman Sachs) dapat didengar bersama dengan yang sebelumnya (usaha mendapatkan dokumen daripada keluarga Zeti dan syarikat Low),” katanya.
Peguam, Muhammad Shafee Abdullah, berkata pihak pembelaan tidak mempunyai masalah untuk kedua-dua permohonan itu dibicarakan bersama.
Untuk itu, Sequerah memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan balasan dan penghujahan sebelum 21 Mei.
Najib berusaha mendesak kerajaan memberikan maklumat mengenai telefon bimbit Leissner dan emel kerjanya dengan alasan maklumat itu penting untuk perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung.
“Saya percaya kemungkinan besar kandungan dalam telefon bimbit Tim akan menunjukkan komunikasi antara dia, pegawai 1MDB dan Jho Low, dan mereka dapat mendedahkan bukti bahawa saya tidak tahu tentang jenayah tersebut dan dapat mendedahkan pegawai 1MDB yang telah dirasuah dan disogok oleh Tim,” katanya dalam afidavitnya.
Mengenai perjanjian Goldman Sachs-Malaysia, Najib berpendapat klausa kerahsiaan dalam perjanjian itu tidak sah dan bertentangan dengan dasar awam.
Selain dokumen daripada Goldman Sachs dan penyelesaiannya, Najib berusaha untuk memaksa kerajaan memberikan dokumen perbankan milik syarikat yang dikendalikan oleh keluarga Low dan Zeti.
Pada Julai tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, berkata Goldman Sachs akan membayar USD2.5 bilion (RM10.26 bilion) secara tunai dan menjamin pengembalian sekurang-kurangnya USD1.4 bilion (RM5.75 bilion) yang telah disita oleh kerajaan AS sebagai sebahagian daripada dana 1MDB yang disalahgunakan.
Ahli Parlimen pembangkang seperti Wong Chen meminta kerajaan untuk mendedahkan perincian penyelesaian itu.