Beliau berkata, beberapa kontrak pembelian vaksin sudah didedahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen pada 5 Jan lalu.
“Bersekali dengan jadual penghantaran dan harga yang dibayar, antara ahli PAC yang hadir dan memperhalusi kontrak perolehan vaksin pada hari tersebut adalah Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Anwar mendesak satu siasatan bebas dikendalikan Parlimen bagi mencari punca “kelembapan” kadar pemerolehan vaksin oleh kerajaan pusat, negeri dan pihak swasta.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kurang daripada 3% rakyat Malaysia mendapat suntikan vaksin Covid-19, sehingga memaksa beberapa kerajaan negeri, syarikat swasta dan yayasan berusaha sendiri untuk memperoleh bekalan vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Dalam pada itu, Khairy berkata beliau sudah mengadakan sesi libat urus bersama ahli Dewan Rakyat daripada pembangkang pada 19 Mac lalu dan sudah membentangkan secara panjang lebar pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) termasuk menjawab pelbagai soalan secara terperinci.
“Ketua Pembangkang (Anwar) tidak hadir pada sesi tersebut, dan harapan saya, Ketua Pembangkang akan terus mengikuti pelaksaan PICK dan memberi kritikan bernas untuk saya menjawab,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan kerajaan Selangor menunggu lama, Khairy menafikan dakwaan Anwar berhubung kerajaan negeri itu menunggu berbulan lamanya hanya untuk mendapat kelulusan yang diperlukan dan mendapatkan dua juta dos buat rakyat negeri itu.
Katanya, dalam perbincangannya dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, ada sebut secara lisan perancangan Selangor untuk membeli vaksin.
“Saya memberi respons yang positif. Namun, sehingga kini saya belum menerima apa-apa permohonan rasmi dari pihak kerajaan negeri,” katanya.