Remaja lemas akibat terjatuh selepas pasang jaring di laut

Remaja lemas akibat terjatuh selepas pasang jaring di laut

Mangsa bersama bapa saudaranya memasang jaring di Pangkalan Kuala Lukut Kecil, Port Dickson kira-kira 3 petang, tetapi terjatuh ketika dalam perjalanan pulang.

Mayat remaja itu ditemui Pasukan Penyelamat di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang serta Jempol kira-kira 12.35 tengah hari tadi. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Seorang remaja lelaki ditemui lemas akibat terjatuh ke laut, selepas membantu bapa saudaranya memasang jaring di Pangkalan Kuala Lukut Kecil, Port Dickson, dekat sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, mayat remaja berusia 16 tahun itu ditemui Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang serta PPDA Jempol kira-kira 12.35 tengah hari tadi.

Katanya, mangsa yang hanya berseluar pendek ditemui timbul di permukaan air kira-kira 50m dari lokasi beliau dilaporkan terjatuh.

“Seramai 26 anggota digerakkan ke lokasi kejadian bersama empat bot penyelamat dan empat kayak sejurus menerima laporan awal daripada bapa saudaranya, M Narianasamy yang menaiki bot bersama remaja itu kira-kira 6.15 petang semalam.

“Maklumat awal mendapati mangsa bersama bapa saudaranya memasang jaring di perairan berkenaan kira-kira 3 petang, bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang, mangsa terjatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, operasi mencari yang bermula semalam ditamatkan 1.16 tengah hari tadi.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.