Kluster kahwin Terengganu bukan kerana rentas negeri, kata pengusaha pelancongan

Kluster kahwin Terengganu bukan kerana rentas negeri, kata pengusaha pelancongan

Mereka berkata, kluster itu berpunca daripada rakyat Sabah yang melanggar SOP dan tidak patut menyebabkan sekatan perjalanan.

Dengan syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, Scoot akan terbang ke Sabah dalam tempoh dua minggu, pengusaha pelancongan berharap larangan rentas negeri akan dilonggarkan. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Pengusaha pelancongan di Sabah berharap kerajaan tidak akan melanjutkan sekatan rentas negeri disebabkan kes terpencil seorang rakyat Sabah mencetuskan kluster baharu Covid-19 di Terengganu.

Jabatan Kesihatan Terengganu dilaporkan berkata, kluster Taman Rakyat berpunca daripada seorang lelaki dari Sabah yang ke Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan adiknya, yang tidak mematuhi SOP.

Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus, berkata 26 kes positif Covid-19 dikesan berpunca daripada majlis perkahwinan itu, yang terdiri daripada 11 ahli keluarga dan 15 tetamu.

Presiden Persatuan Pengusaha Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan, Alex Yee berkata selepas membaca laporan berita itu, beliau merasakan jangkitan itu akibat tidak mematuhi SOP, bukannya disebabkan perjalanan rentas negeri.

“Setakat ini, semua kelonggaran peraturan perjalanan dan aktiviti lain dilakukan dengan dengan peringatan untuk mematuhi SOP dengan ketat. Masalah yang saya lihat sekarang bukan kelonggaran peraturan, tetapi ketidakpatuhan terhadap SOP,” katanya kepada FMT.

“Berbanding (kemungkinan melanjutkan) dasar tiada perjalanan (rentas negeri) secara menyeluruh, saya menggesa pihak berkuasa menyiasat kes itu. Jika pesakit mematuhi SOP dengan ketat, adakah mereka akan dijangkiti virus itu?

“Mengekang aktiviti adalah penting, tetapi ia mungkin bukan jawapan untuk menghentikan penularan virus…pematuhan SOP yang ketat ialah jawapannya.”

Presiden Persatuan Pelancongan Sabah, Tonny Chew juga senada yang kluster di Terengganu berpunca daripada ketidakpatuhan terhadap SOP.

Tetapi, beliau bimbang kes ini mungkin menyebabkan sekatan perjalanan dilanjutkan.

“Pihak berkepentingan dalam pelancongan amat berharap sekatan perjalanan dibatalkan untuk mendapat ruang terus bertahan dalam mengharungi pandemik ini.

“Bagaimanapun, kemungkinan kelihatan tipis jika lonjakan baru berterusan pada tahap membimbangkan. Kita mungkin perlu menyokong sekatan perjalanan dilanjutkan jika itu berlaku kerana kesihatan orang ramai paling penting.”

Susulan kluster Taman Rakyat, Azimi berkata, pihak berkuasa kesihatan sering menasihatkan rakyat menangguhkan acara membabitkan himpunan orang ramai.

“Kita semua patut mematuhi SOP ditetapkan,” tulisnya di Facebook semalam.

Kluster Taman Rakyat yang dikesan pada 15 April lalu, ialah kluster komuniti membabitkan daerah Dungun. Kes indeks ialah lelaki berusia 32 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 6 April lalu apabila disaring sebelum pulang ke Sabah.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Sabah, Lawrence Chin berkata, lanjutan larangan rentas negeri akan membawa lebih banyak kesulitan kepada pengusaha pelancongan di negeri itu.

Katanya, ejen pelancongan di Sabah tidak mempunyai sebarang pendapatan dan berdepan masalah kecairan sejak pandemik bermula.

“Usaha kerajaan tidak mempunyai sebarang kesan signifikan ke atas industri segmen ini.

“Satu-satunya penyelesaian ialah melalui vaksinasi dan perjalanan rentas negeri dibenarkan semula, serta pembukaan sempadan antara Sabah dan jirannya seperti Brunei dan Sarawak,” katanya kepada FMT.

Dengan syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, Scoot turut terbang ke Sabah dalam tempoh dua minggu, Chin berharap kerajaan negeri akan mengambil inisiatif membatalkan sekatan perjalanan kepada pelancong untuk memulihkan industri itu.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba dilaporkan berkata, larangan rentas negeri, termasuk ketika sambutan Hari Raya, perlu dilanjutkan berdasarkan keadaan semasa Covid-19.

Adham berkata, kementeriannya akan mencadangkan pembatalan larangan rentas negeri ditangguhkan, dan kerajaan sudah menerima permintaan daripada pelbagai pihak untuk menangguhkan pembatalan sekatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.